Kasih Sayang

Kasih sayang itu titi
Kasih sayang penghubung hati
Kasih sayang itu tali
Kasih sayang pengikat diri
Dari kasih timbul simpati
Dengan sayang ada persaudaraan
Kerana kasih ingin berbakti
Saling sayang ma’af mema’afkan

Kasih sayang itu baja
Kasih sayang penyubur jiwa
Kasih sayang itu penawar
Penguat cinta penghapus duka

Kasih manusia sering bermusim
Sayang manusia tiada abadi
Kasih TUHAN tiada bertepi
Sayang TUHAN janji-NYA pasti

Tanpa kasih sayang TUHAN
Tiada simpati tiada persaudaraan
Tanpa kasih sayang TUHAN
Tiada bakti tiada kema’afan
Kasih sayang pada semua
Kasih sayang sesama kita
Kasih sayang oooo dunia
Moga selamat di Akhirat sana

Advertisements

Selamatkan Palestin

kanak2-mangsa-yahudi.jpg

How many must DIE before you act????

Usah Membujang

Oleh Idris Musa

“Kahwin penyubur rezeki FITRAH kehidupan, daripada alam tumbuhan dan haiwan, malah manusia sejak zaman Nabi Adam, diciptakan berpasangan, ada lelaki dan perempuan supaya dapat mengembangkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan hidup.”

Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.

Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.

Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.

Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?

“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.

“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.

Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.

Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.

Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.

Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.

“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.

Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu.

“Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.

“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.

“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai.

“Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.

“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.

Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.

Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini.

Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.

Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A’raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.” 

Isteri kedua terabai tak dapat hak giliran

www.bicarakalbu.blogspot.com

SAYA mohon pandangan bagaimana untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri sebagai wanita Islam yang sudah insaf. Sebenarnya saya adalah isteri kedua dan berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama. Pada mulanya sukar untuk menerima realiti berkahwin dengan suami orang. Pelbagai cabaran dihadapi, namun saya menerimanya dengan ikhlas dan berharap suami berlaku adil kepada saya dan madu. Isteri pertama tidak dapat menerima saya hingga hari ini. Oleh itu, sejak peringkat awal perkahwinan, saya tidak ada giliran. Suami meminta supaya seluruh giliran saya diberikan kepada isteri tua. Untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya menerimanya dengan bersyarat. Kami membuat perjanjian yang dipersetujui bersama, apabila saya mempunyai zuriat nanti giliran isteri akan diberi sama rata. Sejak itu, suami hanya berjumpa saya pada waktu kerja. Kini sudah lima tahun usia pernikahan dan kami dikurniakan cahaya mata. Namun suami tidak melaksanakan janjinya.

Bukan saya tidak bertimbang rasa kerana dalam banyak perkara saya mengalah. Apakah lagi yang perlu saya lakukan? Bagaimanakah langkah seterusnya yang harus dilakukan? Bersabar yang bagaimanakah harus ditabahkan? Saya sentiasa berdoa supaya Allah memberi kekuatan dalam menempuh segala ujian datang.

Adakah sama status isteri kedua, ketiga dan keempat? Apakah makna sebenarnya adil dalam konteks poligami? Bantulah saya menangani masalah ini kerana saya fikirkan mengenai pendidikan anak kerana saya sudah berkorban dengan merelakan giliran saya diambil. Saya bingung, apabila balik ke kampung hanya bersama anak dan bersendirian menghadapi segala permasalahan rumah tangga ini.

Isteri kedua yang terabai
Shah Alam


PUAN yang dirahmati Allah. Izinkan saya memberi pandangan dan berkongsi pengalaman kerana saya juga adalah isteri kedua. Semoga perkongsian ini akan dapat memberikan manfaat dan nilai tambah dalam usaha puan memperbaiki keadaan.Pertama, dalam kehidupan suami isteri sama ada seorang isteri atau berbilang isteri, yang ingin kita capai adalah sakinah, mawaddah dan rahmah seperti diajarkan Allah kepada kita dalam al-Quran.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (ketenangan) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Apatah lagi dalam rumah tangga poligami yang terkadang kita terjerumus kepada hanya mementingkan hak kita saja sama ada isteri pertama atau isteri kedua hingga kita mengabaikan elemen sakinah (bersenang hati dalam ketenangan dan kemesraan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan).
Tujuan poligami dalam Islam ialah untuk membela wanita. Ia bermakna mana-mana wanita berada dalam institusi perkahwinan poligami akan mendapat jaminan pembelaan baik dari sudut emosional dan fizikal.

Ia bermakna semua isteri mempunyai hak mendapat layanan seimbang daripada suami baik daripada sudut menyempurnakan nafkah lahir dan batin. Walaupun dari sudut kasih sayang tidak ada manusia yang boleh bersikap adil, namun suami tidak boleh melebihkan salah seorang isterinya semata-mata kerana dia cenderung atau lebih mencintainya.

Dia wajib bersikap adil sama ada dari sudut giliran antara isterinya, juga dalam menyara mereka. Merujuk kepada penulisan puan, perkahwinan sudah berlaku. Antara risiko ditanggung isteri kedua yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama ialah yang berlaku kepada puan.

Jika suami kurang bertanggungjawab dan tidak menjalankan amanah perkahwinan, maka ia akan mudah melakukan penyelewengan dalam soal pembahagian hak giliran dan keadilan memberi nafkah.

Persoalan sama ada isteri pertama menerima puan atau tidak bukanlah asas yang membolehkan suami tidak menjalankan tanggungjawab dan menyeleweng daripada keadilan terhadap isterinya.

Apabila akad dilakukan itu sah, maka suami wajib bertanggungjawab sepenuhnya atas lafaz berkenaan seperti beliau harus bertanggungjawab kepada isteri pertamanya.

Namun, disebabkan perkahwinan ini dilakukan rahsia, maka di sinilah isteri kedua banyak terperangkap dalam ‘mengalah’ supaya suami tidak menghadapi kesukaran dan isteri kedua pula berpada demi ‘mengharmonikan’ suami dan ‘mendamaikan’ keadaan rumah tangga sendiri.

Namun, keadaan mengalah ini tidak dapat bertahan lama kerana suami tidak mengambil langkah positif selepas beliau mempunyai dua isteri. Oleh kerana asas pertama perkahwinan tidak dilakukan dengan baik, akhirnya puan yang akan menderita sedang suami seolah-olah lepas tangan.

Jika puan berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama dan suami tidak mempunyai surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri serta tidak mempunyai surat perintah mahkamah yang membenarkan poligami dilaksanakan, maka benteng pertahanan puan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawabnya semakin tipis kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal beliau daripada melakukan ketidakadilan.

Perkara inilah yang selalu dipandang ringan isteri kedua, ketiga dan keempat sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Walaupun ada perjanjian antara puan dan suami, oleh kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul, maka sukar mendapatkan apa dijanjikan suami.

Jika puan masih mengharap sesuatu yang baik daripada perkahwinan ini, maka puan dan suami perlu berbincang memperbaiki keadaan. Sila hubungi pejabat agama untuk mendaftarkan semula perkahwinan walaupun puan akan didenda nanti.

Jika isteri pertama masih tidak menerima puan, itu tidaklah menjadi penyebab kepada suami mengabaikan puan. Walaupun di sisi undang-undang suami boleh terlepas, namun mungkin puan perlu memperingatkan mengenai tanggungjawabnya dengan Allah yang akan dipersoalkan kelak.

Isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat, statusnya sama saja. Giliran perlu dilakukan dengan adil seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Jika berlaku kelebihan kepada isteri pertama atau kedua, ia mestilah memperoleh kebenaran dan keredaan daripada isteri lain.

Jadual penggiliran pula tidak ditentukan oleh bilangan anak. Penggiliran adalah hak isteri, tiada kaitan dengan anak. Oleh itu, jika beristeri dua, bilangan hari suami bersama kedua isterinya mesti sama, melainkan terlebih kurang, itupun atas budi bicara masing-masing.

Bagaimanapun, dari sudut keadilan nafkah lahir, ini sudah semestinya berdasarkan bilangan tanggungan. Jika isteri yang pertama mempunyai lapan anak dan kedua lima anak, sudah tentu pemberian nafkah berdasarkan berapa mulut yang perlu disuap.

Oleh kerana isteri pertama punya anak yang lebih ramai semestinya jumlah elaun saraan hidup untuk keluarga pertama lebih besar, sejajar dengan bilangan isi rumahnya. Cuma dalam aspek pengendalian kehidupan seperti jumlah anak berbeza sudah pasti keadilan itu tidak diukur dengan sama rata.

