Hidup sempit jika tolak tazkirah

Ustaz Zain Hashim
Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji. Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda.
Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat.
Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti).”
Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT.
Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama.
Advertisement

Isteri zina kesal

bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim 

Soalan:

SAYA berstatus isteri dan ada beberapa anak. Saya pernah berzina dengan lelaki lain ketika ketiadaan suami dan perkara itu diketahui suami. Saya menyesal dengan kesilapan lalu. Saya benar-benar insaf dan bertaubat. Berkali-kali saya meminta maaf daripada suami dan sehingga kini memohon keampunan Allah SWT.

Namun, tidak mudah rupanya untuk menghilangkan rasa berdosa. Semakin hari semakin kuat rasa bersalah itu. Apatah lagi suami mula jadi panas baran dan sering memarahi saya.

Kami pernah cuba berbincang dengan baik, tetapi biasanya berakhir dengan pertengkaran. Malah, suami sering berkata: “Jangan sampai aku tidak ampunkan engkau.” Kata-katanya membuatkan saya terfikir bahawa dia masih belum memaafkan saya. Kadangkala saya keliru dengan sikap suami kerana ada masanya dia memujuk dan memberi perangsang kepada saya supaya melupakan semua perkara silam dan bina hidup baru.

Namun ada kalanya dia mengugut saya dengan kata-kata seumpama itu.

Saya tidak tahu apa harus saya lakukan lagi. Setiap langkah terasa sumbang. Saya takut dengan hukum Allah, saya bimbang peristiwa silam itu terus menghancurkan kepercayaan suami kepada saya.

Perkara itu juga masih menghantui saya dan saya kerap berasakan saya tidak layak menjadi isteri dan ibu. Apa harus saya lakukan? Saya berasa hidup saya menuju kehancuran dan tidak lagi mampu menjadi insan berguna.

HAMBA ALLAH Johor

Jawapan:

Puan, nilai seorang isteri solehah ialah taat pada suami dan maruah diri yang dijaga ketika ketiadaan suami. Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis yang mengingatkan wanita supaya menjaga maruah d i r i nya .

Bahkan dosa berzina bagi seorang wanita bersuami sangat besar berbanding wanita belum berkahwin sehingga hukumnya ialah direjam hingga mati. Bersyukurlah pada Allah jika suami masih mahu menerima puan lagi, dia tidak menceraikan puan walau tahu dosa berkenaan.

Suami mana tidak tercabar jika isterinya menduakan dirinya. Walau mulutnya menyebut sudah ampun, namun tidak mustahil sesekali perasaan itu kembali bila dia marah. Puan harus sabar menerima keadaan ini yang sememangnya sukar.

Nasihat saya ialah puan mesti sentiasa ingat dan bertaubat pada Allah. Beri ruang pada suami untuk menerima keadaan ini. Ingat betapa puan bertuah kerana dia masih menerima puan. Manusia mana tidak melakukan kesalahan, namun manusia bersalah yang baik ialah yang bertaubat.

Sejarah lalu tiada siapa dapat mengubahnya, namun hidup akan datang terletak pada kita untuk mencorakkannya.

Jika mahu menjadi baik, buatlah yang terbaik.

Pasangan terlanjur sukar nikah

bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim 

Soalan:SAYA berusia 20 tahun dan ada teman lelaki. Selama dua tahun hubungan, kami pernah terlanjur sehingga saya hamil dan dikurniakan anak lelaki.

Kami bercadang mendirikan rumah tangga, tetapi keluarga saya menghalang dengan alasan teman lelaki saya berasal daripada keluarga susah dan kurang berpelajaran.

Anak saya terpaksa diserahkan pada keluarga angkat bagi menutup malu keluarga. Sehingga kini saya masih berhubung dengan teman lelaki, tetapi ibu dan ayah memberi amaran mereka tidak akan merestui perkahwinan saya jika saya tetap berkeras mahu mengahwini lelaki berkenaan.

Saya buntu dengan keputusan keluarga. Saya tidak faham rasional di sebalik amaran itu kerana terang-terang saya ada anak dengan teman lelaki.

Saya mahu membina kehidupan baru yang diredai Allah, tetapi terlalu banyak halangan.

Apa harus saya lakukan?

TERTEKAN Kedah

Jawapan:

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tiada yang lebih baik bagi dua orang yang bercinta melainkan perkahwinan.” Pada ibu bapa, jika benar beriman pada Tuhan, kahwinkan anak yang ada masalah seperti ini dengan segera.

Sekarang bukan masa lagi untuk memilih darjat dan pangkat, tetapi dosa berzina lebih ditakuti daripada perkara lain.

Jika sudah sampai berzina dan mempunyai anak, saya tidak nampak kenapa ibu bapa berkeras tidak mahu mengizinkan anak berkahwin.

Dalam hal ini, mereka yang lebih faham hal agama perlu menasihati ibu bapa supaya tidak berkeras dengan keputusan mereka. Restu mereka mesti daripada restu Allah dan Allah tidak pernah merestui zina lelaki dan wanita.

Bagi saudari yang inginkan keredaan Tuhan, ingatlah saudari pernah juga mengundang murka Tuhan dengan perbuatan zina. Keredaan Allah juga bermula daripada keredaan ibu bapa.

Adalah lebih baik bBerterus terang dengan ibu bapa dan nyatakan hajat saudari dengan jelas, insya-Allah Tuhan akan membuka hati mereka.

Buntu tidak tunai solat

bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim 

Soalan:

SAYA dan suami bekerja di tempat sama. Suami saya bekerja di luar (menghantar barang) manakala saya di dalam pejabat. Masalah saya ialah, saya tidak dapat menunaikan solat Zuhur kerana majikan saya beragama Buddha dan satu bilik kecil kosong di pejabat dikhaskan untuk meletakkan tokong kecil mereka. Manakala bilik sebelahnya pula dibiarkan kosong .

Soalnya, bolehkah saya bersembahyang di bilik kosong berkenaan (kerana ia terletak betul-betul di sebelah bilik sembahyang mereka).

Saya tiada kereta untuk sembahyang di luar (masjid atau surau). Biasanya saya hanya mengerjakan Asar apabila balik ke rumah (jam 6 petang). Saya risau memikirkan perkara ini.

BUNTU Kelana Jaya, Selangor

Jawapan:

Solat adalah perkara wajib yang tidak boleh ditinggalkan.

Ia boleh dilaksanakan di ruang yang ada dengan mengadap kiblat. Manfaatkan ruang kosong bersebelahan yang ada untuk solat. Tidak salah bersolat di situ, walaupun ia bersebelahan bilik yang ada tokong, kerana ia bukan menyembah tokong di sebelah bilik.

Mungkin Asar dapat dilaksanakan di rumah kerana waktunya masih ada, tapi Zuhur mesti dilaksanakan di tempat kerja .

Suami kaki maksiat

bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim

Soalan:

SAYA isteri bahagia dan ada dua cahaya mata. Suami saya penyayang dan pemurah. Namun yang menjadi kerisauan saya ialah sikap suami bergelumang dengan maksiat kerana dia liat mengerjakan solat dan puasa walaupun puas dinasihati.
Suami saya anggota polis berpangkat pegawai dan oleh itu dia kerap menerima wang haram (rasuah) yang disogokkan kepadanya. Apabila bersosial, dia kerap minum minuman keras bersama rakan pegawai lain. Apabila ditegur, jawapannya ialah saya tidak perlu membebel. Apa yang saya perlu lakukan ialah menjaga rumah dan anak.

Sebenarnya, sebelum berkahwin lagi saya tahu dia minum arak, tetapi saya berharap dia akan berubah apabila ada anak.

Saya sering menasihatinya dengan lembut supaya dia tidak terasa, selain berdoa semoga dia insaf. Namun, semuanya masih tidak berjaya. Sehingga kini, tugas mendidik anak dalam bab agama saya pikul sendirian.

Sepanjang perkahwinan kami, belum pernah dia menjadi imam kepada saya dan anak. Salahkah saya jika berdoa tidak mengandung selagi suami masih meneguk air syaitan itu?

Sememangnya suami inginkan seorang lagi anak, tetapi saya tidak mahu anak yang bakal lahir diberi makan duit haram seperti kami. Apa harus saya lakukan lagi?

ISTERI RUNSING
Kajang, Selangor

Jawapan:

Seharusnya kita menghayati erti bahagia yang sebenarnya. Apakah bahagia diukur sekadar mempunyai keluarga, anak dan suami serta kemampuan kewangan saja atau bahagia sebenarnya ialah bila seorang manusia mentaati Tuhannya?

Puan tahu lebih awal lagi perangai suami sebelum kahwin dan bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi perkara ini. Niat baik puan untuk mengubah suami setelah kahwin sangat murni, namun ia tidak semudah dijangka.

Besar kemungkinan puan terpaksa menjadi seperti Asiah kepada Firaun. Pun begitu, dia sangat sabar menghadapi kerenah suaminya. Tugas isteri bukan sekadar membela anak, tetapi isteri yang baik juga mempunyai ciri yang Nabi katakan ‘membimbing suami ke jalan akhirat’.

Banyak juga kerja harus puan lakukan jika suami mempunyai karektor tidak solat, tidak puasa, makan wang haram dan minum arak.

