Usia pernikahan mempengaruhi kemesraan

mara1.jpg

Usia Pernikahan Mempengaruhi Kemesraan… ….

Sebelum tidur:
6 minggu: selamat titun sayang, mimpi indah ya, mmmuach.
6 bulan: tolong matikan lampu tu, silau ah.
6 tahun : Sana sikit lah… tidur kalau tak mengepit tak boleh eh???!

Pakai Toilet:
6 minggu: tak apa, u dulu saja lah, i tak buru2 .
6 bulan: masih lama tak ini?
6 tahun: brug! brug! brug! (suara pintu digegar), kalau nak bertapa pergilah gunung ledang sana!!

Balas SMS:
6 minggu: iye sayang, kejap lagi i sampai ruma, i beli murtabak kesukaan u..
6 bulan: trafik jam lah
6 tahun: ok..

Dating process:
6 minggu: I love U, I love U, I love U.
6 bulan: Of course I love U.
6 tahun : Iyalah!! kalau i tak cintakan u, buat apa i nikah dengan u??

Pulang kerja:
6 minggu: Honey, i dah balik ini…
6 bulan : I’m BACK!!
6 tahun: Masak apa hari ini??

Hadiah (ulang tahun):
6 minggu : Sayang, i harap u menyukai cincin yang i beli
6 bulan : I beli lukisan, nampak sesuai dengan suasana ruang tengah
6 tahun : ini duit, u beli sendiri lah apa yang u nak..

Telefon:
6 minggu: Baby, ada yang ingin berbual dengan u di telefon ini
6 bulan : Eh…your call…
6 tahun : WOOIII TELFON BUNYI TUUUHHH….ANGKAT AH!!!

Masakan:
6 minggu: Wah, tak sangka i, rasa makanan ini begitu lazaattt…! !!
6 bulan: Kita makan apa malam ini??
6 tahun: HAH? LAUK INI LAGI?

Memaafkan:
6 minggu: Sudahlah, tak apa, dah pecah pun, nanti kita beli lagi eh
6 bulan: Hati-hati! Nanti jatuh itu.
6 tahun: Orang dah bilang berkali2 pun tak paham!!

Baju baru:
6 minggu: Aduh sayang, u seperti bidadari dengan pakaian itu
6 bulan: Lah.. beli baju baru lagi?
6 tahun: DAH BERAPA RIBU HABIS BELI BAJU TU???

Merancangkan Holiday:
6 minggu: Macam mana kalau kita jalan-jalan ke Amerika atau ke tempat
yang u nak honey?
6 bulan: Kita ke Bukit Bintang saja lah ….senang sikit tak perlu naik flight…
6 tahun: JALAN-JALAN? ?? DUDUK RUMAH saja TAK BOLEH EH? BUANG DUIT saja!

TV:
6 minggu: Baby, apa yang kita nak tonton malam ini ?
6 bulan : Sekejap eh, cerita bagus ah.
6 tahun: JANGAN TUKAR2 boleh?

Suami IDAMANku…

ayahanak.jpg

Akhlak Muslim Sebagai Suami

Kehidupan sebagai suami isteri adalah perkongsian. Salah seorang melengkapkan separuh agama pasangannya dan membantunya melengkapkan yang separuh lagi.“I love you!”

Perkongsian ini dibuat berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw. Agar perkongsian ini berterusan, ia perlu kepada kasih sayang yang boleh melakukan pelbagai mukjizat. Suami menanggung beban paling berat kerana dia adalah nakhoda kepada bahtera kehidupan berumah tangga. Dialah yang bertanggung jawab memandu bahtera tersebut sama ada ke arah kejayaan atau kegagalan.

 

friend.jpg

Perkataan ‘I love you’ banyak kali diucapkan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia diucapkan selepas berkahwin? Perkataan itu juga banyak kali ditulis di atas kad-kad ucapan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia ditulis di atas kad yang khusus untuk isteri selepas berkahwin?

Kita dapati Rasulullah saw ketika pulang daripada satu peperangan ditanya di hadapan khalayak ramai siapakah orang yang paling dicintai oleh baginda? Dengan segera Rasulullah saw menjawab: “Aisyah”, iaitu isteri baginda tanpa perasaan malu dan segan. Kenapa kita tidak melakukannya paling kurang pun di rumah iaitu bukan di hadapan orang ramai dengan berkata kepada isteri ‘I love you!’

 Masak apa ni!Cinta adalah perkataan yang mengandungi sihir. Namun perkataan yang lebih hebat ialah pujian dan berterima kasih atas setiap perkara sama ada kecil atau besar, terutamanya masakan. Wanita atau isteri menganggap makanan yang dimasaknya sebagai menggambarkan dirinya sendiri dan mempunyai kepentingan yang tinggi terutamanya di rumah suaminya.

Diceritakan pada suatu hari seorang wanita kampung menghidangkan setimbun makanan ternakan sebagai ganti daripada hidangan makan tengahari yang biasa dihidangkan kepada kaum lelaki keluarganya. Lalu mereka berteriak dan menjerit dan menyangka wanita itu telah gila. Namun wanita itu menjawab: “Aku berbuat demikian untuk mengetahui kamu semua tahu perbezaan antara makanan binatang dengan makanan manusia. Sudah lebih 20 tahun aku menyediakan makanan bagi kamu, tapi tak pernah aku dengar kamu berterima kasih atau memuji masakanku yang menunjukkan kamu tahu perbezaan antara makanan yang baik dan sedap dengan makanan binatang!!

Wanita, hatinya pada telinganya. Oleh itu, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih, memuji dan menghargainya.

Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah. Isteri adalah orang pertama yang sepatutnya diucapkan terima kasih!!!

Berlemah lembutlah!

Rasulullah saw menyifatkan kaum wanita sebagai botol-botol kaca. Ia adalah sifat paling indah dan paling cantik daripada Rasulullah saw yang bijaksana. Mereka adalah botol-botol yang mudah pecah. Oleh itu, suami wajib bersifat lemah lembut dan penuh kesabaran menghadapi kerenah mereka agar bahtera kehidupan dapat belayar dengan tenang.

Apa yang anda akan lakukan jika situasi berikut berlaku kepada anda?

Pada suatu hari, Rasulullah saw berada bersama-sama dengan para sahabat baginda di rumah Aisyah. Baginda meminta para isteri baginda membawa makanan keluar. Salah seorang isteri baginda membawa makanan keluar lebih cepat daripada Aisyah. Lalu para sahabat terus menjamah makanan tersebut. Kemudian barulah Aisyah datang membawa makanan. Melihatkan makanan telah sedia ada, Aisyah memecahkan bekas makanan yang dibawanya sehingga terpecah dua. Melihatkan apa yang berlaku, Rasulullah saw tersenyum sambil berkata kepada para sahabat: “Ibu kamu cemburu nampaknya.” Lalu baginda mengutip bekas makanan yang pecah dan kembali meletakkan makanan di atasnya serta memberinya makan kepada para sahabat. Kemudian baginda memberikan bekas yang pecah kepada Aisyah dan bekas yang tidak pecah kepada isterinya yang seorang lagi.

Jika situasi ini berlaku kepada anda, apakah agaknya sikap dan pendirian anda ketika berhadapan dengan kawan-kawan anda?

Firman Allah swt (surah al-Ahzab ayat 21) yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Heroku!

Suami adalah hero isterinya yang sentiasa berada di dalam khayalannya.

Wahai hero! Bukalah hati anda agar isteri anda dapat tinggal di dalamnya. Jadikanlah dia melihat kegembiraan (iaitu kerahmatan dan kasih sayang) di dalam mata anda. Jadikanlah dia melihat kerehatan ketika anda menghulurkan lengan anda kepadanya dan ketika anda meluahkan kata-kata melalui bibir anda. Dia meninggalkan rumah keluarganya hanya kerana mahu mendapatkan kasih sayang, menambat hati dan perhatian anda. Oleh itu, jadilah heronya sebagai yang dia impikan.

Ingatlah tarikh ulang tahun perkahwinan anda dan hari lahir isteri anda. Berilah hadiah kepadanya walaupun amat sederhana yang menggambarkan kecintaan mendalam anda kepadanya.

Janganlah anda menjadi seorang lelaki yang mempunyai dua muka. Anda dapat bersuka ria dan bergelak ketawa di luar rumah, tetapi masam mencuka di dalam rumah! Ini akan menjadikannya benci setiap hari dia melihat anda. Ini adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku. Ingatlah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Senyuman anda kepada saudara anda adalah sedekah.” Maka bagaimana jika senyuman itu diberikan kepada isteri!

Kunci Paling Penting

Antara kunci paling penting dalam menuju jalan kebahagian rumah tangga ialah berbuat baik kepada keluarga isteri terutama mertua.

Keluarga isteri anda telah mendidik isteri anda, menjaganya dan mengajarnya sehingga anda mengambilnya sebagai isteri. Maka berbuat baik kepada mereka pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan anda. Dari sudut syarak, anda tidak dibenarkan memutuskan hubungan antara isteri anda dan keluarganya, kerana ia bererti memutuskan silaturrahim dan menderhaka kepada kedua ibu bapanya.

Firman Allah swt (surah Muhammad ayat 22) yang bermaksud: “Adakah jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?”

Hendaklah anda mengambil perhatian tentang perkara ini dengan niat untuk menyambung silaturrahim manakala isteri anda mengambilnya dengan niat memenuhi kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Tanyalah diri anda, adakah isteri anda akan menyayangi anda jika anda tidak membenarkan dia menyayangi keluarganya? Maka kunci penting yang menjamin kebahagiaan kehidupan berumah tangga anda ialah anda menghargai keluarganya, memuji mereka atas setiap kebaikan yang mereka lakukan, menghubungi mereka setiap masa dan lain-lain lagi. Ingatlah selalu sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalanganmu ialah orang yang paling baik kepada keluarganya.”

Kejutan Membikin Mukjizat

Pembaharuan yang anda lakukan terhadap rutin kehidupan dan layanan kepada isteri anda akan meningkatkan kemanisan kehidupan sebagai suami isteri.

Rasulullah saw adalah ikutan kita dalam semua hal. Baginda saw pernah berlumba lari bersama Aisyah. Baginda juga pernah mandi daripada bekas yang sama dengan isteri baginda yang bernama Maimunah. Mereka saling merenjiskan air di antara satu sama lain. Tangan mereka berlaga di dalam bekas air. Baginda juga pernah meminta pandangan Ummu Salamah dalam salah satu perkara yang amat penting… Anda pula, apakah yang anda lakukan?

Keluarlah berdua-duaan seminggu sekali sekurang-kurangnya. Berbincanglah bersama-sama tentang apa saja. Bawalah isteri anda sesekali ke masjid bagi mendengar pengajian agama, kemudian pergilah makan malam bersama-sama di luar rumah.

Selalulah memberikan kad ucapan kepada isteri. Tulislah perkataan-perkataan lembut dan kata-kata cinta di atas kad tersebut. Atau lekatkan pada almari cermin ayat-ayat seperti ‘abang amat bahagia hidup bersamamu’, ‘sayang adalah hadiah paling berharga dalam kehidupan abang, ‘pandangan matamu menikam kalbuku’ dan lain-lain perkataan yang boleh anda cipta dan reka.

Kewajipan

• Panggillah isteri anda dengan panggilan yang paling disukainya.

• Kucuplah dia setiap kali sebelum anda keluar rumah untuk pergi bekerja dan setiap kali pulang ke rumah diiringi perkataan yang manja, kerana perbuatan tersebut akan mengekalkan kasih sayang.

• Berusahalah agar anda keluar berdua-duaan dengan isteri serta memberikannya hadiah yang sesuai.

• Pergilah bersama isteri anda menziarahi keluarganya sebulan sekali.

• Jika isteri anda sakit, jadilah anda orang pertama yang menghantarnya ke klinik. Suapkanlah ubat untuknya dan jangan sekali-kali anda meninggalkannya ketika dia sakit.

• Ketika melakukan hubungan, berikanlah perhatian yang lebih untuk menyentuh dan membelai isteri anda dengan sentuhan-sentuhan yang lembut serta membisikkan perkataan-perkataan yang manja, lebih daripada perkara-perkara lain.

• Awaslah anda daripada bersifat kedekut sama ada kedekut harta atau perkataan. Janganlah anda mengintip, mempunyai perasaan syak dan ragu, banyak bersungut, suka mengherdik dan bermuka masam.

uts-mohd.jpg 
Ustaz Mohamad bin Ismail
Sekretariat Pembangunan Belia ISMA Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
013-3446155

Hidayah Allah SWT

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al-Maidah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

hidayah.jpg

PERTEMUAN kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.

Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.

“Jadi Muslim… memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.

“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang mengikuti matrikulasi.

“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.

Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.

“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.

“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini. Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.

Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.

Rapat

“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.

 “Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.

“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.

Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.

Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.

“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?

“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.

“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.

Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.

“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.

 “Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.

“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.