Fadhilat Ayatul Kursi

Ayat kursi jauhi syaitan

Firman Allah s.w.t:

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha besar.” – (al-Baqarah: 255)

Sayyid Qutub berkata: “Sesuai dengan pembicaraan mengenai perselisihan dan pergaduhan yang berlaku selepas para rasul dan mengenai kekafiran selepas datangnya keterangan-keterangan yang jelas dan selepas beriman, maka diiringi pula dengan sebuah ayat yang mengandungi asas-asas kefahaman dan kepercayaan keimanan. Ia menyebut sifat-sifat Allah yang menjelaskan konsep wahdaniyat.

Ayat ini adalah sebuah ayat yang amat besar dan amat mendalam makna dan maksudnya dan amat luas bidang dan ruang lingkupnya.

Kata Sayyid Qutub lagi: “Setiap sifat daripada sifat-sifat ini mengandungi asas dari asas-asas kefahaman dan kepercayaan Islam yang semesta. Walaupun ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah pada umumnya berlegar di sekitar pembinaan kefahaman dan kepercayaan ini.

“Namun di dalam ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah juga kita dapat menemui di dalam berbagai-bagai kesempatan pembicaraan mengenai maudhu’ yang pokok dan penting ini.

“Iaitu maudhu’ yang menjadi asas seluruh sistem hidup Islam dan sistem itu tidak akan tegak di dalam hati kecuali tegaknya asas itu dan kecuali asas itu jelas dan berubah kepada hakikat-hakikat yang diterima oleh hati dengan penuh kejelasan dan keyakinan.

“Setiap sifat dari sifat-sifat yang terkandung di dalam ayat ini melambangkan asas kepercayaan Islam yang jelas dan asas sistem hidup Islam yang terang.”

Firman Allah: Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia.

Sayyid Qutub berkata: “Inilah konsep wahdaniyat yang tegas, yang tidak memberi ruang kepada sebarang penyelewengan dan kekeliruan sebagaimana yang berlaku kepada agama-agama yang terdahulu selepas kedatangan rasul-rasul seperti kepercayaan triniti atau mengesakan tuhan yang direkakan oleh dewan-dewan gereja selepas Musa a.s”.

Ia juga tidak memberi ruang kepada sebarang kekeliruan sebagaimana yang berlaku kepada kepercayaan-kepercayaan wahdaniyat yang cenderung kepada konsep tauhid yang disalutkan dengan dongeng-dongeng seperti kepercayaan orang Mesir purba terhadap wahdaniyat Allah s.w.t. Kemudian mereka salutkan wahdaniyat itu dengan kepercayaan bahawa tuhan menjelma pada matahari dan kepercayaan adanya tuhan-tuhan kecil yang tunduk kepadanya.

Konsep wahdaniyat yang tegas dan jelas inilah yang menjadi asas kefahaman dan kepercayaan Islam dan dari asas kepercayaan inilah lahirnya seluruh sistem hidup Islam.

Daripada kefahaman dan kepercayaan inilah lahirnya konsep bertawajjuh kepada Allah Yang Maha Esa dengan Ubudiyah dan amal ibadat. Dengan erti seseorang itu tidak memperhambakan dirinya melainkan hanya kepada Allah dan tidak melakukan ibadat melainkan kerana Allah dan mengikut perintah Allah.

Oleh itu hanya Allah sahaja yang berhak mengatur undang-undang bagi manusia dan perundangan manusia mestilah mengambil dari syariat Allah sahaja. Mana-mana tradisi atau peraturan yang bertentangan dengan syariat Allah adalah tidak mempunyai sebarang hak undang-undang (legaliti) dan sebagainya dari perasaan-perasaan di dalam hati atau peraturan-peraturan di dalam kehidupan dunia yang terkeluar dari konsep wahdaniyat.

Firman Allah: Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya?”

Al-Maghari berkata: “Allah sekali-kali tidak tidur begitu juga mukadimah kepada tidur yang membawa kepada mengantuk dan sebagainya. Begitu juga segala makhluk di bumi dan langit di bawah kekuasaan-Nya mesti tunduk kepada takdir qada-Nya. Disinilah yang menunjukkan sifat uluhiah-Nya.

“Seterusnya Allahlah yang bersifat keesaan dalam kerajaan dan penguasaan. Yang lain tidak berhak mendapat syafaat kecuali dengan syafaat dan izin-Nya”.

Firman Allah: Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.

Al-Nasafi berkata: “Allah mengetahui sebelum mereka dan selepas mereka. Digunakan ganti nama pada langit dan bumi seperti untuk yang berakal. Ini kerana terdapat di dalam dunia ini mereka yang berakal seperti manusia”.

Firman Allah: Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Al-Baghawi berkata: “Iaitu memenuhi dan ulama telah khilaf berkenaan dengan perkataan ‘Kursi’”.

Al-Hasan berpendapat dengan Arasy. Sedangkan Abu Hurairah berpendapat ia bermaksud ‘tempat yang diletakkan dihadapan Arasy’.

Ibnu Jauzi menyebut: “Dikehendaki dengan kursi ialah ilmu Allah seperti riwayat Ibnu Jubair daripada Ibnu Abbas”.

Oleh kerana ayat ini dikenali ayat kursi dan mempunyai banyak kelebihan dan fadilat. Justeru penulis menyebut kelebihannya:

Pertama: Ayat kursi merupakan ayat yang paling besar dan agung dalam kitab Allah seperti riwayat Muslim.

Kedua: Syaitan tidak mendekati sesiapa yang ingin tidur pada malamnya dengan membaca ayat kursi. Iaitu dalam pemeliharaan Allah seperti riwayat Al-Baghawi.

Ketiga: Siapa yang membaca ayat kursi pada waktu pagi dan dua ayat daripada awal ‘Haa’ ‘Miim’ nescaya dipeliharanya pada hari tersebut hingga ke petang. Begitulah siapa yang membacanya pada waktu petang dipeliharanya sampai waktu pagi.

Iktibar Ayat:

* Besarnya kekuasaan Allah s.w.t.

* Sifat Allah s.w.t. yang tidak mengantuk dan tidur yang bersifat Maha Qayyum dengan sendirinya.

* Fadilat beramal dengan ayat kursi

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 269 other followers

%d bloggers like this: