Hati ini milik siapa???

red-rose.jpg

pandangan ku lontarkan jauh nun di sana,

merenung kembali perjalanan hidup,

ranjau dan onak yang telah dilalui,

semua berputar sekali lagi dlm mindaku…

Ya Allah… jauhnya aku padaMU,

dalam mengejar cinta seorang bernama insan,

aku kecewakan dan abaikan engkau,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering terleka dan lalai,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering tersasar meletakkan kasih itu,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering mengabaikan ‘cinta’ ilahi Rabbi,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering mengabaikan kewajipanku pada ilahi,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering melakukan kesilapan dengan dosa-dosa,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering berkata ‘ala, dosa kecil jer… ’

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku tidak sedar yang dosa ku anggap kecil itulah yang ‘gelapkan’ hatiku,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku buta dalam menilai cinta yg tulus dan ikhlas,

dalam mencari cinta hakiki seorang insan,

aku sering disakiti, dikecewakan dan ditinggalkan…

hatiku milik siapa???

adakah hatiku milik insan yang tidak tetap hatinya?

adakah hatiku milik insan yang cintanya ada batasan?

adakah hatiku milik insan yang cintanya sementara waktu?

adakah hatiku milik insan yang bermusim kasihnya?

adakah hatiku milik insan yang rapuh hatinya pada ilahi?

adakah hatiku milik insan yang tiada KALAM ilahi dalam hatinya?

adakah hatiku milik insan yang leka dengan duniawi?

adakah hatiku milik insan yang lupa akhiratnya?

inikah yang aku mahu letakkan hatiku padanya???….

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…

baru aku sedari yang hatiku begitu jauh dariMU,

baru aku sedari yang hatiku terlalu kotor,

baru aku sedari yang hatiku ini ceteknya keimanan,

baru aku sedari yang hatiku penuh dengan sifat nifak,

baru aku sedari yang hatiku ini penuh dengan bisikan syaitan,

baru aku sedari yang hatiku ini penuh dengan duniawi…

Ya Hayyum, Ya Qayyum, Ya Latif…

ada padaMU sifat kekal…maka kekalkanlah hatiku menuju nurMU

ada padaMU sifat berdiri dengan sendiri… maka kuatkanlah hatiku dlm ranjau duniawi agar ku bisa berdiri dengan kekuatanMU,

ada padaMU sifat lembut… maka lembutkanlah hatiku menuju maghfirahMU… 

Ya Allah, Ya Rabbi,

jangan Kau kelamkan hatiku dengan kegelapan dunia kini, 

campakkan cahaya hidayahMU ke dalam hatiku,

moga dapat aku berikan sedikit,

cahaya itu buat mereka yang kegelapan,

semoga segala yang ku lakukan hanya untukMU,

hanya untuk merebut kasihMU yang Agung,

hanya untuk mencapai redhaMU,

di dunia dan akhirat….

Ameennn Ya Rabbal ‘Alamin…. 

Boleh kah berubah? suami yang ego, alim ‘kucing’, curang dan buat maksiat

3468342231214m.jpg

 

Saya sering membaca artikal Prof dalam BH. terutama tentang suami dengan kerenah isteri pd 11 0gos yang lalu. Artikal ini mengharukan saya walapun saya pernah membaca kisah-kisah ini sebelumnya. Masalah saya, bagaimana untuk menyedarkan suami saya yang ego, alim kucing, sukar berbincang, unpredictable, tidak pernah insaf ?  berkali-kali curang, bermaksiat, berkaraoke, sms cinta dengan wanita lain. Dlm masa yg sama , ke surau , berjemaah dgn anak2 dan menyuruh belajar rajin2 dan buat yg baik2.


Kini bila dikesan curang lagi, saya merajuk & berpindah bilik kerana kecewa & utk dapatkan penjelasan, agar dipujuk, agar dia insaf. Malangnya dia terus ambil kesempatan untuk jadi lebih teruk, keluar malam & out station & ke mana2 tanpa beritahu dan terus membisu. Saya cuba berdamai dan memohon maaf. Dia enggan memaafkan saya , tak benarkan tidur bersama & mengunci bilik.  

Wajarkah? sdgkan ini rumah saya, dan makan pakainya masih saya uruskan, wang belanja pun dia abai (sejak dulu sbb dia kata saya gaji besar.)Saya kecewa sbb dah berbelas tahun bersabar, malu kerana dah ke Mekah, dah tua (50>) tapi tak insaf. Nasihat keluarga dan anak2 tak dipeduli.


Persoalannya: Bagaimanakah amalan saya? takut tak diterima Allah kerana tak dpt keredaan dari suami. Tapi saya dah minta maaf walaupun dia tetap dgn tabiat buruknya ! Untuk ke Pej. Agama (dekat rumah) takut dia malu kerana kedudukannya. Ugutannya, “tunggu I pencen u tau la”, ” I tunggu U halau”, “Tunggu.. bila I nak kawin I bagitau “, sangat2 menyakitkan hati saya. Emosi dan kerja terganggu. Dia benar2 berubah sdgkan dia yang mencintai I separuh mati di U dulu. Ini gantung tak bertali dlm rumah?
 apa nak buat utk sedarkannya agar dia dan saya tak berterusan berdosa.

Jawapan:


Dunia ini merupakan pentas ujian. Tidak ada seorangpun dari kalangan kita yang terlepas dari diuji. Hanya bentuk ujian saja yang berbeza.

Berkaitan dengan masalah yang puan kemukakan, ada beberapa cadangan yang boleh difikirkan:


Telah menjadi sunnah Allah, segala perubahan adalah bermula dari dalam diri kita sendiri.

Firman Allah bermaksud: “(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu ni’mat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Al-Anfal:53  


Sehubungan dengan itu, puan perlu melakukan muhasabah diri dengan tulus ikhlas. Perhatikan apakah puan telah menunaikan segala tanggungjawab puan terhadap Allah, Rasul, ibu bapa, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, masyarakat, negara, saudara-saudara seagama seluruhnya, termasuk juga tanggungjawab terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain.  
Kadang-kadang kecuaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita terhadap pihak lain dibalas dengan kecuaian orang lain terhadap hak-hak diri kita.


Ambillah kesempatan waktu suami tidak mahu tidur sebilik dengan kita untuk bermunajat, berdoa dan memohon ampun kepada Allah di atas segala kesilapan dan dosa kita terhadapNya dan makhluk-makhluk-Nya. Bila kita telah tunaikan hak Allah dan makhluk-Nya (sekadar yang termampu oleh kita), insya Allah, hak kita akan ditunaikan-Nya pula.

Nafkah dan layanan baik adalah sebahagian daripada tanggungjawab suami terhadap isteri yang termaktub di dalam kitab suci al-Quran. Isteri sememangnya berhak untuk memperolehinya.
 Sebab itu para ulamak berpendapat sekiranya hak tersebut tidak diberi dengan sewajarnya maka isteri diberi dua pilihan: Pilihan pertama: membuat tuntutan supaya ikatan perkahwinan ditamatkan. Memanglah perceraian merupakan satu mimpi ngeri yang tidak sanggup dibayangkan oleh kebanyakan wanita. Ramai yang lebih suka memilih untuk menanggung derita di dalam rumahtangga daripada berfikir untuk bercerai.

Pilihan yang kedua ialah:
Bersabar. Jika kita bersabar insya Allah ganjarannya amat besar sebagaimana disebutkan di dalam artikel yang disiarkan.
Untuk merawat kerisauan yang dialami, puan boleh menceburkan diri di dalam aktiviti yang berfaedah. Sertailah pertubuhan-pertubuhan dakwah, sosial atau kebajikan. Dengan ilmu yang ada pada puan banyak sumbangan yang boleh diberikan bagi membantu masyarakat yang sememangnya mengalami pelbagai masalah yang jauh lebih kronik dan mencemaskan sebagaimana yang sering dilaporkan di media massa. Kita menolong saudara kita, insya Allah Dia akan menolong kita pula.
Diharapkan cadangan-cadangan yang dikemukakan di atas dapat membantu puan untuk berfikir mencari penyelesaian yang sebaik-baiknya. Dan yang paling utama dari segala-galanya ialah doa. Sesungguhnya hati manusia adalah milik Allah s.w.t. Hanya Dia yang berkuasa mengubahnya. Jadi jangan berputus asa dalam berdoa.  
http://wanitajimceria.blogspot.com

Al-Quran kekasih yang terlalu istimewa

Kelebihan Kita Mencintai Kekasih

AL-QUR’AN itu seumpama kekasih. Mungkin itulah tamsilan mudah untuk menerangkan perkaitan Al-Quran dalam kehidupan kita seharian. Ternyata, apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam apa bentuk dan cara sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu itu mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan!


anfal3.jpg


 1. Kekasih yang terlalu istimewa

SEKEPING WARKAH daripada orang yang kita cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak . Tidakkah ia hanya sekadar bahasa yang tidak memiliki sebarang keistemewaan?Berbanding Al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikit pun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.

Allah berfirman, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu , tenang tenteramlah hati manusia” (Surah Ar-Rad:28)

Malah dijanjikan oleh Allah sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan Allah, dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikrullah yang paling afdal (terbaik) itu ialah membaca Al-Quran. Seterusnya Allah SWT juga menyatakan keistemewaan kekasih ini iaitu Allah SWT menurunkan dengan sebaik-baiknya perkataan sebagai firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 23:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara) yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah, Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya”.

2. Kekasih yang perlu dimuliakan

Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Allah telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih itu kerana dengan itu kita akan memperolehi keberkatan daripada-Nya,

Firman Allah bermaksud:“Dan ini sebuah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya), Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-An’am :155)


Malah Allah juga menggariskan adab-adab bagaimana memuliakan kekasih kita ini. Antaranya ialah apabila kita mendengar bacaan al-Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri, sebagaimana ingatan Allah dalam surah al-A’raf, ayat 204, maksudnya:

“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat”.

3. Kekasih yang setia Kesetiaan dalam percintaan

ADALAH jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama al-Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan al-Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap al-Quran. Lalu apakah ukurannya? Bukankah qiamullail itu adalah satu pengukur yang paling relevan? Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan .

Maksud firman Allah:

“Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Antaranya ada golongan yang telah (memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada Agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat Segala pekara yang baik, dan melarang daripada segala pekara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh”. (Surah Ali Imran, ayat 113-114)

Malah at-Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a daripada Rasulullah s.a.w, sabda baginda:

“Kemuliaan seorang Mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)”

Baginda juga menceritakan tentang kelebihan dan ganjaran yang diperolehi seseorang yang berqiamullail dan membaca al-Quran. Sabda Baginda:

“Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak tertulis daripada kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seratus ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang beribadat. Sesiapayang melakukan qiamullail dengan membaca seribu ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang berlaku adil.” (Riwayat Abu Daud)

4. Kekasih yang perlu dibelai sentiasa

Kekasih yang perlukan belaian bermaksud kita perlu menjaganya dan sentiasa mendampinginya . Dari itu, Rasulullah s.a.w sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga al-Qur’an dan tidak melupakannya. Daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakan”. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Selain itu, kita membelai kekasih ini dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan “kegilaan” orang lain membaca Kalamullah itu. Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Hasad (iri hati) itu tidak dibenarkan melainkan dua pekara, seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan al-Quran dan terus berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seorang lagi yang dilimpahkan dengan harta yang banyak oleh Allah dan dia membelanjakannya siang dan malam”.

Hasad dan iri hati semestinya dilarang oleh Allah. Bagaimanapun ulama mentafsirkan hasad di sini sebagai ‘ghitbah’ yang dimaksudkan sifat ingin berlumba-lumba. Sifat ini menggambarkan keinginan memperolehi sesuatu sama seperti orang itu dan berlumba-lumba untuk lebih terhadapan dalam beramal.

Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita bersama al-Quran. Bukankah dia kekasih yang membahagiakan?

*******************************************************************

Keutamaan Membaca Al-Quran

1. Ibadat yang paling utama dari segi bacaan, manakala sembahyang sebesar ibadat dari segi gerak laku atau perbuatan.
2. Pahala membaca Al-Quran: 1 huruf 10 kebajikan, dan menurut Ibnu Majah diganda sampai 400 dan menurut Ibnu Al Jauzi diganda 700 kali.
3. Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga
4. Juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga
5. Pahala membaca satu huruf al-Quran ;

-Dalam sembahyang – 100 kebajikan.

-Di luar sembahyang berwudhuk 50 kebajikan

-Tanpa wudhuk – 10 kebajikan
6. Pembaca al-Quran adalah hartawan dan pahala membaca tidak akan putus mengikut Ibnu Abbas.
7. Untuk selamat daripada api neraka
8. Mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.
9. Di hari kiamat, al-Quran menjadi pembela
10. Pembaca akan memperolehi keamanan
11. Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan Malaikat.
12. Pembaca dimasukkan ke dalam golongan Siddiqin.
(Petikan dari ‘Keagungan Kitab Al-Quran dan Peminatnya’ oleh Ustaz Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh).

Nota: Sumber artikel dari laman web Dewan Perwakilan Mahasiswa Syubro. Syubro adalah salah satu daripada cawangan Universiti Al-Azhar yg dikhususkan untuk pengajian tahfiz al-Qur’an dan qiraat.

Melihat ALLAH SWT

mata.jpg

 

Oleh: MOHD. YUSOF ABAS

 

Soalan: Kenapa Allah s.w.t. tidak boleh dilihat dan tidakkah ia dapat menambah keyakinan manusia terhadap-Nya? Adakah keadaan ini akan berterusan? Kenapa Nabi Musa minta untuk melihat Allah? Tidakkah Musa tahu, Allah tidak boleh dilihat.

  – Taufik Mustafa,

Kuala Kerai, Kelantan.

 

Jawapan:

Setiap yang ada itu harus dilihat. Begitu juga wujud Allah boleh dilihat, tetapi ianya tidak akan berlaku di dunia ini (mustahil berlaku) selain dalam mimpi atau dengan hati dan cahaya keimanan. Sebab itu Musa mohon untuk melihatnya tetapi jawab Allah:

“Kamu tidak akan dapat melihat-Ku (di dunia ini) tetapi lihatlah kepada bukit itu, sekiranya bukit itu dapat bertetap di tempatnya maka kamu akan dapat melihat-Ku”

(surah al-Araf ayat 143).

Musa tahu hakikat ini semuanya tetapi kerana terlampau rindunya sewaktu datang menghadap-Nya di waktu yang Kami tetapkan, lalu terkeluar permohonan tersebut dari mulutnya.

Ternyata bila Allah tajalli (menzahirkan kehebatan-Nya ke bukit itu lalu jadilah bukit itu hancur seperti debu. Sehingga akhirnya Musa tersungkur dan jatuh pengsan.

Dan bila dia sedar lalu berkata:

“Maha suci Engkau (ya Allah!) aku bertaubat kepada-Mu dan aku adalah sebahagian orang (benar-benar) berimam kepada-Mu” sambungan akhir ayat (surah al-Araf ayat 143).

Jadi apa yang dapat difahami bahawa hukum melihat Allah itu adalah harus tetapi mustahil berlaku di dunia ini. Tetapi pada hari akhirat memang akan berlaku. Ini seperti firman Allah s.w.t.:

“Muka pada hari itu akan berseri-seri melihat dan memandang kepada Tuhannya”

(surah al-Qiamah ayat 22-23).

  

Dan lagi syarat yang diberikan untuk melihat-Nya itu juga adalah harus, bila syarat suatu itu harus maka suatu itu juga (masyrutnya) adalah harus. Kita janganlah mengingkari nikmat melihat Allah ini kerana nikmat yang paling agung ini tidak akan dikurniakan kepada mereka yang menafikannya seperti kaum Muktazilah dan mereka yang sesat.

Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud:

“Untuk mereka yang (berusaha melakukan) kebaikan itu balasan syurga dan tambahan (satu kebaikan lagi)”

(surahYunus ayat 26).

Kata ulama: Maksud satu tambahan kebaikan itu ialah nikmat melihat kepada Allah yang tidak ada sebarang nikmat lain dapat mengatasinya.

 

Kesimpulannya

Isu melihat Allah ini adalah merupakan kesalahan dan tidak harus diminta oleh sesiapapun. Sebab itu Musa bertaubat dari kesilapannya dan lupa bahawa Allah itu Maha Suci dari sebarang tempat yang tertentu sehingga dapat dilihat. Nabi Ibrahim tidak memintanya tetapi meminta untuk melihat rahsia kejadian-Nya sahaja.

Allah berfirman bermaksud:

“Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan orang yang sudah mati, firman-Nya apakah kamu belum beriman (dengan kekuasaan-Ku) jawabnya; bahkan! Tetapi untuk penetapan dan keyakinan hatiku”

(surah al-Baqarah 260).

  

Anda perlu sedar bahawa berapa banyak perkara dari perbuatan manusia sendiri sudah lemah fikiran kita untuk memikirnya seperti peralatan perhubungan sekarang dan kecanggihan ciptaan sains. Di mana pada suatu masa dahulu perkara tersebut termasuk dalam perkara mustahil dan tidak masuk akal tetapi hari ini semuanya di hadapan mata.

Allah berfirman bermaksud:

“Akan Kami perlihatkan mereka akan tanda kekuasaan Kami dari ufuk-ufuk langit dan pada diri mereka juga sehingga terbukti jelas bahawa al-Quran itu adalah benar (dari Allah)”

(surah Fusillat ayat 53).

Tambahan pula sekiranya Allah dapat dilihat maka hilanglah hikmat dan tujuan kejadian alam dunia sebagai negeri tempat ujian ini kerana semua manusia akan beriman dan bertuhankan-Nya tidak ada seorang pun yang syirik kepada-Nya. Dan juga batal dan sia-sialah kejadian syurga dan neraka-Nya. Wallahualam.

  

Akibat tidak mensyukuri nikmat ALLAH

“DAN demi sesungguhnya! jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian kami tarik balik pemberian itu daripadanya, didapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.” (Hud: 9)

Huraian

Allah s.w.t. menjelaskan secara tepat sikap manusia yang gopoh dan lemah. Hanya hidup dalam detik-detik masa kini sahaja dan apabila dilanda sesuatu kesusahan ia lantas tidak teringat kepada detik-detik masa silam dan tidak dapat memikirkan masa hadapan.

Ia berputus asa daripada kebaikan dan tidak mengenang nikmat pada masa silam sebaik sahaja nikmat itu hilang daripadanya walaupun merupakan anugerah daripada Allah kepadanya. Ia menjadi begitu bergembira apabila mendapat nikmat daripada Allah dan merasa angkuh sebaik sahaja ia boleh mengatasi rintangan, mencapai kejayaan dan kesenangan.

Sebaliknya, ia tidak tahan menanggung kesusahan, tidak sanggup bersabar ketika menghadapi detik-detik kepayahan dan tidak sanggup menunggu detik-detik keselamatan. Ia tidak tahu menjimatkan kegembiraan dan kemegahan apabila mendapat nikmat dan tidak tahu pula membuat perhitungan terhadap kemungkinan hilangnya nikmat-nikmat tersebut.

Akhirnya apabila Allah s.w.t. menarik balik nikmat daripadanya, ia mula dilanda perasaan susah hati dan amat berputus asa kerana nikmat yang dirasai selama ini tidak disyukuri.

Kesimpulan

Memang menjadi sikap manusia yang mudah lupa daratan apabila diberi nikmat . Sebaliknya mereka menjadi berputus asa dan kecewa apabila nikmat itu ditarik oleh Allah s.w.t.

Mereka tidak berfikir semua pemberian dan kehilangan nikmat itu adalah ujian daripada Allah.Lantaran itu , kita hendaklah sentiasa bersyukur dan menggunakan sebaik mungkin nikmat yang diberi.

Apabila ditimpa kesusahan dengan kehilangan harta dan segala yang disayangi hendaklah kita menyedari bahawa semua nikmat itu adalah ujian Allah s.w.t. untuk menguji sejauhmana keimanan dan kesyukuran kita kepada-Nya.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Ohh ibu…

ibu.jpg

ibu… 

ku renung raut wajah mu,

1001 gambaran yang cuba diungkapkan,

ada garis-garis kedutan yang telah menjamah usia mu,

garis-garis itu… yang menceritakan menderitaan hidup mu,

ku tatap wajah mu dengan pandangan yang sayu,

wajah itu… mencerminkan liku-liku hidup mu yang penuh dengan ranjau onak dan duri, 

ibu…

pandangan ku jatuh pada sepasang mata redup mu,

mata itu… mengatakan betapa sabar dan tabahnya engkau meneruskan sisa-sisa hidup yang penuh dengan ujian ilahi ini,

mata itu… juga memendam seribu perasaan,

mata itu… akan di tutup bila melihat kederhakaan anak-anak mu,

mata itu… kadangkala akan jatuh mutiara jernih melaluinya

tika tidak dapat bertahan di atas karenah anak-anak mu,

yang menyebabkan hati mu terhiris dek perbuatan si anak,

mata itu… akan di buka semula untuk melihat kebaikkan anak-anak mu. 

ibu…

pandangan ku jatuh pada sepasang tangan mu,

tangan itu begitu kasar dan kecut seiring dengan usia mu,

tangan itu… yang membesarkan aku,

tangan itu… yang mendodoikan aku tika kecilku,

tangan itu… yang membelai aku tika sakit ku datang,

tangan itu… yang akan memelukku setiap kali aku akan pergi meninggalkan mu,

tangan itu… yang banyak digunakan untuk terus mencari rezeki demi memastikan pembesaran anak-anakmu ini sempurna. 

ibu…

pandangan ku alihkan pada sepasang kakimu,

kaki itu sudah tidak kuat untuk terus mencari rezeki, tetapi

kaki itu… digagahkan jua berjalan dan terus berjalan mencari sesuap nasi,

kaki itu… akan terus berjalan kecuali sakit mu datang tanpa diduga,

kaki itu… akan berhenti berjalan bila sakit kaki mu datang. 

ibu…

anak mu ini… membesar dengan melihat perit dan susahnya hidup mu,

anak mu ini… telah banyak merasai kesusahan keluarga kita,

anak mu ini… turut terkena tempias dari kepayahan mu,

anak mu ini… jua berusaha membantu mu untuk mengubah nasib keluarga kita,

anak mu ini… dengan berat hati meninggalkan mu selama 7 tahun merantau di negeri orang untuk menimba ilmu, semuanya untuk mengubah nasib keluarga kita.

anak mu ini… kembali kepangkuan mu semula untuk membalas jasa mu.

ibu…

mata anak mu ini… sudah terlalu banyak melihat penderitaan dan kesakitan mu,

mata anak mu ini… akan menahan sebak agar tidak mengeluarkan mutiara jernih melihat siksanya engkau membesarkan kami,

mata anak mu ini… sudah terlalu banyak melihat air mata mu mengalir disebabkan anak-anak mu yang lalai dan hanyut dengan dunianya sendiri,

mata anak mu ini… melihat pedihnya hati mu berhadapan dengan anak-anak mu yang lupa akan tanggungjawabnya malah lupa akan akhiratnya,

mata anak mu ini… akan cuba memberi mu semangat dan harapan untuk meneruskan kehidupan mu. 

ibu…

telinga anak mu ini sentiasa bersedia untuk…

mendengar luahan hati mu,

mendengar keluh resah mu,

mendengar setiap masalah mu,

mendengar dengan teliti setiap baris-baris perkataan yang akan keluar dari bibir mu 

ibu…

tangan anak mu ini… akan membantu meringankan bebanan mu,

tangan anak mu ini… akan dihulurkan bila engkau perlukan,

tangan anak mu ini… yang membelai mu tika sakit lumpuh mu datang,

tangan anak mu ini… yang menyisir setiap helaian rambutmu tika sakit lumpuh mu datang,

tangan anak mu ini… yang menyediakan mu makanan dan menyuap makanan untuk mu tika sakit lumpuh mu datang,

tangan anak mu ini… yang digunakan membantumu untuk bergerak dikala sakitmu datang,

tangan anak mu ini… yang membantumu menyalinkan pakaianmu tika lumpuh mu datang,

tangan anak mu ini… cuba untuk menggalas beban dan membantumu dikala diperlukan. 

ibu…

kaki anak mu ini… akan sentiasa digunakan untuk mencari rezeki membantu mu,

kaki anak mu ini… yang digunakan untuk untuk membawa mu berjalan tika sakit lumpuh mu datang,

kaki anak mu ini… yang akan sentiasa diberikan pada mu bila engkau perlukan. 

ibu…

anak mu ini… begitu sedih melihat kesusahan mu

anak mu ini… sudah tidak mampu melihat raut wajah mu yang penuh kesusahan,

anak mu ini… berharap dapat memberi mu keselesaan dan kesenangan hidup

kerana engkau tidak pernah merasa mewah dan senang sejak dari kecil lagi, tetapi

anak mu ini… belum mampu memberikan apa yang di hajati oleh mu,

anak mu ini… belum mampu berikan mu kesenangan walaupun usia hampir meninggalkan angka 20-an,

anak mu ini… akan terus berusaha untuk melaksanakan impian mu sebelum kembali kepada Al-Haqq,

anak mu ini… akan terus mendoakan mu disetiap selesai solat,

hanya itu yang mampu anak mu ini hulur dan lakukan untuk mu. 

ibu…

ketahuilah… Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

setiap penderitaan dan kesusahan mu pasti ada hikmah dan balasannya,

tanpa kesusahan ini, tidak mungkin anak mu ini mengenali…

erti sebuah keperitan,

erti sebuah kesusahan,

erti sebuah kematangan,

erti sebuah pengorbanan,

erti sebuah penderitaan,

erti sebuah simpati terhadap kehidupan orang lain,

erti sebuah impian,.

erti sebuah semangat,

erti sebuah harapan,

erti sebuah dosa dan pahala,

erti sebuah kehidupan duniawi dan kehidupan akhirat,

erti sebuah kehidupan yang ‘hakiki’… 

percayalah… semua kesusahan ini Allah pasti membalasnya dengan ‘hasanah’ 

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,” (Surah Al-Insyirah: 5) 

“(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah Al-Insyirah: 6)  

ibu…

ketahuilah… wanita itu terlalu istimewa dicipta oleh ilahi,

“ketika diciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Allah membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia, namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan.”

“memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya.”

“memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh.”

“memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan,bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya.”

“memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya.”

“memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah sakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu.”

“Dan akhirnya, memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bila ia perlukan.”

Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah hatinya, tempat dimana cinta itu ada.” 

ibu…

andai aku kembali kepada ilahi Rabbi sebelum mu,

ampunkanlah segala dosa-dosa anak mu ini,

kekadang lalai dengan nikmat dunia,

andai dosa itu masih belum terampun,

bagaimana anak mu ini akan berhadapan dengan Al-Haqq di hari perhitungan dan pembalasan kelak… 

ketahuilah ibu…

hidup ku ini, semua ku korbankan untuk mu dan keluarga kita,

sesungguhnya syurga ku berada dibawah tapak kaki mu,

restui dan doa kan lah anak mu ini,

agar sentiasa teguh mengingati mu dan asal usul kita…   

“Ya Allah.. Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku, dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil..”

  

Ameennn Ya Rabbal ‘Alamin…

KISAH MUHAMMAD SAW DAN IBLIS (MUST READ)*

Allah SWT telah memerintahkan seorang Malaikat menemui Iblis supaya Dia menghadap Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya, baik yang disukai maupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad SAW dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, “Hai Iblis! Bahwa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar memberi perintah untuk menghadap Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsiamu dan apapun yang ditanya Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan terputus semua anggota badanmu, uratmu, serta disiksa dengan azab yang amat keras.Mendengar ucapan Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah SAW dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai, panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sambut Iblis (alaihi laknat), “Ya Rasulullah! Mengapa engkau tidak mejawab salamku? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”Maka jawab Nabi dengan marah, “Hai Aduwullah seteru Allah! Kepadaku engkau menunjukkan kebaikanmu? Janganlah mencuba menipuku sebagaimana kau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutanmu, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap beracun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendeta yang telah menanggung sengsara akibat hasutanmu. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salammu saja aku tidak mahu menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal benar engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendakmu datang menemuiku?”Taklimat Iblis, “Ya Nabi Allah! Janganlah engkau marah. Kerana engkau adalah Khatamul Anbiya maka dapat mengenaliku. Kedatanganku adalah diperintah Allah untuk memberitahu segala tipu dayaku terhadap umatmu dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang engkau tanya. Aku bersedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah aku berani menyembunyikannya.”Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata, “Ya Rasulullah! Sekiranya aku berdusta barang sepatah pun niscaya hancur leburlah badanku menjadi abu.”Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluangku untuk menyiasati segala perbuatannya agar didengar oleh sekalian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada seluruh umatku.

Pertanyaan Nabi (1):
“Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuhmu dan bagaimana aku terhadapmu?”
Jawab Iblis:
“Ya Nabi Allah! Engkaulah musuhku yang paling besar di antara segala musuhku di muka bumi ini.”

Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun menggeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis, “Ya Khatamul Anbiya! Ada pun aku dapat merubah diriku seperti sekalian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak berbeda, kecuali dirimu saja yang tidak dapat aku tiru kerana dicegah oleh Allah. Kiranya aku menyerupai dirimu, maka terbakarlah diriku menjadi abu. Aku cabut iktikad/niat anak Adam supaya menjadi kafir kerana engkau berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam, begitu jugalah aku berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Aku akan menarik seluruh umat Islam dari jalan benar menuju jalan yang sesat supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersamaku.”

Pertanyaan Nabi (2):
“Hai Iblis! Bagaimana perbuatanmu kepada makhluk Allah?”
Jawab Iblis:
“Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Aku goda semua manusia supaya meninggalkan solat, terbuai dengan makan minum, berbuat durhaka. Aku lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram. Demikian juga ketika pesta yang bercampur antara lelaki dan perempuan. Di sana aku lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang peraturan dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu aku ulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasrat dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau berbuat amal ibadat. Aku akan rayu mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras aku goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglah rasa .a, takabur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah aku goda mereka setiap saat.”

Pertanyaan Nabi (3):
“Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta seksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai yang dikutuk Allah! Siapa yang menjadikanmu? Siapa yang melanjutkan usiamu? Siapa yang menerangkan matamu? Siapa yang memberi pendengaranmu? Siapa yang memberi kekuatan anggota badanmu?”
Jawab Iblis:
“Semuanya itu adalah anugerah daripada Allah Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takkabur membuatku menjadi jahat sebesar-besarnya. Engkau lebih tahu bahwa Diriku telah beribu-ribu tahun menjadi ketua seluruh Malaikat dan pangkatku telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian Aku tinggal di dunia ini beribadat bersama sekalian Malaikat beberapa waktu lamanya. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka akupun membantah. Lalu Allah menciptakan lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan seluruh Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali aku yang engkar. Oleh kerana itu Allah murka kepadaku dan wajahku yang tampan rupawan dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan kelam. Aku merasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah seluruh bidadari. Aku bertambah dengki dan dendam kepada mereka. Akhirnya aku berhasil menipu mereka melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya diusir dari syurga ke dunia. Keduanya berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun aku masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya aku lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum Engkau lahir ke dunia. Aku beserta bala tentaraku dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian aku turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya aku dapatkan, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bid’ah dan carut-marut. Tetapi ketika engkau lahir ke dunia ini, maka aku tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika aku berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontarkan anak panah dari api yang menyala. Sudah banyak bala tenteraku yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahanku dan bala tentaraku untuk menjalankan tugas menghasut.”

Pertanyaan Nabi (4):
“Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu dari manusia?”
Jawab Iblis:
“Pertama sekali aku palingkan iktikad / niatnya, imannya kepada kafir juga ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berhasil juga. Aku akan tarik dengan cara mengurangi pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalanku”
  

Pertanyaan Nabi (5):
“Hai Iblis! Jika umatku solat kerana Allah, bagaimana keadaanmu?”
Jawab Iblis:
“Sebesar-besarnya kesusahanku. Gementarlah badanku dan lemah tulang sendiku. Maka aku kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sholat, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis sholatnya, hilang khusyuknya – matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya senantiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud berlama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya senantiasa hendak cepat habis solatnya, itu semua membawa kepada kurangnya pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka aku sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman.”

Pertanyaan Nabi (6):
“Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, bagaimana perasaanmu?”
Jawab Iblis:
“Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuhku, putus-putus segala uratku lalu aku lari daripadanya.”

Pertanyaan Nabi (7):
“Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana perasaanmu?”
Jawab Iblis:
“Binasalah diriku, gugurlah daging dan tulangku kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya.”

Pertanyaan Nabi (8):
“Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana keadaanmu?”
Jawab Iblis:
“Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepadaku. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan seluruh Malaikat menyambut dengan sukacita. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menghancurkan hatiku ialah segala isi langit dan bumi, yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan ampunan bagi orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umatmu mulai berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekalian Malaikat dengan garangnya menangkapku dan tentaraku, jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umatmu berpuasa barulah aku dilepaskan dengan perintah agar tidak mengganggu umatmu. Umatmu sendiri telah merasa ketenangan berpuasa sebagaimana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut dibandingkan bulan biasa.”

Pertanyaan Nabi (9):
“Hai Iblis! Bagaimana seluruh sahabatku menurutmu?”
Jawab Iblis:
“Seluruh sahabatmu juga adalah sebesar – besar seteruku. Tiada upayaku melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana engkau sendiri telah berkata: “Seluruh sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikuti mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersamamu. Aku tidak dapat mendekatinya, apalagi setelah berdampingan denganmu. Dia begitu percaya atas kebenaranmu hingga dia menjadi wazirul a’zam. Bahkan engkau sendiri telah mengatakan jika ditimbang seluruh isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertuamu kerana engkau menikah dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafadz Hadits-haditsmu.
Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani aku pandang wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan seksama. Jika aku pandang wajahnya, maka gemetarlah segala tulang sendiku kerana sangat takut. Hal ini kerana imannya sangat kuat apalagi engkau telah mengatakan, “Jikalau adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku”, kerana dia adalah orang harapanmu serta pandai membedakan antara kafir dan Islam hingga digelari ‘Al-Faruq’.
Saidina Usman Al-Affan lagi. Aku tidak bisa bertemu, kerana lidahnya senantiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantumu sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga engkau mengatakan, “Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid.”
Saidina Ali Abi Talib pun itu aku sangat takut karena hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat sopan santun, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah golongan orang pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Bergelar ‘Ali Karamullahu Wajhahu’ – dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga ‘Harimau Allah’ dan engkau sendiri berkata, “Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya.” Tambahan pula dia menjadi menantumu, semakin aku ngeri kepadanya.”

Pertanyaan Nabi (10):
“Bagaimana tipu daya engkau kepada umatku?”
Jawab Iblis:
“Umatmu itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibril a.s, “Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat.”
Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurnia Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan.
Yang ketiga umatmu seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka aku pun bersukacita lalu masuk ke dalam badannya. Aku putarkan hatinya ke lautan durhaka dan aku hela ke mana saja mengikuti kehendakku. Jadi dia senantiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu aku goda agar minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umatmu terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia senantiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, bercakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur.”

Pertanyaan Nabi (11):
“Siapa yang serupa dengan engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang meringankan syariatmu dan membenci orang belajar agama Islam.”

Pertanyaan Nabi (12):
“Siapa yang mencahayakan muka engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji.”

Pertanyaan Nabi (13):
“Apakah rahsia engkau kepada umatku?”
Jawab Iblis:
“Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka aku gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sadari.”

Pertanyaan Nabi (14):
“Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis:
“Jika umatmu hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah aku dari mereka. Jika tidak. Aku akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benihku dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa membaca Bismillah. Aku yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah merasa kenyang.”

Pertanyaan Nabi (15):
“Dengan jalan apa dapat menolak tipu daya engkau?”
Jawab Iblis:
“Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis menyesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air wudhu’, maka padamlah marahnya.”

Pertanyaan Nabi (16):
“Siapakah orang yang paling engkau lebih sukai?”
Jawab Iblis:
“Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu hari-hari (bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situlah aku mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu.”

Pertanyaan Nabi (17):
“Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang tidur meniarap / telungkup, orang yang matanya terbuka (mendusin) di waktu subuh tetapi menyambung tidur lagi. Lalu aku lenakan dia hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zuhur, asar, maghrib dan isya’, aku beratkan hatinya untuk sholat.”

Pertanyaan Nabi (18):
“Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan sholat tengah malam.”

Pertanyaan Nabi (19):
“Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya”

Pertanyaan Nabi (20):
“Apa lagi yang memecahkan mata engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu
makan pakaian mereka selama mereka hidup, karena engkau telah bersabda, ‘Syurga itu di bawah tapak kaki ibu'”

MARI KITA TINGKATKAN IMAN DAN KETAQWAAN MENUJU KEHIDUPAN BAHAGIA LAHIR BATIN DUNIA AKHIRAT.

AMEEN..