Teknik Solat Berkualiti

Kerugian besar lengahkan solat

 

RASULULLAH SAW bersabda: Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.

 

Hakikatnya solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan atau disempurnakan oleh setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun.

 

Sayangnya, masih ada di kalangan umat Islam yang tidak langsung mendirikan solat, kalau buat pun, ada yang melengah-lengahkan waktu solat, melakukan solat secara tergesa-gesa serta tidak khusyuk dan banyak lagi.

 

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN menemu bual pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia , Zaharuddin Ab. Rahman bagi mengupas persoalan ini.

 

Sungguhpun waktu solat itu telah ditentukan, mengapa kita digalakkan agar tidak melengah-lengahkannya dan apakah ganjaran mereka yang bersolat di awal waktu?

 

ZAHARUDDIN: Keperluan untuk menunaikan solat di awal waktu jelas daripada hadis yang bermaksud: “Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu.” (riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

 

Namun ada beberapa ketika yang dibenarkan untuk melewatkan solat seperti jika cuaca terlampau panas dan berjemaah secara terbuka di luar. Sabda Nabi SAW: Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat Zuhur, kerana kekuatan panas (matahari) adalah daripada bahang neraka jahanam. (riwayat al-Bukhari).

 

Namun mungkin keadaan terlalu panas ini sudah kurang timbul kerana kini, kita menunaikan solat di masjid yang redup dan berhawa dingin.

 

Bagi menjelaskan ganjaran mereka yang menjaga waktu solat. Rasulullah bersabda: Pada suatu hari Rasulullah ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat tepat pada waktunya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Di samping itu, Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuk, sujud dan khusyuk maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang tidak bersolat, tidak dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujud dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.” (riwayat al-Tabrani dan Baihaqi).

 

Sementara, dalam surah al-Mukmin ayat 8 hingga 11 yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya; mereka itulah orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

 

Perkataan memelihara solat mempunyai pengertian yang cukup luas. Boleh ustaz huraikan?

 

ZAHARUDDIN: Erti memelihara solat yang termudah adalah menjaga solat fardu lima kali sehari semalam. Namun, lebih dalam dari itu, penjagaan solat juga menuntut kita untuk mendirikannya dan bukan sekadar menunaikannya. ‘Tunaikan’ dan ‘dirikan’ adalah dua benda yang berbeza. Tunai lebih cenderung kepada proses melaksanakannya pada satu-satu waktu dan kemudian ia dikira selesai tanpa mengira kesan selepas dan persembahan spiritual semasa pelaksanaannya.

 

Manakala erti ‘mendirikan’ solat pula tidak bermaksud sedemikian, ini kerana kita dituntut untuk melaksanakan solat secara fizikal dan spiritual lalu berterusanlah kesan solat itu dalam kehidupan seharian kita.

 

Perlu sama-sama kita menyedari bahawa yang dituntut semasa solat adalah usaha untuk meyakinkan yang kita sedang berhadap dengan Allah dan hati kita juga sedang dilihat oleh-Nya. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud: Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke lain. (al-Bukhari dan Abu Daud)

 

Perasaan inilah yang perlu dibawa hingga keluar solat, maka dengannya kita pasti akan dapat merasakan setiap tindakan kita dilihat oleh Allah SWT.

 

Apakah yang dimaksudkan solat berkualiti dan bagaimana memperolehnya?

 

ZAHARUDDIN: Maksud solat berkualiti merangkumi semua hal-hal yang telah saya nyatakan sebelum ini, selain itu solat ini juga didirikan berlandaskan ilmu dan bukannya secara ikutan tanpa mengetahui asas sesuatu pergerakan dan tindakan itu.

 

Solat bagi mereka yang mengikuti mana-mana ilmuwan dan alim ulama secara ‘lihat, pandang dan dengar’ sudah tentu sah jika menepati rukun dan syaratnya.

 

Namun, apabila kita ingin mengulas perihal berkualiti, ia sudah tentu perlu lebih dari sekadar sah. Atas sebab demikian ia memerlukan ilmu yang lebih jelas tentang dalil-dalil yang disandarkan pandangan ulama tersebut. Inilah namanya menaiktarafkan tahap ilmu agar pencapaian pahala dan keyakinannya semakin tinggi.

 

Pahala bagi seorang yang menunaikan ibadah dengan ilmu amat berbeza dengan solat mereka yang tidak didasari ilmu.

 

Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata: “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. (Jami’ Bayan al-‘Ilm wa fadlihi, Ibn Abd Barr, 1/27)

 

Malah Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Disebutkan kepada nabi terdapat dua orang lelaki, seorang daripadanya ahli ibadat manakala yang satu lagi ahli ilmu. Lalu Nabi memberi respons, keutamaan orang yang punyai ilmu melebihi daripada orang yang beribadat (tanpa ilmu) adalah seperti keutamaanku dengan yang paling rendah daripada kalangan kamu (sahabat). (riwayat Tirmizi, no. 2685, 5/50)

 

Syeikh Al-Mubarakfuri menghuraikan bahawa ahli ibadat yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah mereka yang banyak melakukan ibadat tetapi hanya didasari ilmu yang sedikit. Beliau juga menjelaskan bahawa Nabi membandingkan keutamaan dirinya dengan seorang sahabat yang paling rendah kemuliaannya, itu perbandingan si alim dengan si ahli ibadat. (Tuhfatul ahwazi, 7/379)

 

Inilah juga yang ditegaskan oleh Syeikh Khatib As-Syarbini As-Syafie di dalam kitabnya di mana beliau menegaskan erti ‘lihat’ dalam hadis Nabi: “Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku mendirikan solat.”, adalah ilmu iaitu, sebagaimana aku mengetahui kaedah dan sifat aku solat.

 

Solat sebegini akan lebih mudah meraih nikmat khusyuk yang merupakan satu kenikmatan spiritual yang amat bernilai buat kehidupan di dunia dan di akhirat.

 

Bagaimanakah cara berhikmah untuk mengajak orang mendirikan solat kerana kita tidak mahu perkara ini dipertanggungjawabkan ke atas kita di akhirat kelak atas alasan segan atau takut mengecilkan hati mereka?

 

ZAHARUDDIN: Sebaik-baik cara adalah kembali kepada asas (back to basic). Kita cuba ajak mereka berfikir semula bahawa hidup dan keseronokan dunia hanyalah untuk beberapa puluh tahun sahaja. Jangan kita tujukan kepada mereka, tetapi tujukan kepada diri kita terlebih dahulu iaitu termasuk mereka yang sedang ingin menasihati. Ingatkan perihal kematian, ia adalah saranan Nabi SAW dalam hadisnya: “Perbanyakkanlah ingatan kepada perkara yang memutuskan kenikmatan sementara, iaitu mati.”

 

Jika penerimaannya baik, boleh diteruskan dengan memberi kefahaman perihal dosa mereka yang meninggalkan solat, antaranya adalah satu kaki sudah menjadi kafir, sebagaimana disebut di dalam hadis: “Sempadan antara seorang itu Islam dan kafir adalah jika mereka meninggalkan solat.” Ini bererti, mereka yang meninggalkan solat dikira sudah separuh badan di sempadan kekafiran yang amat berbahaya.

 

Gunakan cara nasihat yang didasari kasih sayang dan ingin membantu, cara lembut sentiasa lebih utama daripada kaedah yang keras dan menempelak. Kaedah ini juga datang dari al-Quran dan hadis.

 

Setelah itu, sentiasa galakkan dan bina kemampuan solat orang dituju secara beransur-ansur. Jika sukar, boleh sahaja minta dia mendirikan satu waktu solat sehari terlebih dahulu dan seterusnya semakin baik. Insya-Allah.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 267 other followers

%d bloggers like this: