Kisah cerai membawa aib

Akhir-akhir ini kita dihidangkan pelbagai kisah mengenai perceraian selebriti. Antaranya Nash, Nora Danish, Seri Bayu dan Erema, AC Mizal, Beego serta Abby dan Norman Hakim. Sama ada perceraian itu baru berlaku atau masih dalam perbicaraan mahkamah, kisah perceraian selebriti -selebriti ini menjadi topik yang paling diikuti oleh masyarakat.

Masyarakat menjadi begitu teringin untuk mengetahui apakah punca mereka berpisah. Dari situ, timbul pula andaian dan telahan. Media pula sebagai wadah penyebar maklumat, cuba untuk memenuhi keinginan tersebut.

Tanpa disedari, akhirnya keinginan semua pihak yang terbabit – selebriti, masyarakat dan media – kemudiannya mencetuskan satu senario baru: Menceritakan kisah-kisah ‘dalam kain’ pasangan terbabit!

Selebriti-selebriti ini menyalahkan satu sama lain dan menceritakan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi rahsia. Akhirnya, pelbagai keburukan pasangan didedahkan.

Wajarkah fenomena ini berlaku? Bukankah perceraian yang dihebohkan itu bukan sahaja membuka pekung di dada, malah perbuatan membuka aib pasangan adalah sesuatu yang amat dilarang oleh Islam?

Hal tersebut dipersetujui oleh Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Lizza Mohamed Said.

Noor Lizza mengingatkan semua pihak iaitu selebriti, media dan masyarakat, kedudukan perceraian tidak sama dengan perkahwinan yang sepatutnya diuar-uarkan dan diheboh-hebohkan. Tujuannya mengelak daripada berlakunya fitnah apabila pasangan terbabit hidup berdua.

Rendah diri

Berbeza dalam konteks perceraian, baik yang melibatkan selebriti mahupun masyarakat biasa, ia tidak digalakkan untuk dihebah-hebahkan. Sekalipun perkara perceraian itu sesuatu yang halal namun ia amat dibenci oleh Allah s.w.t.

Penghebahan perceraian juga membawa kesan yang negatif apabila ia seolah-olah menggalakkan masyarakat untuk bercerai sekalipun perceraian itu disyariatkan.

Firman Allah yang bermaksud: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu…(al-Baqarah: 229).

Noor Lizza menegaskan, kesan hebahan perceraian bukan sahaja pada diri, suami isteri atau orang yang berada di sekeliling seperti anak-anak, bahkan keluarga kedua-dua belah pihak dan masyarakat.

Bagi suami, katanya, akan terbuka aib dan dia akan merasa rendah diri lebih-lebih lagi jika keaiban itu melibatkan kes-kes mati pucuk, serta tidak memberi nafkah. Keadaan ini membuatkan suami akan merasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

Begitu juga bagi isteri yang sedang melalui tempoh perceraian, akan mudah berasa tertekan, kehilangan tempat bergantung dan tertekan dengan urusan-urusan hak penjagaan anak . Hal-hal seumpama ini tidak wajar dihebahkan kepada umum.

Cukuplah sekadar pasangan yang terlibat mengetahuinya sebagaimana firman Allah melalui surah al-Baqarah ayat 187, “…mereka itu pakaianmu dan kamu pakaian mereka… ” yang secara tidak langsung menekankan konsep saling menghormati hak privasi pasangan masing-masing. Segala keaiban yang berlaku sepanjang tempoh perkahwinan adalah hak pasangan untuk tidak dihebahkan.

Bukan untuk dihebohkan

Manakala kesan kepada anak-anak turut merumitkan. Anak-anak akan merasa tertekan ekoran cerita-cerita keburukan kedua-dua ibu bapa yang disayangi oleh mereka diperkatakan oleh khalayak. Malah anak-anak turut berada dalam situasi konflik apabila terlibat dalam urusan hak penjagaan anak.

Noor Lizza sekali lagi mengingatkan, cerita-cerita perceraian sememangnya tidak digalakkan dalam Islam untuk dihebohkan secara keterlaluan.

Paling ditakuti, apabila isu-isu perceraian ini akan mewujudkan fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat sekali gus kesan di pihak lain, mereka akan merasa takut untuk berkahwin sekali gus menimbulkan kesan fobia masyarakat terhadap institusi perkahwinan.

Justeru, isu perceraian sewajarnya perlu diketahui oleh pihak-pihak yang berwajib dan bukan untuk dihebohkan. Apabila ia menjadi hebahan, maka berlakulah juga fenomena saling membuka keaiban pasangan masing-masing kerana cuba mempertahankan diri. Walhal jelas sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menutup aib orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat”.

Bercerita mengenai isu perceraian, Islam menggariskan, perceraian yang berlaku haruslah berjalan dengan cara yang baik termasuk tidak mengheboh-hebohkannya sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Ahzab ayat 28 yang bermaksud, “…atau lepaskan mereka dengan cara yang baik…”

Malah Islam turut mengambil kira faktor-faktor lain apabila seseorang itu berhasrat untuk bercerai. Antaranya, memastikan terlebih dahulu bahawa isteri tidak berada dalam keadaan haid atau tidak uzur.

Ini kerana cerai yang berlaku ketika isteri uzur, hukumnya adalah haram sekalipun cerai tersebut sah di sisi syarak.

Firman Allah di dalam surah al-Talaq ayat 1 yang bermaksud, Wahai nabi, apabila kamu (engkau dan umat-umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan ‘idahnya…

Jika hal sedemikian turut menjadi perkara penting apabila sesuatu perceraian berlaku, apatah lagi kewajipan menutup keaiban daripada sebab yang membawa perceraian berkenaan.

Wasiat Allah kepada umat Islam, supaya hal-hal yang berkaitan dengan perceraian perlulah dihadapi dalam keadaan yang cukup baik tanpa mengaibkan mana-mana pihak.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 258 other followers

%d bloggers like this: