Isteri kedua terabai tak dapat hak giliran

www.bicarakalbu.blogspot.com

SAYA mohon pandangan bagaimana untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri sebagai wanita Islam yang sudah insaf. Sebenarnya saya adalah isteri kedua dan berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama. Pada mulanya sukar untuk menerima realiti berkahwin dengan suami orang. Pelbagai cabaran dihadapi, namun saya menerimanya dengan ikhlas dan berharap suami berlaku adil kepada saya dan madu. Isteri pertama tidak dapat menerima saya hingga hari ini. Oleh itu, sejak peringkat awal perkahwinan, saya tidak ada giliran. Suami meminta supaya seluruh giliran saya diberikan kepada isteri tua. Untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya menerimanya dengan bersyarat. Kami membuat perjanjian yang dipersetujui bersama, apabila saya mempunyai zuriat nanti giliran isteri akan diberi sama rata. Sejak itu, suami hanya berjumpa saya pada waktu kerja. Kini sudah lima tahun usia pernikahan dan kami dikurniakan cahaya mata. Namun suami tidak melaksanakan janjinya.

Bukan saya tidak bertimbang rasa kerana dalam banyak perkara saya mengalah. Apakah lagi yang perlu saya lakukan? Bagaimanakah langkah seterusnya yang harus dilakukan? Bersabar yang bagaimanakah harus ditabahkan? Saya sentiasa berdoa supaya Allah memberi kekuatan dalam menempuh segala ujian datang.

Adakah sama status isteri kedua, ketiga dan keempat? Apakah makna sebenarnya adil dalam konteks poligami? Bantulah saya menangani masalah ini kerana saya fikirkan mengenai pendidikan anak kerana saya sudah berkorban dengan merelakan giliran saya diambil. Saya bingung, apabila balik ke kampung hanya bersama anak dan bersendirian menghadapi segala permasalahan rumah tangga ini.

Isteri kedua yang terabai
Shah Alam


PUAN yang dirahmati Allah. Izinkan saya memberi pandangan dan berkongsi pengalaman kerana saya juga adalah isteri kedua. Semoga perkongsian ini akan dapat memberikan manfaat dan nilai tambah dalam usaha puan memperbaiki keadaan.Pertama, dalam kehidupan suami isteri sama ada seorang isteri atau berbilang isteri, yang ingin kita capai adalah sakinah, mawaddah dan rahmah seperti diajarkan Allah kepada kita dalam al-Quran.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (ketenangan) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Apatah lagi dalam rumah tangga poligami yang terkadang kita terjerumus kepada hanya mementingkan hak kita saja sama ada isteri pertama atau isteri kedua hingga kita mengabaikan elemen sakinah (bersenang hati dalam ketenangan dan kemesraan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan).
Tujuan poligami dalam Islam ialah untuk membela wanita. Ia bermakna mana-mana wanita berada dalam institusi perkahwinan poligami akan mendapat jaminan pembelaan baik dari sudut emosional dan fizikal.

Ia bermakna semua isteri mempunyai hak mendapat layanan seimbang daripada suami baik daripada sudut menyempurnakan nafkah lahir dan batin. Walaupun dari sudut kasih sayang tidak ada manusia yang boleh bersikap adil, namun suami tidak boleh melebihkan salah seorang isterinya semata-mata kerana dia cenderung atau lebih mencintainya.

Dia wajib bersikap adil sama ada dari sudut giliran antara isterinya, juga dalam menyara mereka. Merujuk kepada penulisan puan, perkahwinan sudah berlaku. Antara risiko ditanggung isteri kedua yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama ialah yang berlaku kepada puan.

Jika suami kurang bertanggungjawab dan tidak menjalankan amanah perkahwinan, maka ia akan mudah melakukan penyelewengan dalam soal pembahagian hak giliran dan keadilan memberi nafkah.

Persoalan sama ada isteri pertama menerima puan atau tidak bukanlah asas yang membolehkan suami tidak menjalankan tanggungjawab dan menyeleweng daripada keadilan terhadap isterinya.

Apabila akad dilakukan itu sah, maka suami wajib bertanggungjawab sepenuhnya atas lafaz berkenaan seperti beliau harus bertanggungjawab kepada isteri pertamanya.

Namun, disebabkan perkahwinan ini dilakukan rahsia, maka di sinilah isteri kedua banyak terperangkap dalam ‘mengalah’ supaya suami tidak menghadapi kesukaran dan isteri kedua pula berpada demi ‘mengharmonikan’ suami dan ‘mendamaikan’ keadaan rumah tangga sendiri.

Namun, keadaan mengalah ini tidak dapat bertahan lama kerana suami tidak mengambil langkah positif selepas beliau mempunyai dua isteri. Oleh kerana asas pertama perkahwinan tidak dilakukan dengan baik, akhirnya puan yang akan menderita sedang suami seolah-olah lepas tangan.

Jika puan berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama dan suami tidak mempunyai surat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri serta tidak mempunyai surat perintah mahkamah yang membenarkan poligami dilaksanakan, maka benteng pertahanan puan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawabnya semakin tipis kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal beliau daripada melakukan ketidakadilan.

Perkara inilah yang selalu dipandang ringan isteri kedua, ketiga dan keempat sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Walaupun ada perjanjian antara puan dan suami, oleh kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul, maka sukar mendapatkan apa dijanjikan suami.

Jika puan masih mengharap sesuatu yang baik daripada perkahwinan ini, maka puan dan suami perlu berbincang memperbaiki keadaan. Sila hubungi pejabat agama untuk mendaftarkan semula perkahwinan walaupun puan akan didenda nanti.

Jika isteri pertama masih tidak menerima puan, itu tidaklah menjadi penyebab kepada suami mengabaikan puan. Walaupun di sisi undang-undang suami boleh terlepas, namun mungkin puan perlu memperingatkan mengenai tanggungjawabnya dengan Allah yang akan dipersoalkan kelak.

Isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat, statusnya sama saja. Giliran perlu dilakukan dengan adil seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Jika berlaku kelebihan kepada isteri pertama atau kedua, ia mestilah memperoleh kebenaran dan keredaan daripada isteri lain.

Jadual penggiliran pula tidak ditentukan oleh bilangan anak. Penggiliran adalah hak isteri, tiada kaitan dengan anak. Oleh itu, jika beristeri dua, bilangan hari suami bersama kedua isterinya mesti sama, melainkan terlebih kurang, itupun atas budi bicara masing-masing.

Bagaimanapun, dari sudut keadilan nafkah lahir, ini sudah semestinya berdasarkan bilangan tanggungan. Jika isteri yang pertama mempunyai lapan anak dan kedua lima anak, sudah tentu pemberian nafkah berdasarkan berapa mulut yang perlu disuap.

Oleh kerana isteri pertama punya anak yang lebih ramai semestinya jumlah elaun saraan hidup untuk keluarga pertama lebih besar, sejajar dengan bilangan isi rumahnya. Cuma dalam aspek pengendalian kehidupan seperti jumlah anak berbeza sudah pasti keadilan itu tidak diukur dengan sama rata.

Isteri mempunyai anak ramai tentulah pengurusannya tidak sama dengan isteri yang mempunyai anak sedikit. Namun secara keseluruhan, aspek kehidupan baik isteri pertama mahupun isteri kedua, perlulah saling bekerjasama dan berlapang dada.

Namun, dalam aspek ini tidaklah sampai hak dan kebajikan isteri pertama atau kedua terabai. Pun begitu tidaklah kerana mementingkan hak keharmonian rumah tangga tergugat kerana tiada kebahagiaan dapat dicapai jika salah satu pihak selalu melakukan masalah dan menggugat keharmonian rumah tangga. Tangan mesti bertepuk kedua belah untuk berbunyi.

Oleh itu, bagi memperbaiki keadaan, saya mencadangkan supaya puan berbincang dengan suami akan hal ini. Jika perbincangan tidak berhasil, suami masih tidak mengambil tindakan, maka puan perlu mendapatkan pihak ketiga yang dipercayai dan dihormati suami.

Jika masih tidak berjaya, puan bolehlah menggunakan institusi pengaduan (institusi sulh dengan tujuan memperbaiki keadaan puan sekeluarga).

Bersabar ialah menahan diri daripada segala sifat keji dan mengelakkan melakukan perkara kurang bijak. Sabar mesti dipasangkan dengan solat, bukan sabar berdiam diri dan memendam perasaan, tetapi perlu berusaha dan berdoa kepada Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat (sembahyang) dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Semoga puan terus tabah mengharungi kehidupan berpoligami. Sentiasalah mendekatkan diri dan mengadu kepada Allah kerana terkadang kita tidak tahu Allah menurunkan sakinah kedamaian-Nya kepada kita tanpa disangka.

Berbincanglah dengan baik bersama suami. Jika ada ruang dan peluang, bersemuka dengan isteri pertama, berbincang dari hati ke hati. Jangan bertangguh hingga sesuatu perkara buruk berlaku, barulah kita ingin berkongsi kasih secara harmoni.

Jawapan disediakan Siti Hamisah Manan dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor. Semua persoalan yang lalu boleh layari http://www.bicarakalbu.blogspot.com

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: