Lelaki, Suami, Cinta dan IMAN…

Sedang asyik melayari website sebagai tambahan ilmu untuk mengisi masa lapangku, terpandang aku dengan satu topik yang amat memeranjatkan tetapi jika difikirkan pada dunia akhir zaman ini, tidak ada benda mustahil yang akan terjadi lebih-lebih lagi kita adalah umat akhir zaman dengan ketandusan akhlak dan akidah…

 Tajuk yang menyentuh hatiku membacanya, Suami biarkan isteri muda dirogol depan mata oleh TEMAN SENDIRI”

Lihat isteri dirogol

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my

GEMAS: Seorang suami hanya mampu melihat isterinya dirogol di sebuah kebun getah di Felda Sungai Kelamah, di sini, Ahad lalu, dipercayai sebagai cara menyelesaikan masalah peribadi antara dia dengan suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suami mangsa yang berusia lingkungan 50 tahun hanya mampu melihat isteri yang baru dikahwininya tiga bulan lalu diperkosa malah mengambil tindakan pulang ke rumah dengan membiarkan isterinya menjadi mangsa pemuas nafsu suspek.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan meminta bantuan seorang lelaki yang juga rakan suaminya menghantar dia ke Felda Sungai Kelamah menggunakan motosikal.

Mangsa yang tinggal di Alor Gajah, Melaka dikatakan terpaksa meminta bantuan lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu kerana mahu berjumpa suaminya yang tinggal bersama isteri tua.

Sebaik tiba di rumah, suami mangsa meminta rakannya itu menghantar isterinya ke satu kawasan di Felda terbabit kononnya untuk membincangkan bagaimana menyelesaikan masalah peribadi antara mereka sementara dia mengekori dari belakang menggunakan motosikal.

Setiba di tempat kejadian, suspek dikatakan membawa mangsa ke dalam kebun getah sebelum memperkosa wanita itu di depan suaminya.Suami mangsa tidak berani bertindak kerana takut diserang malah berpatah balik ke rumahnya.

Mangsa yang kemudiannya dihantar pulang oleh suspek membuat laporan di Balai Polis Gemas berhubung kejadian itu.Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Menurutnya, polis belum membuat tangkapan manakala motif sebenar kejadian itu masih disiasat. 

Lelaki dan Suami 

Ya Allah, dimana hilangnya tanggungjawab seorang lelaki bergelar SUAMI??? bagaimana mungkin seorang suami boleh bersikap sedemikian rupa tanpa ada perikemanusiaan terhadap isterinya sedangkan isteri adalah tangungjawabnya yang akan dipersoalkan di akhirat kelak sama ada si suami telah melaksanakan tanggungjawabnya di atas haknya terhadap isteri dan anak-anaknya…. bukankah perkahwinan itu adalah ‘suci’ dan bukan untuk membinasakan mana-mana pihak…. tetapi untuk memberi kasih sayang dan belas simpati antara suami isteri… ini jelas dalam firman Allah,

 “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Al-Rum, ayat:21)  

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah An-Nisa, ayat: 19) 

Sebagai seorang ketua keluarga seharusnya sikap memimpin dan melindungi isteri adalah yang paling penting dan utama. Seorang isteri itu adalah wanita yang lemah dan memerlukan bimbingan serta perlindungan daripada suami yang diharapkan, bukan untuk dipergunakan dengan kelemahan dan kelembutan yang dimilikinya. Isteri itu tercipta dari tulung rusuk lelaki yang sememangnya tidak lurus dan tugas suamilah yang akan meluruskannya. Terfikir aku sejenak… bagaimana seorang suami dengan rela melihat isterinya ‘dibaham’ oleh lelaki yang bernafsu haiwan dihadapan mata sendiri??? dari topik diatas membawa kepada banyak persoalan didalam mindaku. Persoalan Utama yang menjadi tanda Tanya didalam diriku iaitu mengapa sesetengah lelaki sanggup untuk berkahwin lebih dari seorang sedangkan dengan seorang isteri pun dia tidak dapat menguruskannya dengan baik… tidak mungkin sebuah company dapat dikembangkan dengan jayanya jika ketua pengarahnya tidak ada rasa tanggungjawab kepada ahli-ahlinya dan sudah tentu company itu tidak akan dapat dimajukan dengan membuka cawangannya yang lain… begitu juga dengan seorang suami… jika seorang isteri pun dia tidak dapat menguruskan dan melindunginya, tidak perlulah berkahwin lebih untuk mengelakkan berlakunya kezaliman kepada si isteri dikemudian hari… firman Allah didalam surah an-nisa sudah cukup jelas menerangkan perkara tersebut. 

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa, ayat: 3)  

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nisa, ayat: 129)  

Wahai para suami, sayangilah isterimu…. Jangan jadikan isterimu sebagai ‘hidangan makanan’ lelaki-lelaki yang tidak bermoral dengan penuh kejahilan. Zuriat dan isteri itulah tanggungjawab yang akan disoal di akhirat kelak… sayangilah diri masing-masing sebelum hari perhitungan dan pembalasan…. jangan di kejar kehidupan dunia dan di abaikan kehidupan akhirat… Nabi Muhammad SAW ada mengatakan gambaran tentang kehidupan dunia.

Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing.”  

Cinta 

Cinta manusia sukar untuk dinilai mahupun diduga, samalah juga cinta seorang suami terhadap isterinya… sudah jelas bahawa kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi… jika cinta si suami itu kuat dan teguh terhadap isteri-isterinya, tidak mungkin seorang suami akan bersikap bersahaja dan lepaskan tanggungjawabnya.  Sedih bila memikirkan keadaan ummat Rasulullah SAW akhir zaman ini… keruntuhan akhlak dan akidah sudah menjadi ‘kebiasaan’… Dosa dan pahala sudah tidak dipedulikan… hormat menghormati juga sudah hilang ditelan masa dengan arus kemodenan dunia yang sememangnya sudah terlalu tua ini….  Dosa umpama seekor semut kecil pada pandangan mata, sedangkan dosa yang dilakukan adalah dosa besar di mana lantaran dosanya akan membawanya ke lurah  neraka jahaman….   

IMAN

Ke mana hilangnya iman seorang hamba Allah yang bergelar khalifah diatas bumi Allah ini???. Bila aku timbulkan satu isu kepada seseorang yang banyak memberi aku nasihat iaitu tentang ‘wanita zaman sekarang bertudung tetapi melakukan maksiat’… dia mengulas isu yang aku timbulkan itu dengan jawapan yang cukup jelas dan mudah untuk difahami iaitu “Tudung adalah pakaian dan IMAN itulah PENENTUnya”… Dalam dunia yang semakin tua dan hampir-hampir hancur ini, iman dengan mudah dilepaskan tanpa kita sedar atau sedar tetapi buat-buat tak sedar…. iman sebeginikah yang akan memimpin kita ke jalan yang lurus??? Samalah juga dengan seorang suami yang mempunyai iman yang lemah, dapatkah dia melindungi dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada isterinya??? Seorang suami jika sempurna imannya, maka sempurna jugalah akhlak dan akidahnya…. Bila sempurnah akhlak dan akidahnya, maka sempurna jugalah tanggungjawabnya terhadap hak-hak yang dia ‘terikat’ dan yang wajib dia laksanakan. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”
 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Teringat aku akan kata-kata kenalanku dan juga merupakan seorang guru yang sudah separuh daripada usianya lebih 40-an menyumbangkan tenaga mendidik anak bangsa… bila mulutku ini lancar saja cakap dengan dia “tepuk dada, tanyalah iman” … dia dengan tenang membalas, “mengapa perlu Tanya pada iman? Sedangkan yakinkah iman itu tidak ‘tercalar’ dek perubahan masa kini yang terlalu moden. Sepatutnya cakap tepuk dada, tanyalah pada hati”…. Bila aku renung balik kata-katanya itu, ada betulnya sebab hanya hati yang akan memandu dan memimpin manusia ke arah kebaikkan. Itu pun jika hati itu bersih dari sifat nifakuntuk mencari iman sejati adalah bermulanya pada ‘hati’ iaitu  kenali hati kita dahulu.  Sesiapa yang mahu memperbaiki diri mesti melihat ke dalam lubuk hatinya. Di situlah asal mula kebaikan bercambah menjadi benih yang baik. Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT, akan bermula segala kebaikan tercipta.

Al-Fudail bin ‘Iyadh berkata: Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain. 

Peliharalah iman masing-masing… Iman tidak nampak di zahir tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.  

Bagaimana iman yang kita miliki. Berfungsi sebagai pembentuk peribadi atau mandul tanpa sebarang kebaikan???  

wAllahua’lam…

Al-Quran pemberi syafaat di hari akhirat

Al-Quran, Syafaat di Hari Akhirat  

quran.jpg

Jadilah di antara golongan manusia yg bersyukur dan mengikut segala perintah allah swt
dlm al-quran dan sunnah rasullullah saw…kerana syafaat rasullulah nanti berdasarkan itu semua..

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya”.

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.
Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.

Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang
meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata:

“Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!”

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:

“Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.”

“Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi”

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita.

Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri.Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”
(Riwayat Muslim)


berpandukan kepada Hadis diatas… kita akan dapat mengetahui maksud yang tersirat di dalam nya yang menerangkan perihal betapa pentingnya kita ber kitab kan Al-Quran sebagai bekalan keamanan kita di akhirat esok..dimana pada hari tersebut adalah merupakan hari kemusnahan dan malapetaka yang maha teruk….
Ape yang dapat kita pelajari dari Hadis tersebut ..?????

i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah SWT. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar. 

Manusia tidak pernah berasa CUKUP…

Sifat rendah diri benteng tamakkan dunia

Oleh Zahari Hasib

image112zs1.jpg

TAMAKKAN dunia ialah kecenderungan untuk memburu dan mengejar kehidupan duniawi termasuk mengumpul benda, mengejar kedudukan pangkat dan darjat, menyintai kemewahan hidup dan melupakan tanggungjawab terhadap Allah.

Islam tidak menegah atau menghalang umatnya mencari kekayaan dan kebahagiaan hidup di dunia, sebaliknya apa yang ditekankan ialah memburu kebahagiaan hidup di dunia janganlah sampai lupa tanggungjawab mempersiapkan diri dengan amalan serta bekal kehidupan di akhirat.

Allah  berfirman yang bermaksud:

“Dan carilah kurniaan Allah   untuk kebahagiaan di akhirat di samping itu jangan pula engkau lupa kepada kebahagiaan di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.” (Hadis riwayat Al-Asyakin)

Jelas Islam adalah agama yang radikal serta tidak pasif, ia menyarankan perspektif luas supaya wujud keseimbangan antara kepentingan dunia dan akhirat antaranya menerusi kewajipan berzakat, yang kaya membantu golongan memerlukan.

Malah, selain ganjaran pahala amalan zakat menjadikan umat Islam bersifat rendah hati dan mereka yang rendah hati tergolong dalam golongan sangat dikasihi Allah .

Sejarah Islam sudah menunjukkan bukti jelas bahawa orang yang tamakkan dunia akan menerima pembalasan daripada Allah , bukan saja di dunia, tetapi di akhirat seperti berlaku terhadap Qarun seorang hartawan yang hidup pada zaman Nabi Daud.

Disebabkan sifat tamak dan haloba atas rezeki yang Allah kurniakan, Qarun bersama hartanya ditelan bumi. Begitu juga Firaun yang bongkak hingga mengaku dirinya tuhan akhirnya mati dihanyutkan arus lautan yang bergelora.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa segala kekayaan dimiliki seseorang adalah suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana kesyukuran serta ketakwaan kita dalam menerima anugerah itu.

Bagi yang tebal rasa keimanannya tentu saja mereka akan menerima segala kekayaan dan harta benda itu sebagai pemberian perlu disyukuri, manakala mereka yang tamak dan haloba sering berasa tidak pernah cukup lalu akhirnya kekayaan menjadikan ia bertambah sombong, bongkak, kikir dan kedekut serta berpaling menjauhkan diri daripada Allah .

Oleh itu, sifat rendah hati amat ditekankan Islam kerana sifat rendah hati boleh menjadi benteng mencegah daripada rasa tamak haloba terhadap dunia.

Firman Allah yang bermaksud:

“Bahawa kebanyakan manusia itu sentiasa bersifat tamak serta tidak pernah bersyukur, jika kami berikan satu lembah emas nescaya dia akan meminta lagi, kemudian bila kami berikan dua lembah emas sekalipun, namun dia tidak juga berasa cukup lalu memintanya lagi.”

laut.jpg

Sementara dalam kumpulan riwayat (Al-Futahal Makkiyah) Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu kebanyakannya berada di dalam kecukupan tetapi mereka masih mencari akan apa yang membawanya kepada kedurhakaan, sesungguhnya manusia itu juga tidak pernah berasa cukup dengan sedikit, tetapi tidak pula mereka berasa puas dengan yang banyak.”

Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat bernama Abu Saalabah yang hidup dalam keadaan miskin, tetapi terkenal sebagai seorang cukup taat mengerjakan sembahyang berjemaah bersama nabi serta sahabat.

Nabi Muhammad SAW hairan kerana Abu Saalabah tidak pernah mahu ikut bersama jemaah lain untuk mengaminkan doa dibacakan Baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat.

Pada suatu hari ketika Abu Saalabah hendak bangun meninggalkan jemaah yang sedang mengaminkan doa, tiba-tiba Rasulullah SAW memanggilnya seraya bertanya: “Wahai Saalabah, mengapa aku lihat engkau tidak pernah mahu menunggu bersama orang lain untuk mengaminkan doaku.”

Maka Saalabah pun menjawab: “Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang sangat miskin, kebetulan hanya inilah saja sehelai kain (sambil dia memegang kain yang dipakainya) yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama bagi mengaminkan doa tuan, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah.”

Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah SAW tercengang lalu baginda bertanya kepada Abu Saalabah: “Jika demikian miskinnya kamu, maka mahukah engkau aku doakan supaya menjadi kaya?” Lalu Abu Saalabah menjawab: “Demi engkau sebagai nabi dan kekasih Allah , doakanlah supaya aku menjadi kaya.”

Selang tidak berapa lama, dengan berkat doa Nabi Muhammad SAW maka kehidupan Saalabah beransur-ansur senang akhirnya dia menjadi kaya raya selaku seorang saudagar dan tuan punya biri-biri dan unta yang banyak.

Selepas kekayaannya Abu Saalabah tidak lagi kelihatan datang ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah bersama nabi serta golongan sahabat lain. Ketika beberapa sahabat menanyakan Nabi Muhammad SAW mengenai ketiadaan Saalabah sembahyang berjemaah, lalu Baginda menjawab: “Kesibukan menguruskan harta benda dan kecintaan Saalabah kepada dunia ini menyebabkan dia terlupa untuk mencari jalan ke masjid.”

Kisah Saalabah menunjukkan bahawa kemewahan hidup serta sifat tamakkan dunia bisa menggugat ketakwaan serta keimanan seseorang.

Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda:

“Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing.”

Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah SAW mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: “Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat.”

Suami zaman sekarang

Suami berkira beri nafkah

Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri


 

ibu2.jpg

 SAYA berumahtangga selama 21 tahun dan ada empat anak. Saya dan suami bekerja. Selepas waktu kerja, saya membantu suami menguruskan kedai makanan.Kemusykilan saya ialah bagaimana untuk saya menuntut nafkah zahir daripada suami kerana sikap suami yang berkira dalam soal duit. Duit dia, dia punya manakala duit saya, digunakan bersama. Suami juga sering mengungkit hal pembayaran bil elektrik dan air, rumah yang kami beli bersama dan belanja pembelian barang keperluan dapur. Satu sikap suami ialah dia cepat melenting apabila bercakap mengenai duit.IDA,
Kuala Lumpur.


Jawapan:SUAMI bertanggungjawab atas nafkah zahir dan batin kepada isteri dan anak. Sebagai suami yang bertanggungjawab tentu mereka akan menunaikan tanggungjawab terbabit.

Bagaimanapun, bagi sesetengah suami yang kurang pengetahuan agama atau terlalu kedekut, tentu agar sukar bagi mereka untuk menunaikan tanggungjawab rumah tangga kecuali dibantu dan dinasihati secara baik.

Antara cara yang boleh dilakukan bagi memberikan kesedaran kepada suami ialah dengan menghadiahkan buku agama mengenai tanggungjawab suami isteri, mendengar ceramah atau syarahan agama, mendapat nasihat daripada orang berilmu (alim) dan sebagainya.

Dalam keadaan tertentu isteri dibenarkan mengambil sekadar yang perlu daripada harta suami untuk kegunaan harian sekeluarga.

Rasulullah s.a.w pernah membenarkan Hindun binti Utbah, isteri kepada Abu Sufyan untuk mengambil sebahagian harta suami yang kedekut tanpa pengetahuan suaminya.

Daripada Aisyah r.a bahawa Hindun binti Utbah berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut, dia tidak memberiku nafkah yang mencukupiku dan mencukupi anak-anakku, kecuali kalau aku mengambil daripadanya dalam keadaan dia tidak tahu?” Rasulullah (s.a.w) bersabda: Ambillah apa yang mencukupimu dan mencukupi anak-anakmu dengan cara yang makruf (baik)” (Hadis Riwayat Bukhari).  

Usia pernikahan mempengaruhi kemesraan

mara1.jpg

Usia Pernikahan Mempengaruhi Kemesraan… ….

Sebelum tidur:
6 minggu: selamat titun sayang, mimpi indah ya, mmmuach.
6 bulan: tolong matikan lampu tu, silau ah.
6 tahun : Sana sikit lah… tidur kalau tak mengepit tak boleh eh???!

Pakai Toilet:
6 minggu: tak apa, u dulu saja lah, i tak buru2 .
6 bulan: masih lama tak ini?
6 tahun: brug! brug! brug! (suara pintu digegar), kalau nak bertapa pergilah gunung ledang sana!!

Balas SMS:
6 minggu: iye sayang, kejap lagi i sampai ruma, i beli murtabak kesukaan u..
6 bulan: trafik jam lah
6 tahun: ok..

Dating process:
6 minggu: I love U, I love U, I love U.
6 bulan: Of course I love U.
6 tahun : Iyalah!! kalau i tak cintakan u, buat apa i nikah dengan u??

Pulang kerja:
6 minggu: Honey, i dah balik ini…
6 bulan : I’m BACK!!
6 tahun: Masak apa hari ini??

Hadiah (ulang tahun):
6 minggu : Sayang, i harap u menyukai cincin yang i beli
6 bulan : I beli lukisan, nampak sesuai dengan suasana ruang tengah
6 tahun : ini duit, u beli sendiri lah apa yang u nak..

Telefon:
6 minggu: Baby, ada yang ingin berbual dengan u di telefon ini
6 bulan : Eh…your call…
6 tahun : WOOIII TELFON BUNYI TUUUHHH….ANGKAT AH!!!

Masakan:
6 minggu: Wah, tak sangka i, rasa makanan ini begitu lazaattt…! !!
6 bulan: Kita makan apa malam ini??
6 tahun: HAH? LAUK INI LAGI?

Memaafkan:
6 minggu: Sudahlah, tak apa, dah pecah pun, nanti kita beli lagi eh
6 bulan: Hati-hati! Nanti jatuh itu.
6 tahun: Orang dah bilang berkali2 pun tak paham!!

Baju baru:
6 minggu: Aduh sayang, u seperti bidadari dengan pakaian itu
6 bulan: Lah.. beli baju baru lagi?
6 tahun: DAH BERAPA RIBU HABIS BELI BAJU TU???

Merancangkan Holiday:
6 minggu: Macam mana kalau kita jalan-jalan ke Amerika atau ke tempat
yang u nak honey?
6 bulan: Kita ke Bukit Bintang saja lah ….senang sikit tak perlu naik flight…
6 tahun: JALAN-JALAN? ?? DUDUK RUMAH saja TAK BOLEH EH? BUANG DUIT saja!

TV:
6 minggu: Baby, apa yang kita nak tonton malam ini ?
6 bulan : Sekejap eh, cerita bagus ah.
6 tahun: JANGAN TUKAR2 boleh?

Suami IDAMANku…

ayahanak.jpg

Akhlak Muslim Sebagai Suami

Kehidupan sebagai suami isteri adalah perkongsian. Salah seorang melengkapkan separuh agama pasangannya dan membantunya melengkapkan yang separuh lagi.“I love you!”

Perkongsian ini dibuat berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw. Agar perkongsian ini berterusan, ia perlu kepada kasih sayang yang boleh melakukan pelbagai mukjizat. Suami menanggung beban paling berat kerana dia adalah nakhoda kepada bahtera kehidupan berumah tangga. Dialah yang bertanggung jawab memandu bahtera tersebut sama ada ke arah kejayaan atau kegagalan.

 

friend.jpg

Perkataan ‘I love you’ banyak kali diucapkan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia diucapkan selepas berkahwin? Perkataan itu juga banyak kali ditulis di atas kad-kad ucapan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia ditulis di atas kad yang khusus untuk isteri selepas berkahwin?

Kita dapati Rasulullah saw ketika pulang daripada satu peperangan ditanya di hadapan khalayak ramai siapakah orang yang paling dicintai oleh baginda? Dengan segera Rasulullah saw menjawab: “Aisyah”, iaitu isteri baginda tanpa perasaan malu dan segan. Kenapa kita tidak melakukannya paling kurang pun di rumah iaitu bukan di hadapan orang ramai dengan berkata kepada isteri ‘I love you!’

 Masak apa ni!Cinta adalah perkataan yang mengandungi sihir. Namun perkataan yang lebih hebat ialah pujian dan berterima kasih atas setiap perkara sama ada kecil atau besar, terutamanya masakan. Wanita atau isteri menganggap makanan yang dimasaknya sebagai menggambarkan dirinya sendiri dan mempunyai kepentingan yang tinggi terutamanya di rumah suaminya.

Diceritakan pada suatu hari seorang wanita kampung menghidangkan setimbun makanan ternakan sebagai ganti daripada hidangan makan tengahari yang biasa dihidangkan kepada kaum lelaki keluarganya. Lalu mereka berteriak dan menjerit dan menyangka wanita itu telah gila. Namun wanita itu menjawab: “Aku berbuat demikian untuk mengetahui kamu semua tahu perbezaan antara makanan binatang dengan makanan manusia. Sudah lebih 20 tahun aku menyediakan makanan bagi kamu, tapi tak pernah aku dengar kamu berterima kasih atau memuji masakanku yang menunjukkan kamu tahu perbezaan antara makanan yang baik dan sedap dengan makanan binatang!!

Wanita, hatinya pada telinganya. Oleh itu, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih, memuji dan menghargainya.

Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah. Isteri adalah orang pertama yang sepatutnya diucapkan terima kasih!!!

Berlemah lembutlah!

Rasulullah saw menyifatkan kaum wanita sebagai botol-botol kaca. Ia adalah sifat paling indah dan paling cantik daripada Rasulullah saw yang bijaksana. Mereka adalah botol-botol yang mudah pecah. Oleh itu, suami wajib bersifat lemah lembut dan penuh kesabaran menghadapi kerenah mereka agar bahtera kehidupan dapat belayar dengan tenang.

Apa yang anda akan lakukan jika situasi berikut berlaku kepada anda?

Pada suatu hari, Rasulullah saw berada bersama-sama dengan para sahabat baginda di rumah Aisyah. Baginda meminta para isteri baginda membawa makanan keluar. Salah seorang isteri baginda membawa makanan keluar lebih cepat daripada Aisyah. Lalu para sahabat terus menjamah makanan tersebut. Kemudian barulah Aisyah datang membawa makanan. Melihatkan makanan telah sedia ada, Aisyah memecahkan bekas makanan yang dibawanya sehingga terpecah dua. Melihatkan apa yang berlaku, Rasulullah saw tersenyum sambil berkata kepada para sahabat: “Ibu kamu cemburu nampaknya.” Lalu baginda mengutip bekas makanan yang pecah dan kembali meletakkan makanan di atasnya serta memberinya makan kepada para sahabat. Kemudian baginda memberikan bekas yang pecah kepada Aisyah dan bekas yang tidak pecah kepada isterinya yang seorang lagi.

Jika situasi ini berlaku kepada anda, apakah agaknya sikap dan pendirian anda ketika berhadapan dengan kawan-kawan anda?

Firman Allah swt (surah al-Ahzab ayat 21) yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Heroku!

Suami adalah hero isterinya yang sentiasa berada di dalam khayalannya.

Wahai hero! Bukalah hati anda agar isteri anda dapat tinggal di dalamnya. Jadikanlah dia melihat kegembiraan (iaitu kerahmatan dan kasih sayang) di dalam mata anda. Jadikanlah dia melihat kerehatan ketika anda menghulurkan lengan anda kepadanya dan ketika anda meluahkan kata-kata melalui bibir anda. Dia meninggalkan rumah keluarganya hanya kerana mahu mendapatkan kasih sayang, menambat hati dan perhatian anda. Oleh itu, jadilah heronya sebagai yang dia impikan.

Ingatlah tarikh ulang tahun perkahwinan anda dan hari lahir isteri anda. Berilah hadiah kepadanya walaupun amat sederhana yang menggambarkan kecintaan mendalam anda kepadanya.

Janganlah anda menjadi seorang lelaki yang mempunyai dua muka. Anda dapat bersuka ria dan bergelak ketawa di luar rumah, tetapi masam mencuka di dalam rumah! Ini akan menjadikannya benci setiap hari dia melihat anda. Ini adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku. Ingatlah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Senyuman anda kepada saudara anda adalah sedekah.” Maka bagaimana jika senyuman itu diberikan kepada isteri!

Kunci Paling Penting

Antara kunci paling penting dalam menuju jalan kebahagian rumah tangga ialah berbuat baik kepada keluarga isteri terutama mertua.

Keluarga isteri anda telah mendidik isteri anda, menjaganya dan mengajarnya sehingga anda mengambilnya sebagai isteri. Maka berbuat baik kepada mereka pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan anda. Dari sudut syarak, anda tidak dibenarkan memutuskan hubungan antara isteri anda dan keluarganya, kerana ia bererti memutuskan silaturrahim dan menderhaka kepada kedua ibu bapanya.

Firman Allah swt (surah Muhammad ayat 22) yang bermaksud: “Adakah jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?”

Hendaklah anda mengambil perhatian tentang perkara ini dengan niat untuk menyambung silaturrahim manakala isteri anda mengambilnya dengan niat memenuhi kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Tanyalah diri anda, adakah isteri anda akan menyayangi anda jika anda tidak membenarkan dia menyayangi keluarganya? Maka kunci penting yang menjamin kebahagiaan kehidupan berumah tangga anda ialah anda menghargai keluarganya, memuji mereka atas setiap kebaikan yang mereka lakukan, menghubungi mereka setiap masa dan lain-lain lagi. Ingatlah selalu sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalanganmu ialah orang yang paling baik kepada keluarganya.”

Kejutan Membikin Mukjizat

Pembaharuan yang anda lakukan terhadap rutin kehidupan dan layanan kepada isteri anda akan meningkatkan kemanisan kehidupan sebagai suami isteri.

Rasulullah saw adalah ikutan kita dalam semua hal. Baginda saw pernah berlumba lari bersama Aisyah. Baginda juga pernah mandi daripada bekas yang sama dengan isteri baginda yang bernama Maimunah. Mereka saling merenjiskan air di antara satu sama lain. Tangan mereka berlaga di dalam bekas air. Baginda juga pernah meminta pandangan Ummu Salamah dalam salah satu perkara yang amat penting… Anda pula, apakah yang anda lakukan?

Keluarlah berdua-duaan seminggu sekali sekurang-kurangnya. Berbincanglah bersama-sama tentang apa saja. Bawalah isteri anda sesekali ke masjid bagi mendengar pengajian agama, kemudian pergilah makan malam bersama-sama di luar rumah.

Selalulah memberikan kad ucapan kepada isteri. Tulislah perkataan-perkataan lembut dan kata-kata cinta di atas kad tersebut. Atau lekatkan pada almari cermin ayat-ayat seperti ‘abang amat bahagia hidup bersamamu’, ‘sayang adalah hadiah paling berharga dalam kehidupan abang, ‘pandangan matamu menikam kalbuku’ dan lain-lain perkataan yang boleh anda cipta dan reka.

Kewajipan

• Panggillah isteri anda dengan panggilan yang paling disukainya.

• Kucuplah dia setiap kali sebelum anda keluar rumah untuk pergi bekerja dan setiap kali pulang ke rumah diiringi perkataan yang manja, kerana perbuatan tersebut akan mengekalkan kasih sayang.

• Berusahalah agar anda keluar berdua-duaan dengan isteri serta memberikannya hadiah yang sesuai.

• Pergilah bersama isteri anda menziarahi keluarganya sebulan sekali.

• Jika isteri anda sakit, jadilah anda orang pertama yang menghantarnya ke klinik. Suapkanlah ubat untuknya dan jangan sekali-kali anda meninggalkannya ketika dia sakit.

• Ketika melakukan hubungan, berikanlah perhatian yang lebih untuk menyentuh dan membelai isteri anda dengan sentuhan-sentuhan yang lembut serta membisikkan perkataan-perkataan yang manja, lebih daripada perkara-perkara lain.

• Awaslah anda daripada bersifat kedekut sama ada kedekut harta atau perkataan. Janganlah anda mengintip, mempunyai perasaan syak dan ragu, banyak bersungut, suka mengherdik dan bermuka masam.

uts-mohd.jpg 
Ustaz Mohamad bin Ismail
Sekretariat Pembangunan Belia ISMA Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
013-3446155

Hidayah Allah SWT

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al-Maidah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

hidayah.jpg

PERTEMUAN kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.

Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.

“Jadi Muslim… memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.

“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang mengikuti matrikulasi.

“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.

Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.

“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.

“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini. Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.

Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.

Rapat

“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.

 “Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.

“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.

Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.

Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.

“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?

“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.

“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.

Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.

“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.

 “Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.

“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.