DOA PENGASIH DAN DOA PELEMBUT HATI…

Bila kurenung komen2 pengunjung blogsku ni, byknya mslh yg lebih berat org lain alami… mcm2 keluhan dan rintihan dipendam… Saya akan membaca kesemua komen2 yg ada… masa yg ada ni selalu terhad, kekdg mang tak sempat nak ulas komen2 yg diberikan. Tapi bukan maksud tiap keluhan yg diluahkan tuh, saja diabaikan. Semua masih lekat dlm minda ni. Cuma masa agak terhad nak ulas dan kekdg ada komen yg berat yg perlukan masa sedikit nak diulas… mslh yg dialami dlm dunia rumahtgga, sememangnya berat dialami. Bak org kata “berat mata melihat, berat lagi bahu memikul”. Ada dua komen yg lates ni saya tak sempat nak balas secara spontan sbb komennya terlalu pjg dan saya perlu teliti membacanya.

1) Persoalan mahu rujuk pada suami yg tak ada tjgwb pada keluarga dan anak2, sedangkan anak2 ramai yg perlu disara.

secara jujur, bila saya ditempat tuh saya tak mungkin akan merujuk semula sbb seorg suami adalah KETUA keluarga… seorg ketua yg Berjaya memimpin org2 dibawahnya perlu menjaga akhlak perlakuannya, perbuatan dan tindakannya… bila sudah jelas seorg suami suka berpoya2 dan sering bertukar pasangan kekasih sehinggakan maksiat dilakukan secara sedar dgn akal yg waras ni… resiko besar PASTI menanti… neraka Allah tuhh luas, ada 7 tingkat… didlmnya sudah ditentukan org2 yg akan menjadi penghuninya… zina jugak ada neraka khas untuknya…. Kekdg saya tak faham, mengapa ada suami yg sanggup melakukan maksiat diluar sdgkan isteri ada dirumah… perkahwinan ni suci… utk mengikat antara 2 hati dan utk mencari ketenangan bukan kesengsaraan… bila suami tak bertgjwb pada hak2 yg dipertgjwbkan keatasnya, tak solat sepanjang hidup dan sering melakukan maksiat.. bukanlah seorg suami yg baik dan tak layak bergelar suami dlm islam… tak perlu mengejar suami sebegini… teruskan usha menyara anak2 seorg diri. Tak hina jadi seorg IBU TUNGGAL andai dlm hati putih bersih dari bersubahat melakukan dosa dgn merujuk semula pada suami lama dan membiarkan sisuami melakukan dosa saban waktu… persoalannya, bahagiakah bila keadaan sebegini berlaku didepan mata? Anak2 benarkah akan terjaga haknya? Bagaimana pulak soal nafkah zahir dan batin si isteri sendiri? Bagaimana kesan pada anak2 ataupun pada zuriat kelak sbb warisan KEJAHILAN sisuami yg akan turun pada zuriatnya. Andai tak bertaubat, anak2 pun bakal ikut perangai siayah. Saya ada baca dalam tulisan uts.zaharuddin, ust mengatakan bila suami atau isteri melakukan maksiat walaupun ‘RINGAN2’ saja, pasti akan turun pada zuriat bila tak bertaubat. Apa tah lagi bila sudah biasa terjebak dlm zina. Mahukah kita hidup senang sedangkan warisan kita tak sempurna akhlaknya… warisan itulah yg akan HALANG kita dari masuk syurga malah diheretnya kita ke neraka.. Nauzubillah…. Kalau saya ditempat siisteri, saya tak akan rujuk balik dgn menganggap HANYA sisuami dpt membantu menyara anak2. Mengapa perlu lupa Manusia ni tak ada kuasa diatas setiap sesuatu… tapi ALLAH itulah yg menggenggam kehidupan kita ni…. Rujuklah pada Rabb, mintalah pertolongan padaNYa… Jadikan doa sebagai ibadah rutin setiap hari. Andai takut soal REZEKI, belajarlah solat sunat dhuha. insyaAllah dgn istiqamah solat tuhh, rezeki lbh mudah dan terbuka luas… Allah tak kejam, manusia itulah yg kejam… sanggup menzalimi diri sendiri dan org lain. Sedangkan hari PEMBALASAN pasti akan menanti kelak dipadang masyar…. Cuba berfikiran terbuka, luaskan minda… jgn terlalu takut soal rezeki. Dulu saya pun sangat takut bab2 rezeki ni sbb saya jugak diuji dgnNYA, malah byk ujian terpaksa saya alami demi meneruskan usaha menyara orgtua saya hingga kepenghujung hayat… jgn merungut tapi cuba belajar memperbaiki diri. Mgkin rezeki kita ni kurang sbb kita malas nak tingkatkan ibadah kita. Kita Cuma nak buat ibadah WAJIB je dan tak mahu buat ibadah sunat. Sedangkan ibadah sunat adalah satu jalan yg sgt baik mencari keredhaanNYA, cth solat sunat dhuha… byk kebaikkan yg kita akan perolehi darinya… makin dekat pada Allah, rasa ketenangan bila dah lakukannya dan bonus paling utama kita dapat, rezeki kita jugak MENCUKUPI… bukanlah maksud solat dhuha tuh bagi kita KAYA, tapi rezeki kita akan cukup dan berkat… Rasulullah jugak mengajar kita dan mengajak kita melakukan sunah baginda dlm soal rezeki spt mengamalkan Surah Al-Waqiah setiap mlm dgn istiqamah. insyaAllah, janji Rasul iaitu kita tak akan papa (miskin) selamanya. Belajarlah berdikari tanpa mengharapkan pertolongan seorg MANUSIA, apatah lagi seorg bekas suami….

2) Persoalan yg berkaitan dgn mak mertua dan ipar-duai yg menyakitkan hati…

Dlm mslh ni mang agak berat nak dihadapi. Walaupun saya belum rumahtgga, tapi melihat pengalaman org lain byk beri ilmu pengetahuan pada diri ni. Malah kakak sendiri mengalami mslh yg sama. Manusia ni terdiri dari pelbagai ragam. Masing2 ada karenah tersendiri. Hati manusia ni terlalu sukar nak kita fahami. Cuma Allah yg tahu tahap mana keikhlasan hati sesorg. Cuba berfikiran terbuka dan anggap semua yg berlaku adalah ujianNYA. Fahami ayat2 dlm Surah Insyirah ayat 5 & 6 “tiap2 kesusahan, akan ada kesenangan”. Jgn terlalu sedih sehingga urusan lain terjejas. Amalkan setiap hari membaca Surah Yasin sbb bila baca Yasin selepas solat subuh, sepanjang hari tuh akan dipermudahkan segala urusan kita oleh Allah. Jadikan bacaan Yasin selepas solat subuh sebagai amalan rutin setiap hari. InsyaAllah, saya jamin akan berlaku perubahan yg lbh baik. Saya juga jadikan amalan ini setiap hari, dan Alhamdulillah saya mang rasa hidup ini lbh baik dari sebelumnya.. rezeki jugak mencukupi… sebenarnya byk amalan yg blh dijadikan amalan dlm rutin harian dlm menundukkan org ataupun nak bagi org lain sayang kita, semua ada dlm Quran. Sbg cth, bila dtg mak mertua atau ipar-duai, masa kita buatkan air dan makanan bacalah doa Surah Yusuff ayat 4, ulang 3x selepas tuh hembus pada minuman yg kita bancuh dan pada makanan yg kita masak tuh dan niat spy mak mertua dan ipar-duai syg pada kita dgn ikhlas. Tak susahkan!
Selain itu, AYATUL MUHABBAH jugak sgt elok dijadikan doa harian. Amalkan ayat ini SETIAP HARI selepas menunaikan solat fardhu 5 waktu. Doa ni adalah utk disayangi & dikasihi oleh suami/isteri, anak2, kaum kerabat, jiran2, rakan2 dan seumpamanya. “Katakanlah (wahai Muhammad): “jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran : Ayat 31). Seeloknya hafal dlm bahasa arab sbb kita kena ikut adab2 semasa berdoa. Doa yg diambil terus dlm Quran, tak boleh dirumikan, kena baca dlm bahasa arab, sbb ayat2 dlm Quran adalah ayat2 Allah, bukan ciptaan manusia yg boleh ditukar2 bahasa. Byk lagi doa yg kita blh amalkan, semua ada dlm Quran. Rujuklah Quran selalu.

Jln terakhir spy mak mertua dan ipar-duai lembut hatinya, amalkan doa pelembut hati. Bila berhadapan dgn mereka, bacalah kerap kali seberapa yg mampu. Doa ni pun elok dibaca selepas baca doa surah Yusuf. “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah…” (Surah Al-Hasyr : Ayat 21)
Tiada mslh berlanjutan sehingga berakhirnya hayat kita. Semua ada penghujungnya, itulah juga ujian keatas kita dkt dunia ni. Dunia ni tak panjang, pejam-celik dah bertukar hari. Jadikanlah hidup singkat kita ni dgn kebahagiaan yg kita cipta sendiri walau sekeliling kita penuh dgn ranjau dan duri.

Lima perkara rosakkan pahala puasa

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

PERKARA yang boleh menghilangkan pahala puasa seseorang boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Hissiyyah (jelas dan diketahui umum) dan Maknawiyyah (tidak disedari). Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Lima perkara yang merosakkan pahala puasa seseorang”.

  Menipu – ia satu daripada sifat orang munafik. Nabi SAW ditanya adakah wajar bagi seorang dikatakan pengecut? Jawab Nabi SAW: Ya. Adakah wajar dikatakan kedekut? Jawab Nabi SAW: Ya. Adakah wajar dikatakan penipu? Maka Nabi SAW menjawab: Tidak.

  Mengumpat – iaitu menyebut keburukan seseorang pada waktu ketiadaannya. Bagi mereka yang bersama-sama di dalam majlis itu juga dikira dosa. Firman Allah SWT kepada yang menyebut keburukan orang lain bermaksud: “Sanggupkah kamu memakan daging saudaramu sendiri (Al-hujurat: 12).

  Saksi palsu – Ia boleh mengubah yang benar menjadi salah, begitu juga sebaliknya .Tatkala Nabi SAW ditanya mengenai sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT. Nabi menjawab: Syirik (menyengutu Allah), derhaka kepada kedua orang tua. Ketika itu Nabi SAW berbaring lalu bangun dan berkata: “Berhati-hati dengan saksi palsu”. Sehingga sahabat yang bertanya berkata:

” Alangkah baiknya jika kami tidak bertanya”.

  Sumpah dusta – Iaitu bersumpah dengan nama Allah SWT sedangkan dia mengetahui itu adalah dusta semata-mata. Sumpah inilah yang menggoncangkan Arash Allah SWT. Sumpah dusta akan menghancurkan rumah tangga, harta benda dan keturunan (Maksud hadis). Nabi SAW menceritakan bahawa Nabi Isa AS melihat seorang lelaki mencuri lalu bertanya kepadanya: “Kenapa kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: “Demi Allah aku tidak mencuri”. Apabila Isa AS mendengar lelaki tadi bersumpah dengan nama Allah, maka nabi Isa AS menjawab: “Kamu di pihak yang benar dan sesungguhnya mataku yang berdusta (Demi mengagungkan nama Allah).

Malik bin Dinar (seorang Wali Allah) ketika berjalan di kota Baghdad, beliau melihat seorang pemuda mabuk menyebut nama Allah SWT. Malik berkata: “Adakah wajar kalimah Allah SWT keluar dari mulut seorang yang mabuk? Lalu diambil secebuk air dan membasuh mulut lelaki itu. Ketika tidur beliau mendengar ucapan berbunyi: “Wahai Malik, kamu sudah membersihkan mulutnya kerana kami lalu kami bersihkan hatinya kerana mu. Ketika beliau memasuki sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh, maka terpandang seorang lelaki sedang menangis. Apabila didekati itulah lelaki yang mabuk semalam. Malik bertanya: “Apakah gerangan kamu wahai saudara? Jawab lelaki itu: “Sesungguhnya yang memberi hidayah kepadaku sudah memberitahu mu mengenai aku semalam. Allahuakbar.

  Melihat perkara yang diharamkan juga akan menghilangkan pahala puasa. Firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi. “Pandangan adalah panahan beracun daripada pandangan iblis, sesiapa yang meninggalkannya kerana-Ku, akan Ku-gantikan padanya kemanisan iman di dalam hatinya. Sabda Nabi SAW kepada Saidina Ali: “Wahai Ali, tidaklah berlaku dua pandangan di mana pandangan pertama adalah untukmu dan pandangan yang kedua akan disoal oleh Allah SWT.

Penulis ialah Pegawai di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui emel: zaman@nstp.com.my

Dosa kecil berterusan jadi dosa besar kelak

 

Mohd Zawawi Yusoh

PENULIS kerap ditanya mengenai dosa besar. Jadi, pada kali ini, penulis mengambil beberapa pandangan ulama berkenaan pertanyaan terbabit, semoga pengetahuan kita bertambah dan diri jauh daripada dosa.

1. Dosa besar. Iaitu dosa dan perlakuan salah yang dijelaskan hukuman dan laknat serta akibat yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.

Menurut az-Zanabi dalam bukunya al-Kabaair, ada dinyatakan sebanyak 70 dosa besar dan daripada 70 itu diringkaskan kepada jenisnya seperti berikut:

  • Empat jenis di hati iaitu syirik, terus menerus berbuat maksiat, putus asa dan berasa aman daripada seksa Allah.

  • Empat jenis pada lisan iaitu kesaksian palsu, menuduh berbuat zina pada wanita baik-baik, sumpah palsu dan mengamalkan sihir.

  • Tiga jenis di perut iaitu minum arak, memakan harta anak yatim dan memakan riba.

  • Dua jenis di kemaluan, iaitu zina dan homoseksual.

  • Dua macam di tangan iaitu membunuh dan mencuri.

  • Satu di kaki iaitu lari dalam peperangan.

  • Satu di seluruh badan iaitu derhaka terhadap orang tua.

    2. Dosa kecil iaitu dosa yang tidak tersebut di atas.

    3. Dosa kecil yang menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

    Allah juga berfirman, maksudnya: “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran: 135)

    Mengenai tindakan sesetengah di antara kita yang menganggap remeh dosa, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

    Orang yang bergembira dengan dosanya Allah berfirman maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.” (Surah al-Baqarah: 206)

    Mereka yang berasa aman daripada azab Allah, Allah berfirman maksudnya: “Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan perbicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan perbicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Mujadalah: 7)

    Perbuatan maksiat secara terang-terangan, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit.” (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

    Yang melakukan perbuatan dosa itu adalah seorang yang menjadi tauladan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang jelik, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas dia tanpa dikurangi dosa terbabit sedikitpun.”

Solat dan lima jenis manusia

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

 

15 tanda kematian mulia

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

KEMATIAN Micheal Jackson (MJ) mengejutkan dunia. Dunia menangis kerana kehilangan seorang insan seni yang hebat.

Begitulah resam dunia akan mengenang selepas ketiadaan seseorang. Lagi banyak jasa yang ditinggalkan lagi ramai orang merasakan kehilangan kita.

Kali ini bukan kita nak bincangkan jasa MJ tetapi kita perkatakan mengenai kematian mengejut.

Itu yang patut kita tanya diri kita, bagaimana ketika kita mengakhiri kehidupan kita nanti dalam ‘husnul khatimah’ ataupun ’su’ul khatimah.’

Katanya, kematian MJ masih lagi menjadi teka-teki. Mati ketika yang tiada bekalan dan persediaan adalah amat menakutkan.

Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik ‘husnul khatimah’?

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”

Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

 

WAKTU AKHIR SOLAT ISYAK

Soalan;
USTAZ, SAYA INGIN BERTANYA BILAKAH SEBENARNYA HABIS WAKTU SOLAT ISYAK? KATAKAN SAYA DENGAN SENGAJA ATAU TAK SENGAJA BANGUN SEBELUM JAM 5 PAGI ATAU PUN SEBELUM MASUK WAKTU SUBOH DAN MENGERJAKAN SOLAT ISYAK, ADAKAH SAH SOLAT SAYA TERSEBUT? HARAP DAPAT USTAZ BERIKAN PENJELASAN DENGAN DISERTAKAN DENGAN HADIS-HADIS YANG BERKAITAN DENGAN PERSOALAN INI.
SEKIAN DAN TERIMA KASIH ATAS PENJELASAN YANG AKAN USTAZ BERIKAN.

Jawapan;

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh). Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.

Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah. Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran. Di antara bentuk keuzuran ialah;
1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.
Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.
Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).
Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

SOLAT JAMAK KERANA KEPAYAHAN

Soalan;
ustaz, saya berada di australia dan adalah agak sukar utk mencari tempat ibadah di sini yg telah menyebabkan saya terlewat solat sehingga ke hujung waktu. Adakah boleh utk saya melakukan jamak jika berada di dalam keadaan yg sedemikian? situasinya adalah saya keluar dari tempat penginapan lebih kurang pukul 10:45(zuhur disini masuk dlm pukul 1:05) dan keluar utk membeli barang keperluan yang lebih kurang sejam perjalanan dari tempat kediaman. Sepanjang berada di tempat membeli barang-barang keperluan tersebut(yg tiada disediakan tempat utk solat),sebelum saya balik ke tempat kediaman,waktu sudah menunjukkan pukul 4:10 ptg(asar masuk waktu pada 4:49). Saya berada dalam keadaan 50:50 samada utk meneruskan perjalanan pulang atau pun berniat utk melakukan jamak. Saya kemudiannya mengambil keputusan utk bergegas pulang dan hanya sempat melakukan solat pada pukul 4:53 ptg. Soalan saya ialah, adakah kita boleh melakukan jamak jika berada di dalam keadaan tersebut (sayatelah tinggal lebih dari 3 hari di tempat tersebut), atau kita mesti mencari jalan utk menunaikan jgk solat zohor secara berasingan? harap ustaz dapat bantu.terima kasih.salam.

Jawapan;

Solat lima waktu adalah kewajipan yang mesti ditunaikan dalam waktunya. Kerana itu, jika tidak ada sebarang masyaqqah (kepayahan) tidak harus solat lima waktu ditunaikan di luar dari waktunya. Namun jika ada masyaqqah, Syarak memberi kelonggaran untuk menghimpunkan solat, yakni menunaikan dua solat dalam satu waktu sama ada waktu yang pertama (iaitu jamak taqdim) atau waktu kedua (jamak ta’khir). Menurut jumhur ulamak, menghimpunkan solat hanya harus kerana dua sebab sahaja iaitu kerana musafir dan kerana hujan.

Namun sebahagian ulamak memperluaskannya kepada tiga sebab iaitu;
1. Kerana musafir
2. Kerana hujan
3. Kerana suatu keperluan/desakan yang berlaku.

Memakai pandangan kedua itu, diharuskan kita menghimpunkan solat -sekalipun tidak bermusafir- jika kita menghadapi situasi yang sukar yang menyulitkan kita untuk melakukan solat berulangkali, iaitu situasi yang menyamai keadaan orang yang dalam musafir. Sesuatu yang diharuskan kerana masyaqqah (kepayahan), keharusan itu akan tamat dengan tamatnya masyaqqah. Kerana itu, melakukan jamak dalam negeri/kawasan penempatan (tanpa musafir) tidak harus menjadi kebiasaan, sebaliknya digunakan ketika ada keperluan/desakan sahaja. Pandangan ini sekalipun menyalahi jumhur ulamak, namun terdapat sandaran dalil yang kuat di samping ia memberi kelapangan kepada umat Islam dalam keadaan-keadaan tertentu.

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL