Di mana nilai sebuah janji?

Oleh: Ustaz Shauqi

Seringkali kita mendengar tentang ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya ungkapan ini membawa kepada maksud yang negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Mengapakah terjadi sedemikian?. Apakah benar masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang tidak suka menepati janji? Sehubungan dengan itu, pepatah Melayu yang mengatakan `bagai menanam tebu di tepi bibir’ hendaklah diambil perhatian kerana ia merujuk kepada orang yang suka menabur janji tetapi tidak suka menunaikannya.

Terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu pada hari ini memang suka menabur janji serta mengungkapkan janji dengan begitu mudah. Namun, persoalannya sejauh manakah janji yang telah dibuat itu ditepati? Apatah lagi sebagai orang Melayu yang dididik dengan ajaran Islam yang murni, sememangnya sudah dimaklumi bahawa memungkiri janji merupakan suatu dosa yang besar dan perbuatan itu bukan sahaja akan menghakis adat budaya Melayu tetapi juga mencemar kesucian dan kemurnian ajaran Islam!.

Pemimpin sering-kali menaburkan janji-janji manis kepada rakyat tetapi hakikatnya janji tersebut tidak ditunaikan sebagaimana yang telah dijanjikan. Ahli politik pula berusaha menarik sokongan ramai dengan pelbagai janji yang dibuat yang sebahagiannya memang sudah diketahui tidak mampu untuk dilaksanakan. Seorang rakan berjanji kepada kawannya untuk melakukan sesuatu, namun tidak melaksanakannya. Penjual tiket bas berjanji kepada pembeli bahawa bas akan bertolak tepat pada waktu yang ditetapkan, akan tetapi apabila tiba masanya bas masih tidak bertolak dan kadang-kala lewat sejam atau setengah jam daripada waktu yang dijanjikan. Begitulah pelbagai ragam dan fenomena janji dalam masyarakat kita yang amat memalukan!.

Janji merupakan suatu perkara yang amat diambil berat dalam ajaran Islam. Menepati janji itu adalah tuntutan syara sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Israk ayat 34 yang bermaksud: ”Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”. Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji.

Oleh kerana itu, jangan mudah kita membuat janji sekiranya janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi apatah lagi sememangnya untuk dimungkiri. Apabila seseorang itu berjanji, ia wajib menunaikan janjinya itu. Perbuatan mungkir janji bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan Allah, bahkan akan turut menyebabkan berlakunya kesusahan kepada orang lain.

Mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janji akan mendapat dosa dan balasan seksa di akhirat. Malahan individu sebegini dikategorikan dalam golongan yang beramal dengan sifat-sifat orang munafik. Ia ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia mengingkari janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.” Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh sesuatu keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, ia tidaklah termasuk dalam golongan munafik itu.

Ayat al-Quran pula dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menunaikan janji apabila mereka berjanji menerusi firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu…”. Maksud janji dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan Allah dan perjanjian manusia sesama mereka. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 177 pula bermaksud: ”Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Justeru, mereka yang sering berjanji tetapi masih tidak tahu cara untuk menunaikan janji hendaklah ’belajar’ kembali untuk menuruti ajaran Islam melalui wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Mereka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan janji apabila berjanji. Akan tetapi sekiranya mereka merasakan tidak mampu untuk menunaikan janji, maka janganlah sekali-kali menabur janji agar terselamat daripada termasuk ke dalam golongan yang beramal dengan amalan orang munafik yang dikutuk oleh Allah!.

 

~Posted by Ustaz Shauqi Othman

 

 

 

About these ads

Satu Respons

  1. Apakah yang di maksudkan janji di dunia?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 268 other followers

%d bloggers like this: