Calon-calon suami zaman sekarang mengenakan ‘syarat’ calon isteri yang ‘bekerja’ tetap sebagai isteri

37.jpg

  

Kerjaya : Suatu Pandangan

Soalan

Salam ya UZAR,

Saya bersetuju 100% dengan pendapat Uzar berkenaan isu wanita bekerja ini. Dan saya juga merupakan seorang wanita bekerjaya dan memiliki akademik yang membanggakan. Namun apa yang membimbangkan saya adalah keadaan yang memaksa wanita zaman sekarang untuk sama-sama ‘turun padang’ mencari rezeki demi keteguhan ekonomi keluarga.Tambahan pula, saya (belum berkahwin) adalah daripada 6 org adik beradik yang kesemuanya adalah perempuan. Tanggungjawab untuk membantu ibu bapa yang sudah tua juga salah satu faktor yang ‘memaksa’ kami adik beradik untuk bekerja selain membalas jasa kedua orang tua kami.Namun demikian, saya tidak nafikan saya ingin benar ‘kembali kepada fitrah’ ajaran islam yang suci yang mana menggalakkan wanita untuk duduk dirumah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak bila tiba masanya kelak (berkahwin).

Hakikatnya, calon-calon suami zaman sekarang juga mengenakan syarat untuk mendapat calon-calon isteri yang bekerja bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga dan ada juga yang beralasan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keluarga pada zaman ini (walaupun ada yang berpendapatan >RM3000).  Saya kesal sekali dengan keadaan ini dengan tiada sokongan dan peluang untuk saya ‘kembali kepada fitrah’ ajaran Allah.Bagaimana pula pandangan UZAR dan rakan-rakan group?

Respond

salam,

Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja,  sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri.

Jika terdapat mana-mana bakal suami membuat syarat demikian, bagi saya ia masih boleh diterima jika : –

a) kedua-dua mereka mempunyai ‘planning’ sebaiknya maksud saya ia adalah bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda.

b) bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak.

c) berbentuk ‘temporary’ sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak pinak dalam keadaan yang lebih selesa.

d) memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan.

e) menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu. 

Adapun, menjadikannya syarat seperti ‘syarat yang paling utama’ serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, bagi saya secara peribadi ia sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Saya yakin mesti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang.

Cuma fikir semula sebelum bantah secara total. Bagi saya apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri :

·                                 01) didik anak dengan hebat dan berkesan  

·                                 02) layan suami dengan baik,

·                                 03) senyum melebar setiap kali bertemu suami yang ‘penat’ bila balik,

·                                 04) tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan,

·                                 05) memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja 

·                                 06) untuk in-charge untuk menjaga berak kencing anak,

·                                 07) basuh baju,

·                                 08) gosok baju,

·                                 09) sidai dan angkat baju,

·                                 10) urut badan suami,

·                                 11) masak sedap,

·                                 12) basuh pinggan,

·                                 13) sapu dan buang sampah,

·                                 14) kemas rumah,

·                                 15) cuci tandas,

·                                 16) tangani karenah anak dengan baik  

·                                 17) ajar anak ngaji  

·                                 18) tak membebel,

·                                 19) tak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan,

·                                 20) tak muncung dan lain-lain

Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami ‘demand’  hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur.

Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut di ambil alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu. Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap ‘cover’ sebahagian kerja-kerja teknikal tadi.

Kesimpulannya, suami yang bekerja perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumah tangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tangunggjawab di rumah, kerana suami yang ‘beri’ dan ‘minta’ isterinya bekerja from the very begining atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.

Justeru, bagi saya suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkaar yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain.

Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Panjang ceritanya ini , ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO.

Akhirnya ; saudari menyebut , isteri terpaksa ‘turun padang’ demi keteguhan ekonomi rumah tangga. Soalan saya, mana yang lebih penting “keteguhan ekonomi” atau “keteguhan hubungan rumahtangga” ?

Ada orang, rumah dah ada cuma kecil sedikit..cuma nak di tambah ‘teguh’kan dengan membeli yang lebih beasr, kerana itu perlukan isteri bekerja??? kereta dah mampu beli VIVA, cuma untuk ‘keteguhan ekonomi’ iaitu beli Camry, isteri bekerja. Apakah tanda aras keteguhan ekonomi?. Sampai bila mampu tercapai? akhirnya kebahagian rumahtangga tergadai dan bercerai kerana asyik mencari ‘keteguhan ekonomi’. Wallahu’alam.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

Advertisement

Gadis Paling Cantik…

Jalan menuju kecantikan

Oleh : Dr. Hindun Abdullah
Penterjemah : Ust. Anwar Fakhri

Bunga atau mutiara?

 

Tajuk yang indah ini menarik perhatian saya ketika saya membaca satu soalan yang ditujukan kepada para gadis: “Adakah anda bunga atau mutiara?” Bunga cantik, begitu juga dengan permata. Mana satukah yang anda pilih? Ya, bunga baunya wangi, warnanya cantik, menggoda dan menarik, manakala permata tinggi harganya dan cantik juga.

Tetapi, bunga umurnya pendek. Cepat layu jika dipanah terik matahari atau diganggu oleh tangan manusia atau binatang. Mungkin ada orang memetiknya, lalu ia akan layu dengan cepat. Umur bunga sangat pendek.

Sedangkan permata akan kekal kelihatan cantik selama-lamanya jika ia terus berada di dalam cenkerangnya. Ia tidak bersinar melainkan kepada yang berhak dan layak.

Kedua-duanya cantik tetapi kecantikan mutiara berkekalan sementara kecantikan bunga hanya sementara. Demikian juga dengan para gadis. Gadis yang tidak menutup aurat cantik tetapi ia sama seperti bunga. Manakala gadis yang menutup aurat dengan sempurna adalah mutiara yang amat cantik. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Oleh itu wahai saudariku! Wahai orang-orang yang merindui syurga dan merindui para pemuda di dalamnya yang kekal abadi serta kenikmatan yang berpanjangan! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya!

Setiap gadis yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya, Muhammad saw sebagai nabinya dan Islam sebagai agamanya hendaklah memerhatikan firman Allah swt (surah Ali ‘Imran ayat 102):

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Kembalilah!

Islam bererti menyerah, menerima serta tunduk kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan dan reda.

Apakah yang Allah swt perintahkan kepada anda wahai muslimah?! Dia memerintahkan anda supaya menutup aurat. FirmanNya (surah al-Nur ayat 31):

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka…”

FirmanNya lagi (surah al-Ahzab ayat 36):

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.”

Jika benar anda muslimah, ini bererti anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah. Jika anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah, kenapa anda tidak menutup aurat anda?

Aku memohon bantuanMu, wahai Tuhan!

Daripada sekeping hati yang cintakan kebaikan bagi anda dan bercita-cita agar anda mengecapi kemanisan iman… daripada sekeping hati yang bimbang anda akan berjauhan daripada Allah… yang bimbang hati anda menjadi gelap… yang bimbang keburukan-keburukan yang akan mencacatkan lembaran amalan anda hasil daripada pandangan nakal para pemuda dan pemudi yang menjadikan anda sebagai ikutan kerana tidak menutup aurat, meskipun hati anda dipenuhi dengan segala kebaikan… meskipun segala kebaikan yang anda lakukan, daripada kepingan hatiku ini, saya mengharapkan kebaikan untuk anda. Kuatkan semangat dan bermulalah dari sekarang! Ucapkanlah “aku memohon bantuanMu, wahai Tuhanku! Bantulah daku menghadapi diriku sendiri dan godaan-godaan dunia… Aku bertawakkal kepadaMu, wahai Tuhanku. Engkaulah segala-galanya bagiku… Tiada Tuhan bagiku selainMu. Maka perelokkanlah seluruh hal ehwalku.”

Renungan

Sekarang saya tujukan perkataan ini pula kepada setiap wanita yang telah memakai tudung. Ia adalah seruan agar setiap wanita yang telah memakai tudung agar mereka berdiri di hadapan cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri: “Adakah tudung saya ini bersesuaian dengan kehendak Allah? Adakah akhlak saya bertepatan dengan kehendak Allah.” Sesetengah wanita yang telah memakai tudung menyangka dengan meletakkan secebis kain di atas kepalanya itulah segala-galanya, sedangkan dia memakai pakaian yang sempit dan jarang serta tidak menjaga akhlak dan adab Islam. Pernah terjadi seorang ibu mengadu kepada saya melalui panggilan telefon tentang seorang anak perempuannya yang memakai tudung, tetapi menanggalkannya ketika berada di tepi pantai, tidak sembahyang dan tidak melayan ibunya sebagaimana selayaknya sebagai seorang ibu.

Maka ketahuilah wahai wanita yang telah memakai tudung bahawa tudung anda bukanlah segala-galanya. Jika benar anda memakainya kerana mahu mendapat keredaan dan kecintaan Allah serta kerana mentaatiNya semata-mata, maka sekali lagi ketahuilah bahawa tudung adalah pakaian Islam yang mempunyai beberapa syarat. Tudung juga adalah akhlak dan adab serta membantu anda untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Katakan tidak!

Saya menyeru kepada anda wahai muslimah untuk berkata tidak kepada:

1. Pakaian yang sempit dan jarang.
2. Pakaian yang mendedah aurat di tepi pantai, di majlis-majlis keramaian dan di mana-mana sahaja.
3. Wangi-wangian dan solekan.
4. Seluar sendat yang menyakitkan mata dan hati setiap orang yang cemburukan agamanya kerana melihat para gadis memakainya dengan begitu bersahaja tanpa menyedari kesannya terhadap para pemuda.

Saya menyeru anda wahai muslimah untuk memerhatikan diri anda di dalam cermin sebelum anda keluar rumah. Perhatikan dari depan dan belakang… Adakah pakaian anda bertepatan dengan kehendak Allah?

Bagaimana sepatutnya pakaian anda?

1. Hendaklah menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan.
2. Tidak jarang. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Akan ada di kalangan umatku nanti wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang. Kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan memperoleh baunya.”
3. Tidak sempit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malu dan iman adalah beriringan.”
4. Tidak disapu dengan bau-bauan.
5. Pakaian itu sendiri bukan perhiasan. Firman Allah swt (surah al-Nur ayat 31) yang bermaksud: “… dan janganlah mereka (wanita-wanita yang beriman) memperlihatkan perhiasan mereka…”

Anda di dalam syurga

Wahai muslimah! Wahai mukminah! Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.” Wahai wanita yang tidak memperlihatkan perhiasannya kerana Allah sedang dia difitrahkan suka kepada perhiasan, dengarlah sabda Rasulullah saw berkenaan sifat wanita-wanita dunia di dalam syurga kelak. Sabda baginda saw yang bermaksud: “Dengan sembahyang, puasa dan ibadat mereka kepada Allah swt, Allah menghamparkan cahaya di atas muka mereka dan memakaikan sutera berwarna putih, pakaian berwarna hijau dan perhiasan berwarna kuning di atas badan mereka. Dapur mereka adalah mutiara dan sikat mereka adalah emas. Mereka berkata: “Kami kekal abadi dan tidak akan mati. Kami penuh kelembutan, sama sekali tidak menyusahkan. Kami akan terus muda, tidak tua selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kami sentiasa reda, tidak marah sama sekali. Bergembiralah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memiliki mereka.” (Riwayat al-Tirmizi)

Makna Sebenar Menjadi Seorang LELAKI…

boy.jpg
Setiap Muslim percaya apabila kehidupan ini berakhir, kita akan berseorangan berhadapan dengan Allah SWT pada Hari Perhitungan serta diberikan hisab mengenai perkara baik dan buruk yang kita telah lakuakan. Pada hari tersebut, kita akan merasakan terlalu malu dihadapan Allah SWT dan meminta-minta untuk diberikan pengampunan atas keburukkan yg kita lakukan dan kebaikkan yang seharusnya kita lakukan. Pada masa itu tiada siapa pun yang boleh menolong.
Sebagai seorang lelaki, saya merasakan Islam adalah agama yang menepati fitrah ‘kelelakian’ (saya tidak bermaksud Islam tidak sesuai untuk kaum wanita). Apabila berdiri untuk solat berjemaah di masjid, dengan berada dalam barisan saudara-saudara lelaki Muslim yang lain, juga ada Muslimin di hadapan dan di belakang, saya tahu bahawa kami sedang bersolat untuk tujuan yang sama, matlamat yang sama. Apabila dahi kami menyentuh lantai, kami memohon agar isteri dan anak-anak kami sejahtera, kerja-kerja (amal) kami diberkati, dan kedua ibubapa kami sihat dan diredhai dalam usia tua mereka itu. Kami meminta menjadi Muslim yang baik – menjadi saudara Muslim yang baik dan lelaki Muslim yang baik.
Lelaki Sejati Yang Baik

Setelah sekian waktu dalam bidang pendidikan, saya telah bercakap dengan para ibubapa tentang apa yang mereka mahukan untuk anak-anak mereka. Mereka inginkan pendidkan yang baik supaya peluang kehidupan lebih terbuka dan terjamin untuk anak mereka pada masa hadapan. Mereka ingin anak mereka mempunyai fikiran terbuka dan matang supaya kelak anak-anak dapat menguruskan kehidupan sendiri dengan baik. Dengan masa dan mihnah, walaupun sukar, ibubapa mengatakan kepada saya ketika berbual mengenai anak lelaki mereka, apa yang mereka inginkan ialah agar Ahmad atau Muhammad atau Ali akan membesar menjadi Muslim yang baik. Saya fikir tiada lagi harapan sebesar ini dari ayah dan ibu untuk seorang anak lelaki.

Apa maksudnya, untuk menjadi seorang lelaki yang baik? Bagi Muslim pula, apa maksudnya, menjadi seorang lelaki?

Pertamanya, kita perlu sedar kita diciptakan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Sepanjang hidup, kita melakukan banyak kesilapan dan kerapkali kita tidak belajar dari kesilapan itu. Kita perlu tanamkan dalam minda kita hakikat ini: Kita diciptakan oleh Allah SWT, dan kita baca dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (At-Tin 95:4).Allah Yang Maha Sempurna tidak melakukan sedikit pun kesilapan ketika Dia mencipta kita. Walaupun kita banyak melakukan kesilapan (atas pilihan kita sendiri), perlu kita tahu bahawa yang berkuasa menciptakan ialah Allah SWT dan Dia mahu ianya tercipta sedemikian. Ceritera kehidupan kita adalah apa yang Allah SWT inginkan.

Kekuatan Tubuh dan Minda

Muslim lelaki yang baik perlu tahu, dalam pengakhiran hari, dia perlu memberikan hisab baik buruk kelakuannya kepada Allah SWT atas nikmat (kemahiran, bakat, kelebihan dan pengetahuan) yang Allah SWT beri kepadanya pada hari tersebut. Allah SWT memberikan kekuatan serta kebijaksanaan dan dia perlu menggunakannya. Dia seharusnya bekerja dan beramal untuk dirinya, keluarganya dan masyarakatnya. Dia perlu berkata-kata dan bertindak untuk melindungi mereka yang memerlukan perlindungan. Dia perlu kuat dan bertindak mempertahankan Islam sendiri, kerana Islam bukan untuk dipermainkan.

Menjadi lelaki bukan bermakna perlu menggunakan kudrat semata-mata untuk menyelesaikan segalanya, tetapi kudrat dan kekuatan tetap suatu keperluan. Islam itu sendiri secara fitrah sememangnya kuat dan memang diketahui. Ada masanya perlu kita berdiri dan bercakap agar orang lain tahu, supaya mereka tidak mengapa-apakan keluarga kita. Ianya adalah satu cara, kekuatan yang perlu ditunjukkan. Tetapi ada kekuatan lain, yang lebih sukar untuk dilakukan (namun kesannya sama), iaitu senyap dan diam.

Menjadi lelaki bermaksud melihat kepada tubuh badan anda dan menjadi serasi dengannya. Sekiranya anda tidak melihat kepada seluruh bahagian kereta anda, kereta itu akan rosak dan mendatangkan masalah kepada anda. Tubuh badan anda juga serupa. Aktiviti fizikal dan makanan yang baik sangat penting agar tubuh berfungsi dengan sempurna. Sebagai Muslim, kita tahu puasa adalah untuk merehatkan fungsi tubuh, yang berkerja sepanjang masa dan mengawal tubuh, supaya kita boleh mengawalnya dan bukan dikawal oleh tubuh. Seimbang antara bekerja dan riadah adalah cara yang baik untuk mengekalkan kesihatan tubuh. Mengekalkan rupa yang cantik dan menawan juga sama pentingnya. Ia menunjukkan anda mensyukuri kurniaan Allah SWT di atas ciptaan-Nya. Bekerja keras juga sebenarnya menyedarkan kita tentang kekuatan yang telah diberikan kepada kita dan kewajipan untuk menggunakannya kepada kebaikkan.

Jalan Hidup Yang Sempurna

Sepanjang hidup Muslim, dia perlu seimbangkan banyak perkara. Dia perlu menjadi suami dan bapa, menjadi abang dan anak, menjadi jiran kepada saudara se-Islamnya yang lain. Juga menjadi ahli komuniti, memberikan tauladan yang baik mengenai cara hidup Muslim. Satu perkara yang indah ialah Islam telah menerangkan semua hal ini. Islam menerangkan kepada wanita bagaimana menjadi wanita yang baik, dan menerangkan kepada lelaki bagaimana menjadi lelaki yang baik. Islam menjelaskan bagaimana lelaki melayan isteri, membesarkan anak-anak, bekerja dan bermuamalah dengan orang lain. Islam sememangnya bukan semata-mata amalan keagamaan tetapi suatu cara kehidupan yang sempurna.

Untuk lelaki Muslim, seterusnya, berdiri di dalam barisan solat jemaah adalah suatu pengalaman ‘kelelakian’ yang menakjubkan. Dalam satu barisan, kita lihat pelbagai bentuk kehidupan. Di situ ada seorang budak lelaki, masih belum faham sepenuhnya bila rukuk dan bila perlu sujud, tetapi amat mengamati dan belajar setiap gerak-geri yang dilakukan oleh bapanya. Dia tahu kalau dia meniru gerakkan bapanya, nanti dia pasti akan pandai mendirikan solat dengan sempurna akhirnya. Di situ juga, ada seorang lelaki muda, berdiri tegak dan megah mendirikan solat, menggambarkan bagaimana kehidupannya sebelum ini. Ada juga beberapa lelaki di dalam barisan, yang baru kembali pulang dari kerjanya, air masih di muka dan tangannya setelah dia membasuhnya sebelum masuk ke dewan solat. Mereka tahu bahawa selepas solat mereka akan kembali bekerja setelah rehat untuk solat. Ada pula seorang lelaki lain dengan anak lelakinya berdiri disebelahnya, tahu bahawa mereka perlu menunjukkan contoh yang baik supaya boleh diikuti. Seorang lelaki tua pula, dimamah usia, menghabiskan banyak masanya di sini, dengan dahi yang berbekas kerana bertahun-tahun lamanya sujud bersolat, berbangga dengan kehidupannya yang telah dilalui dan pencapaiannya kepada Allah SWT.

Menjadi lelaki Muslim ialah untuk mengiktiraf bahawa kita tiada apa-apa dihadapan Allah SWT, tiada apa-apa tanpa Allah SWT dan segala kebaikkan adalah dari Allah SWT. Ia juga bermaksud, apabila kita memenuhi kehendak-Nya, kemampuan dan keupayaan kita tidak akan terbatas. Dia menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. In sha’ Allah, kita akan hidup dalam potensi diri kita yang sebenarnya dan menjadi manusia yang Dia ingin diciptakan.

Ditulis oleh Idris Tawfiq, beliau ialah seorang penulis Muslim British yang tinggal dan bekerja di Mesir. Beliau banyak meluangkan masa dan bekerja bersama golongan belia. Beliau menjadi Pengarah kepada Bahagian Pendidikan Keagamaan di beberapa sekolah di United Kingdom dan lebih mengesankan, beliau adalah seorang Paderi Roman-Katolik sebelum menerima Islam. Anda boleh melayari laman web beliau di http://www.idristawfiq.com.Terjemahan ykurniawan dari islamonline.net.

Hari Kekasih Hanya Sekadar Suka-Suka?

pc210.jpg

  

  Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

Hari yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah pasangan kekasih bukan Islam untuk bertemu, meluahkan perasaan cinta masing serta bertukar-tukar hadiah.

Malangnya dewasa ini semakin ramai pula umat Islam terutamanya golongan remaja yang terpengaruh dengan acara sambutannya dan turut merayakannya. Malah ada yang bertindak di luar batasan sehingga timbul gejala sosial lain seperti perzinaan, rogol dan sebagainya. Akibatnya sangat buruk bukan sahaja kepada remaja itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga, generasi akan datang serta pada agama dan negara.

Usaha pihak yang tampil untuk memperjelas berkenaan larangan menyambut hari ini patut dipuji. Hal ini membantu mengelakkan umat Islam daripada terjebak dengan program sambutan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Namun ironinya pada masa yang sama kedapatan juga pihak mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam itu sendiri. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak berusaha merobohkan kota yang terbina.

Dalam situasi sosial yang meruncing ini, strategi terbaik buat remaja Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan. Berkenaan faktor keilmuan, penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlu disebarkan agar remaja memahaminya.

Faktor keimanan pula berperanan menentukan pertimbangan remaja sama ada mahu menerima penjelasan tersebut atau tidak. Bagi yang berfikir dan melihat dengan mata hati, mereka akan menerima serta mengelakkan diri daripada menyambut Hari Kekasih.

Namun ada yang berdegil menyambut Hari Kekasih walaupun setelah mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut, maka ditakuti bahawa pertimbangan remaja tersebut didorong oleh perasaan nafsu diri. Malah ada yang meluahkan hujah yang pelbagai demi menjustifikasikan sambutan tersebut.

Ada yang menyatakan bahawa mereka bukannya menyambut Hari Kekasih secara berlebih-lebihan, hanya sekadar kiriman satu khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sekuntum bunga. Besar atau kecil sambutan yang dilakukan bukanlah persoalannya, tetapi pokok pangkalnya niat beserta tindakan walau sekecil mana demi menyambutnya adalah perlu untuk dielakkan.

Ada pula yang mempersoal tidaklah salah menjadikan satu hari khas untuk berkasih-sayang seperti 14 Februari ini. Malah ditambah dengan hujah mereka bahawa bukannya mereka bermaksud mengingati peristiwa sejarah berkenaan tarikh tersebut. Ada pula yang menyatakan bahawa mereka sekadar suka-suka menyambutnya di samping mengeratkan tali persahabatan.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut dengan budaya ini. Pertama, kalangan remaja Muslim tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day, sehingga mereka tidak merasa bersalah untuk mengikutinya.

Dalam erti kata lain, terdapat remaja Muslim yang memiliki kesedaran mengenai sejarah yang rendah. Sejarah Valentine’s Day dikatakan berasal dari kisah seorang paderi Kristian yang dihukum bunuh kerana mempertahan tindakannya mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Apabila hal ini berlaku di celah-celah ceteknya pengetahuan tentang sejarah serta kerapuhan benteng iman, remaja Muslim tidak mampu untuk menolak budaya ini, lalu menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada perayaan global dan tidak berkaitan dengan agama.

Hilangnya jati diri di kalangan remaja Muslim memburukkan lagi situasi ini, lalu remaja Muslim bagai terikut-ikut dengan budaya asing ini terutama bagi mereka yang sedang dilamun cinta.

Banyak lagi punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut budaya ini , tetapi apa yang penting di sini adalah peranan yang harus dimainkan oleh banyak pihak dalam menyedarkan remaja akan hal ini.

Cinta yang hakiki

Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, adil dan tidak mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih-sayang di antara umatnya, tetapi perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak.

Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya. Cinta hakiki yang berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaan. Cinta hakiki akan melahirkan jiwa rela berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu. Cinta Ilahi akan memandu manusia supaya hidup lebih bererti.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa, manakala kasih Pencipta kepada hamba berkekalan.

Hal ini jelas sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui.” (Ali Imran: 31).

Islam memandang cinta kasih itu sebagai rahmat daripada Allah. Maka, seorang mukmin tidak dianggap beriman sebelum dia berhasil mencintai saudaranya seumpama dia mencinta dirinya sendiri (riwayat Muslim).

Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, di mata Islam mencintai dan dicintai itu adalah suatu yang suci yang harus disuburkan dalam dada setiap pemeluknya tidak kira masa, keadaan dan tempat. Oleh sebab itu, Islam menghalalkan perkahwinan sebagai saluran yang betul untuk meluahkan perasaan cinta dan keinginan berkasih- sayang. Pun begitu, sebagai remaja, janganlah kita lupa bahawa kasih-sayang kepada ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

Peranan banyak pihak

Ibu bapa adalah pihak terdekat dengan anak-anak dalam mendidik mereka agar tidak menyambut Hari Kekasih. Hal ini merangkumi perbincangan ilmiah dengan anak-anak agar mereka faham berkenaan maksud larangan meraikannya. Bagi ibu bapa yang kurang arif untuk menjelaskannya kepada anak-anak secara berkesan, mereka boleh memberikan artikel-artikel yang berkaitan untuk dibaca.

Kesan globalisasi pada hari ini ternyata menuntut pihak ibu bapa agar lebih berketrampilan dari segi intelektual demi menangkis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) Barat daripada menguasai minda anak-anak.

Ibu bapa harus menyuburkan perasaan kasih-sayang yang berlandaskan keimanan dan tidak hanya menjurus kepada memenuhi keperluan diri dan nafsu.

Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan bergaul secara berhikmah, bijaksana serta berlemah lembut dengan ahli keluarga. Aktiviti-aktiviti boleh dilakukan secara berjemaah, serta pemberian hadiah tidak semestinya pada hari-hari tertentu, tetapi juga pada hari-hari biasa.

Dengan ini, anak-anak memahami bahawa kasih-sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian tersebut, tetapi lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat bersama-sama menuju ke jalan yang diredai.

Peranan media dan masyarakat juga amat penting dalam membantu remaja untuk memahami mengapa mereka tidak harus terikut-ikut dengan budaya ini. Media berperanan mendidik masyarakat melalui tulisan, rancangan serta program-program supaya manusia memahami bahawa cinta bukanlah berlandaskan kepada nafsu semata-mata.

Masyarakat juga harus berperanan sebagai agen pendidik iaitu tidak menyertai ‘perayaan’ ini dan para peniaga tidak pula mengambil kesempatan di atas sambutan ini dengan mengadakan sambutan besar-besaran di kompleks beli belah, kedai-kedai cenderamata dan sebagainya.

Justeru, banyak pihak boleh membantu dalam mendidik remaja supaya tidak mengikut budaya asing ini tanpa memahami akan natijahnya.

Kesimpulan

Kasih sayang dalam Islam bersifat universal. Ia tidak dibatasi ruang dan waktu, juga tidak dibatasi objek dan motif. Kasih-sayang diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahim, menjenguk yang sakit, meringankan beban jiran tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang bertelagah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah perbuatan munkar.

Dalam pada itu, Islam tidak melarang kita saling mengenali adat resam serta budaya umat lain selagi tidak melewati batasan yang ditetapkan. Bagi perkara yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, maka kita perlu menjauhinya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Kaafiruun yang bermaksud: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Sudah saatnya remaja Islam sedar dari kejahilan dan bangkit ke arah masa depan yang lebih baik. Kalau tidak sekarang bila lagi, kalau bukan kita, lalu siapa lagi?