Isteri Nusyuz

Dijawab oleh Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden PGSM

 

Soalan

SAYA baru mendirikan rumah tangga hampir setahun. Saya dan isteri bekerja serta tinggal di Johor Bahru. Beberapa bulan lalu saya ditukarkan ke Shah Alam dan kami tinggal berasingan. Isteri saya masih bertugas di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa bersama kawannya. Masalahnya, saya beberapa kali mengajaknya pindah dan berhenti kerja supaya dapat mengikut saya ke Shah Alam tetapi beliau enggan. Alasan yang diberi, sukar mencari kerja baru di Lembah Klang, ingin mempunyai pendapatan sendiri kerana ingin membantu keluarganya di kampung dan bosan duduk di rumah tanpa kerjaya. Untuk pengetahuan tuan, saya membeli rumah dan menyediakan segala keperluan selain gaji yang mencukupi untuk menanggung kami sekeluarga. Buat masa ini isteri saya sanggup berulang alik setiap minggu dari Johor Bahru ke Shah Alam. Isnin hingga Jumaat saya tinggal bersendirian dan makan minum terpaksa dimasak atau beli di warung. Adakah tindakan isteri enggan mengikuti saya ke Shah Alam dikira nusyuz? Jika isteri nusyuz, adakah wajib saya memberi beliau nafkah? Apa yang perlu saya lakukan?

 

SUAMI RESAH,
Shah Alam

Jawapan:

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.”

 

Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam.

Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan. Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama. Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

 

About these ads

3 Respons

  1. saya baru berkahwin 23 oktober 2010. isteri saya berasal dan berkhidmat di sabah manakala saya pula berasal dan berkhidmat di melaka. Masalah timbul pada bulan disember apa isteri saya terbaca sms dari rakan2 perempuan saya sewaktu saya belum berkahwin dengan dia. Selepas kejadian itu isteri saya mula menjauhkan diri dari saya, dia tidak lagi mahu menjawab panggilan saya dan tidak lagi membalas sms saya, bagi kami yang berjauhan seperti ini, hanya itu saja lah alat komunikasi yang ada untuk kami berhubung.

    • salam nazrulazam..

      saya mohon maaf andai komen saudara saya delete n hanya sebahagian saya terbitkan…
      dah banyak kali saya selalu nasihatkan dlm blogs ni.. pada suami isteri TOLONG JGN BUKA AIB HUBUNGAN RUMAHTANGGA… membuka aib isteri mahupun suami adalah DOSA BESAR… blogs ni adalah utk berkongsi ilmu agama dan amalan2 yg baik utk kita amalkan dlm kehidupan kita sbg bekalan kelak. blogs ni bkn utk meluah dan membuka aib masing2 terutamanya rahsia rumahtangga…

      saya sarankan agar saudara berjumpa ngn ustaz yg ble membimbing dan sbg kaunselor.. jgn malu utk meluah pada org yg tepat, cara meluah dlm blogs bukanlah 1 kaedah yg bijak dan settlekan mslh… kalo saudara tak tau nak berjumpa atau berbincang utk keluar dari mslh awak, saya ble cadangkan sesorg yg ble saudara bawa berbincang… sila email saya yer…

  2. Suami saya memaksa sy utk berhenti kerja. Ini kerana sy memintanya utk sediakan tpt tinggal ditgh2 antara tpt kerja sy dan tpt kerja suami spy berlaku adil. suami kerja di seremban, sy kerja di KLCC. Jadi, sy pinta suami sediakan tpt tinggal pertengahan antara Seremban dan KLCC. Tetapi suami enggan dan mahu tinggal di Seremban. Dia menyuruh sy berhenti kerja. Sy tidak boleh berhenti kerja krn saya terikat dgn sykt tpt sy bekerja krn semasa sy belajar dibiayai sepenuhnya oleh sykt itu jadi sy terikat utk bekerja di sykt itu utk satu tempoh masa yg lama. Suami menyuruh saya tinggal di Seremban, sy sudah cuba utk tinggal dan ulang alik dr Seremban ke KLCC tapi sy merasakan perjalanan terlalu jauh, sy tidak mampu. jadi, sy tinggal di rumah ibubapa di KL dgn izin suami. Tetapi kini, suami sy telah menghantar saman kpd saya iaitu perintah kembali taat. Dia menuduh sy nusyuz. Adakah mahkamah akan menuduh sy nusyuz.? Sy juga pernah ditampar dan ditendang semasa sedang mengandung 8 bulan. Saya memang ingin hidup dgn duami saya tapi saya perlukan agar suami bertolak ansur dgn sediakan rumah ditengah2 antara tpt kerja dia dan saya? Adakah alasan saya boleh diterima oleh mahkamah?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 269 other followers

%d bloggers like this: