Melihat ALLAH SWT

mata.jpg

 

Oleh: MOHD. YUSOF ABAS

 

Soalan: Kenapa Allah s.w.t. tidak boleh dilihat dan tidakkah ia dapat menambah keyakinan manusia terhadap-Nya? Adakah keadaan ini akan berterusan? Kenapa Nabi Musa minta untuk melihat Allah? Tidakkah Musa tahu, Allah tidak boleh dilihat.

  – Taufik Mustafa,

Kuala Kerai, Kelantan.

 

Jawapan:

Setiap yang ada itu harus dilihat. Begitu juga wujud Allah boleh dilihat, tetapi ianya tidak akan berlaku di dunia ini (mustahil berlaku) selain dalam mimpi atau dengan hati dan cahaya keimanan. Sebab itu Musa mohon untuk melihatnya tetapi jawab Allah:

“Kamu tidak akan dapat melihat-Ku (di dunia ini) tetapi lihatlah kepada bukit itu, sekiranya bukit itu dapat bertetap di tempatnya maka kamu akan dapat melihat-Ku”

(surah al-Araf ayat 143).

Musa tahu hakikat ini semuanya tetapi kerana terlampau rindunya sewaktu datang menghadap-Nya di waktu yang Kami tetapkan, lalu terkeluar permohonan tersebut dari mulutnya.

Ternyata bila Allah tajalli (menzahirkan kehebatan-Nya ke bukit itu lalu jadilah bukit itu hancur seperti debu. Sehingga akhirnya Musa tersungkur dan jatuh pengsan.

Dan bila dia sedar lalu berkata:

“Maha suci Engkau (ya Allah!) aku bertaubat kepada-Mu dan aku adalah sebahagian orang (benar-benar) berimam kepada-Mu” sambungan akhir ayat (surah al-Araf ayat 143).

Jadi apa yang dapat difahami bahawa hukum melihat Allah itu adalah harus tetapi mustahil berlaku di dunia ini. Tetapi pada hari akhirat memang akan berlaku. Ini seperti firman Allah s.w.t.:

“Muka pada hari itu akan berseri-seri melihat dan memandang kepada Tuhannya”

(surah al-Qiamah ayat 22-23).

  

Dan lagi syarat yang diberikan untuk melihat-Nya itu juga adalah harus, bila syarat suatu itu harus maka suatu itu juga (masyrutnya) adalah harus. Kita janganlah mengingkari nikmat melihat Allah ini kerana nikmat yang paling agung ini tidak akan dikurniakan kepada mereka yang menafikannya seperti kaum Muktazilah dan mereka yang sesat.

Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud:

“Untuk mereka yang (berusaha melakukan) kebaikan itu balasan syurga dan tambahan (satu kebaikan lagi)”

(surahYunus ayat 26).

Kata ulama: Maksud satu tambahan kebaikan itu ialah nikmat melihat kepada Allah yang tidak ada sebarang nikmat lain dapat mengatasinya.

 

Kesimpulannya

Isu melihat Allah ini adalah merupakan kesalahan dan tidak harus diminta oleh sesiapapun. Sebab itu Musa bertaubat dari kesilapannya dan lupa bahawa Allah itu Maha Suci dari sebarang tempat yang tertentu sehingga dapat dilihat. Nabi Ibrahim tidak memintanya tetapi meminta untuk melihat rahsia kejadian-Nya sahaja.

Allah berfirman bermaksud:

“Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan orang yang sudah mati, firman-Nya apakah kamu belum beriman (dengan kekuasaan-Ku) jawabnya; bahkan! Tetapi untuk penetapan dan keyakinan hatiku”

(surah al-Baqarah 260).

  

Anda perlu sedar bahawa berapa banyak perkara dari perbuatan manusia sendiri sudah lemah fikiran kita untuk memikirnya seperti peralatan perhubungan sekarang dan kecanggihan ciptaan sains. Di mana pada suatu masa dahulu perkara tersebut termasuk dalam perkara mustahil dan tidak masuk akal tetapi hari ini semuanya di hadapan mata.

Allah berfirman bermaksud:

“Akan Kami perlihatkan mereka akan tanda kekuasaan Kami dari ufuk-ufuk langit dan pada diri mereka juga sehingga terbukti jelas bahawa al-Quran itu adalah benar (dari Allah)”

(surah Fusillat ayat 53).

Tambahan pula sekiranya Allah dapat dilihat maka hilanglah hikmat dan tujuan kejadian alam dunia sebagai negeri tempat ujian ini kerana semua manusia akan beriman dan bertuhankan-Nya tidak ada seorang pun yang syirik kepada-Nya. Dan juga batal dan sia-sialah kejadian syurga dan neraka-Nya. Wallahualam.

  

Akibat tidak mensyukuri nikmat ALLAH

“DAN demi sesungguhnya! jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian kami tarik balik pemberian itu daripadanya, didapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.” (Hud: 9)

Huraian

Allah s.w.t. menjelaskan secara tepat sikap manusia yang gopoh dan lemah. Hanya hidup dalam detik-detik masa kini sahaja dan apabila dilanda sesuatu kesusahan ia lantas tidak teringat kepada detik-detik masa silam dan tidak dapat memikirkan masa hadapan.

Ia berputus asa daripada kebaikan dan tidak mengenang nikmat pada masa silam sebaik sahaja nikmat itu hilang daripadanya walaupun merupakan anugerah daripada Allah kepadanya. Ia menjadi begitu bergembira apabila mendapat nikmat daripada Allah dan merasa angkuh sebaik sahaja ia boleh mengatasi rintangan, mencapai kejayaan dan kesenangan.

Sebaliknya, ia tidak tahan menanggung kesusahan, tidak sanggup bersabar ketika menghadapi detik-detik kepayahan dan tidak sanggup menunggu detik-detik keselamatan. Ia tidak tahu menjimatkan kegembiraan dan kemegahan apabila mendapat nikmat dan tidak tahu pula membuat perhitungan terhadap kemungkinan hilangnya nikmat-nikmat tersebut.

Akhirnya apabila Allah s.w.t. menarik balik nikmat daripadanya, ia mula dilanda perasaan susah hati dan amat berputus asa kerana nikmat yang dirasai selama ini tidak disyukuri.

Kesimpulan

Memang menjadi sikap manusia yang mudah lupa daratan apabila diberi nikmat . Sebaliknya mereka menjadi berputus asa dan kecewa apabila nikmat itu ditarik oleh Allah s.w.t.

Mereka tidak berfikir semua pemberian dan kehilangan nikmat itu adalah ujian daripada Allah.Lantaran itu , kita hendaklah sentiasa bersyukur dan menggunakan sebaik mungkin nikmat yang diberi.

Apabila ditimpa kesusahan dengan kehilangan harta dan segala yang disayangi hendaklah kita menyedari bahawa semua nikmat itu adalah ujian Allah s.w.t. untuk menguji sejauhmana keimanan dan kesyukuran kita kepada-Nya.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)