Isteri mempunyai anak ramai tentulah pengurusannya tidak sama dengan isteri yang mempunyai anak sedikit. Namun secara keseluruhan, aspek kehidupan baik isteri pertama mahupun isteri kedua, perlulah saling bekerjasama dan berlapang dada.

Namun, dalam aspek ini tidaklah sampai hak dan kebajikan isteri pertama atau kedua terabai. Pun begitu tidaklah kerana mementingkan hak keharmonian rumah tangga tergugat kerana tiada kebahagiaan dapat dicapai jika salah satu pihak selalu melakukan masalah dan menggugat keharmonian rumah tangga. Tangan mesti bertepuk kedua belah untuk berbunyi.

Oleh itu, bagi memperbaiki keadaan, saya mencadangkan supaya puan berbincang dengan suami akan hal ini. Jika perbincangan tidak berhasil, suami masih tidak mengambil tindakan, maka puan perlu mendapatkan pihak ketiga yang dipercayai dan dihormati suami.

Jika masih tidak berjaya, puan bolehlah menggunakan institusi pengaduan (institusi sulh dengan tujuan memperbaiki keadaan puan sekeluarga).

Bersabar ialah menahan diri daripada segala sifat keji dan mengelakkan melakukan perkara kurang bijak. Sabar mesti dipasangkan dengan solat, bukan sabar berdiam diri dan memendam perasaan, tetapi perlu berusaha dan berdoa kepada Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat (sembahyang) dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Semoga puan terus tabah mengharungi kehidupan berpoligami. Sentiasalah mendekatkan diri dan mengadu kepada Allah kerana terkadang kita tidak tahu Allah menurunkan sakinah kedamaian-Nya kepada kita tanpa disangka.

Berbincanglah dengan baik bersama suami. Jika ada ruang dan peluang, bersemuka dengan isteri pertama, berbincang dari hati ke hati. Jangan bertangguh hingga sesuatu perkara buruk berlaku, barulah kita ingin berkongsi kasih secara harmoni.

Jawapan disediakan Siti Hamisah Manan dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor. Semua persoalan yang lalu boleh layari http://www.bicarakalbu.blogspot.com

Nasihat Syeikh Ali Tantawi kepada semua MUSLIMAH

Wahai puteriku… aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun.

Usia muda telah aku lewati aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku…banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yag sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masya-Allah!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya

Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha unuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawalah kaum lelakilah yang mula mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong…aku kecurian.”

Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki meinginkan lebih dari sekadar kambing……dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu…iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku….Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: Demi Allah, jangan percaya terhadap kata kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong …bohong …demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.”

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu puteriku?

Renungkanlah!  

Jodoh oh Jodoh…

Setiap hari persoalan yang sama akan aku dengari dan akan dihujani… “bila lagi nak kawin??”… balik rumah, mak ayah tanya benda yang sama, bila jumpa kawan-kawan pun persoalan yang sama. Tidak kiralah kawan-kawan yang disekitar mahupun kawan-kawan zaman sekampus… kekadang terasa diri ni sudah tidak mampu menjawab persoalan yang sama setiap masa… tetapi dek menjaga hati orang lain, aku gagahkan juga menjawab dengan jawapan yang sangat mudah dan jelas “belum sampai seru, kan jodoh ditangan Allah, kena sabar jer”…

 

Kawan-kawan sekuliah 4 tahun lepas semua sudah mendirikan rumah tangga… bila dihujani persoalan yang aku sendiri tidak mampu untuk mengubah apa-apa pun sama ada mempercepatkan atau melambatkan, aku cuma tersenyum….

 

Yang membuatkan aku termenung, persoalan tentang ‘jodoh’ ni juga begitu hangat dekat pejabat … kawan-kawan sekerja yang sudah berkahwin asyik menghentam dengan soalan yang sama, siap yang sudah bergelar suami orang dengan mudah berkata “usia-usia macam kamu ni kena diselamatkan, tak ape kalau jadi isteri ke-2, banyak pahala yang akan kamu dapat iaitu ‘payung emas’ dari syurga lagi”… dalam asyik diceramah tentang kebaikan poligami, aku hanya diam dan tidak mengiakan mahupun menolak. Bagiku, bila melihat dipersekitaran dan pengalaman orang lain terlalu banyak risiko yang kena dihadapi… banyak kes yang selalu ada dekat dada-dada akhbar adalah kesan dan keruntuhan rumahtangga yang berpoligami… banyak suami curang dan abaikan tanggungjawab… Tidak salah berpoligami jika mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Buatlah sesuatu yang akan selamatkan kehidupan, bukan membinasakan diri dekat dunia dan akhirat kelak. Terfikir aku sejenak dengan firman Allah….