Semua ini adalah dosa besar dan ingkar pada rukun Islam. Namun, ia tidak mustahil jika puan rajin menasihati dan berdoa untuknyaberubah ke arah kebaikan.

Saya rasa dalam berdoa, biar kita meminta yang patut kerana Allah menjanjikan doa kita akan dimakbul. Mungkin sebagai pengajaran, puan boleh memberi syarat pada suami supaya berubah sebelum puan menunaikan hajatnya untuk mengandung lagi.

Apa pun, Allah tidak akan mengubah nasib manusia melainkan manusia sendiri berusaha melakukannya. Bawa suami berjinak-jinak dengan masjid dan kawan yang boleh mengubahnya, semoga hatinya terbuka.

Solat tapi mengumpat

bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim 

ADAKAH benar ada orang berkata, amal baik orang yang tidak menunaikan sembahyang seperti sentiasa menghormati dan membantu orang lain tidak diterima Allah?Bagaimana pula halnya dengan orang menunaikan sembahyang tetapi pada masa sama tetap melakukan maksiat seperti mengumpat, memfitnah dan tidak menghormati orang tua? Minta Datuk berikan penjelasan mengenai perkara ini.
 

Keliru,
Kajang

Islam adalah agama yang sempurna. Di dalamnya terkandung suruhan dan juga larangan. Suruhan tuhan wajib dilaksanakan dan berdosa jika ditinggalkan dan larangan pula wajib ditinggalkan serta berdosa jika melakukannya.

Suruhan ini pula ada peringkat hukumnya. Ada yang rukun yang wajib dilaksanakan segera dan ada yang diberi tempoh pada manusia. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Buatlah suruhan tuhan apa yang termampu tapi tinggalkan larangannya”.

Ini bererti, dalam membuat suruhan manusia laksanakan ikut kemampuan tetapi larangan pula mesti ditinggalkan tanpa ada sekatan. Hukum tuhan tergolong dalam kategori wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

Amal baik seseorang diterima Allah jika dia seorang Islam dan jika dalam masa yang sama dia tidak solat dia berdosa kerana mengabaikan perintah tuhan iaitu rukun Islam.

Seorang yang menunaikan solat melaksanakan hak tuhan ke atas dirinya dan melaksanakan hablun minallah.

Malangnya jika dia mengumpat dan memfitnah, bermakna dia mencabul hak sesama manusia dan tidak menunaikan tuntutan hablun minannas.

Hak kepada tuhan boleh diampunkan tuhan jika Allah mahu demikian tetapi hak sesama manusia tidak akan selesai kecuali jika dihalalkan oleh manusia itu sendiri (individu yang menjadi mangsa).

Suami nikah lain tanpa pengetahuan

 bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SAYA adalah suri rumah yang ada tiga anak. Walaupun suri rumah, saya ada pekerjaan sambilan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.Baru-baru ini saya mendapat tahu suami berkahwin lain secara sembunyi.

Saya tidak pasti berapa lama dia sudah bernikah dengan isteri keduanya, tetapi tindakannya membuat saya rasa sangat kecewa.Jika diikutkan, dia memang tidak mampu berpoligami, terutama daripada sudut ekonomi.

Daripada berita yang saya dengar, isteri keduanya berjawatan tinggi dan berpendapatan besar. Ini membuatkan saya lagi berasa tertekan dan terasing.

Saya sudah tawar hati untuk melayaninya apabila memikirkan sikap penipunya. Apa harus saya lakukan?

ISTERI SEDIH
Selangor

Rasa kecewa ada ketikanya boleh diubati dan dirawat, dan ada ketikanya menyebabkan kita bertindak lebih jauh.

Semua bergantung pada keadaan puan sendiri. Mungkin kerana baru menerima berita ini, puan berasa teramat kecewa dan sukar menerima hakikat dimadukan.

Jangan bertindak terburu-buru, bimbang ia merugikan semua pihak. Kehidupan suami isteri memerlukan kedua-dua pihak memahami antara satu sama lain dan berkomunikasi dengan baik.

Nasihat saya, beri sedikit ruang dan masa pada diri puan untuk menerima keadaan ini.

Ajak suami berbincang bagaimana dia akan memberi nafkah, menjadi suami adil dan lebih bertanggungjawab menangani dua isteri.

Jika puan dapati selepas semua usaha menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini terlalu sukar diterima dan bersedia menjadi ibu tunggal, jalan terakhir ialah minta suami lepaskan cara baik.

Bagaimanapun saya berasakan keputusan ini sepatutnya menjadi pilihan terakhir, iaitu apabila semua usaha menyelamatkan rumah tangga gagal dicapai.