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa:3)

emmm… ada juga kawan dengan mudah berkata “kamu tuh jual mahal, sebab tuh tak laku!”… soal jual mahal tidak pernah timbul tetapi ciri-ciri lelaki yang akan jadi pilihan yang akan diutamakan… biar lelaki yang betul-betul ada rasa tanggungjawab dan boleh dijadikan sebagai ketua keluarga dan disempurnakan dengan didikan agamanya, itulah yang paling penting untuk mewujudkan keharmonian rumahtangga kelak…

terimbas pula sebuah cerita kisah gadis Bani Ma’­zhum yang sehingga kini aku jadikan sebagai iktibar. Bagaimana kerisauan gadis ini yang begitu tinggi tentang jodohnya sedangkan jodoh belum tiba juga untuknya. Pelbagai ikhtiar yang telah dibuat untuk bertemu jodoh dan akhirnya dia bertemu jodoh juga dengan seorang pemuda yang tampan… tetapi kenikmatan yang dia kecapi hanyalah seketika saja, umpama bermimpi disiang hari apabila suaminya telah meninggalkan dia  tanpa alasan dan kesan selepas menggunakan sebahagian harta Rithah… lelaki itu, cuma berkehendakkan harta yang melimpah ruah bukan kerana keikhlasan…Dan tinggallah Rithah seorang diri, menangisi pemergian suami yang tidak tentu ke mana perginya. Kesedihan dan kemurungannya dilepaskan Rithah dengan membeli beratus-ratus buku benang untuk dipintal (ditenun), setelah jadi hasil tenunannya, wanita itu mencerai beraikan lagi menjadi benang. kemudian ia tenun lagi dan ia cerai beraikan lagi. Begitulah seterusnya ia jalani sisa-sisa hidupnya.. gadis Bani Ma’­zhum ini ialah Rithah Al-Hamqa…

Janganlah terlalu mengikut kehendak hati dalam menghadapi masalah jodoh… usahlah jodoh itu dikejar… Kisah Rithah sepatutnya memberi kesan yang mendalam untuk memberikan pengajaran bagi wanita yang belum menempuhi alam rumahtangga termasuklah diriku sendiri. Jodoh merupakan urusan Allah. Jodoh tidak dapat dihindari manakala kita belum menginginkannya, dan sebaliknya ia juga tidak dapat dikejar ketika kita sudah teramat sangat ingin mendapatkannya. Allah telah menentukan jodoh kita maka tidak layak bagi kita untuk bimbang dan risau malah tidak berhak untuk orang sekeliling mempersoalkan. Kalau sudah sampai waktunya jodoh itu pasti akan datang dengan sendirinya tanpa di undang.  

Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika ditiupkan ruh pada anak manusia tatkala ia masih di dalam perut ibunya sudah ditetapkan ajalnya, rezekinya, jodohnya dan celaka atau bahagianya di akhirat”.  

Sebagai seorang hamba, hanya yang mampu aku lakukan berdoa dan terus berdoa kerana aku yakin Allah Maha Mendengar dan dekat dengan kita… ini jelas dalam firman Allah, 

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah:186) 

Perlu memupuk sikap ‘sabar’ dalam menghadapi jodoh yang mungkin belum juga menghampiri sedangkan usia telah semakin senja…  Firman Allah dalam,

“Dan jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan mereka akan kembali padaNya”. (Surah AI-Baqarah:45) 

kena yakin dengan Allah… ilmu Allah terlalu luas… siapalah kita untuk mempersoalkan apa yang berlaku dan yang kita tempuhi… sedangkan sudah jelas dalam Firman Allah,

 “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…..” (Surah Al-Baqarah:286) 

Renungkan dan ambillah iktibar dari kisah ‘gadis Bani Ma’­zhum’…

wAllahua’lam… 

Hidup sempit jika tolak tazkirah

Ustaz Zain Hashim
Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji. Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda.
Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat.
Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti).”
Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT.
Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama.