Kecurigaan isteri terhadap kecurangan suami adalah WAJAR… ubatinya dengan doa kesejahteraan…

Saling doa kesejahteraan

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir isteri yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk menyiasat pergerakan suami curang, nyata menggambarkan hubungan pasangan terbabit mempunyai masalah.Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita (Helwa), Dr Mastura Badzis berkata, rasa ingin tahu dengan cara menyiasat pergerakan pasangan masing-masing sebenarnya berpunca daripada kurangnya sikap saling percaya mempercayai dalam hubungan rumah tangga.Katanya, hubungan suami isteri bukan hanya membabitkan hubungan fizikal sebaliknya perlu disertakan

ikatan kerohanian dan emosi sebagai sandaran kukuh.“Ikatan kerohanian ini bermaksud suami isteri perlu saling mendoakan kesejahteraan satu sama lain. Apabila saling berdoa, rasa bersalah itu akan lebih dirasai sekiranya suami melakukan kesalahan.

“Menerusi doa juga, suami isteri akan lebih terikat, tetapi terpulang kepada keikhlasan mereka mendoakan pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai beberapa agensi penyiasat persendirian kini menjadi rebutan isteri VIP, artis dan ahli perniagaan bagi membongkar kecurangan suami masing-masing.Selain itu, Dr Mastura berpendapat seorang isteri yang tidak mempunyai kepercayaan 100 peratus terhadap pasangannya adalah normal.

* Coretanku

Sebagai seorang wanita sememangnya terlalu banyak dugaan dan ujian yang akan dihadapi lebih-lebih lagi wanita yang bergelar isteri jua seorang ibu…. sebagai peringatan kepada diri ini dan jua sekaumku… ingatlah, kita adalah ‘senjata’ bagi syaitan…. kita perlu kuat untuk melepaskan diri dari dijadikan sebagai ‘alat senjata’ syaitan. Saya bersetuju di atas pendapat dan kata-kata Dr Mastura Badzis.

Kesabaran kena ada dalam diri kita dalam menghadapi semua masalah yang datang… kecurigaan isteri terhadap kecurangan suaminya adalah WAJAR. Tetapi kita perlu tahu cara untuk menghadapinya iaitu berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, Tuhan pencipta kita… DIA Maha Mengetahui lagi Maha dalam ilmuNYA… DIA adalah tempat bersandar yang sebetulnya, bukan penyiasat persendirian… jadikan Allah SWT sebagai tempat mengadu dan banyakkan berdoa… doa juga merupakan satu senjata ummat islam, mengapa kita malas untuk berdoa untuk kesejahteraan keluarga?? mengapa perlu meletakkan sesuatu urusan berkaitan masalah rumahtangga pada pihak ke-3 yang akan mendatangkan keruntuhan rumahtangga itu…. bukan untuk mengekalkan atau membaikpulihkan keadaan tetapi semakin membawa kepada keruntuhan dengan terdedahnya ‘aib’ sisuami… pupuk diri belajar untuk bersabar, yakinlah ALLAH bersama dengan orang-orang yang bersabar….

“Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, karena segala perkaranya adalah baik. Jika ia mendapatkan kenikmatan, ia bersyukur karena (ia mengatahui) bahwa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika ia tertimpa musibah atau kesulitan, ia bersabar karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut adalah baik baginya.” (HR. Muslim)

Dari Abu Hurairah ra. bahwa Rasulullan saw. bersabda, “Tidaklah seorang muslim mendapatkan kelelahan, sakit, kecemasan, kesedihan, mara bahaya dan juga kesusahan, hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan hal tersebut.” (HR. Bukhari & Muslim)

Jangan disebabkan kerana terlalu sakit hati pada suami, isteri meminta balasan azab kepada suami dengan disegerakan dekat dunia ini…  Allah Maha adil… sebesar zarah dosa yang dilakukan oleh hambanya pasti akan terbalas kelak di hari perhitungan. Begitu juga pada suami yang curang dengan melakukan maksiat dan zina dekat luar, Allah pasti akan membalasnya.

“…maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulul Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka …” (Surah Al-Ahqaf: 35)

Sememangnya isu tentang suami yang lepas tanggungjawab seolah-olah menjadi topik hangat masa kini… malah ada yang memeranjatkan bila seorang suami menceraikan isteri kedua dengan menggunakan “POS LAJU” …. agaknya, dunia ni terlalu canggih dan moden sehinggakan cerai pun boleh dilakukan pelbagai cara… natijahnya adalah untuk melepaskan beban tanggungjawab dan kasih beralih arah…. semua semata-mata untuk mengecapi KENIKMATAN DUNIAWI… Sedar-sedarlah para suami yang sebegini… jangan jadikan usia menjadi sia-sia… yakin sangatkah malaikat maut datang dalam masa dan waktu yang telah diketahui?? sayangilah usia yang ada. Usia yang diambang senja sepatutnya digunakan SEPENUHNYA untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Rabb pencipta kita… Semakin bertambah usia sepatutnya semakin bertambah keinsafan dan kesedaran untuk mengingati ‘maut’ bukan sekadar menikmati keseronokkan dunia…. usia 40-an pun masih ada yang lalai, malah usia pertengahan 60-an masih hanyut dengan nafsu syawat yang menjadi raja pada dirinya… mengapa perlu dibazirkan usia yang berbaki ini???

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah Ali’ Imran: 14)

Kecurangan suami merupakan salah satu ujian Allah… bukan sekadar menguji kesetiaan sisuami terhadap tanggungjawabnya yang dia terikat tetapi menguji keimanan isteri dan ketabahannya. Jagalah hati dan jangan diturutkan oleh nafsu amarah yang bergelodak. Boleh jadi ALLAH akan menggantikan isteri yang lebih baik sekiranya kegagalan untuk  mengawal diri sendiri.

“….akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, (meliputi) yang janda dan yang anak dara.” (Surah At-Tahrim: 5)

Usaha untuk mendekatkan diri pada Allah dan jangan putus berdoa untuk kesejahteraan rumahtangga… perlu pupuk kesetiaan dan tolak ansur antara satu sama lain. Tidak perlulah untuk mengupah penyiasat persendirian… yakinlah ALLAH MAHA MELIHAT setiap pergerakan dan perbuatan hamba-hambanya…

Moga diri ini juga para sekaumku akan sentiasa berada dalam landasan agama yang sebenar… ameennn…

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahkannya. “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya….” (Surah Al-Baqarah: 286)

wAllahua’lam…

Solat Dhuha hindari kepapaan

Oleh Zuarida Mohyin

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (al-Dhariyat: 56)

Allah s.w.t. Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dia tidak menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia dan tiada manfaatnya. Malah Allah yang Maha Bijaksana tidak membiarkan mereka dalam keadaan terkapai-kapai tanpa pedoman dan panduan, terbiar tanpa pengisian dan amalan.

Bahkan dengan rahmat dan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada manusia, Allah s.w.t. dan Rasul-Nya menunjukkan jalan-jalan ibadat dan ketaatan, begitu juga pintu-pintu kebaikan dan kebajikan untuk diamalkan sesuai dengan falsafah sebenar penciptaan jin dan manusia seperti ayat di atas. Salah satu ibadat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat Dhuha.

Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria menjelaskan, solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang lembing atau galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

“Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

“Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah dijadikan amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga supaya aku mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur,” kata Nidzamuddin dalam temu bual baru-baru ini.

Kelebihan

Menjelaskan kelebihan mereka yang mengamalkan solat ini, kata Nidzamuddin, setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.

Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha,” kata Nidzamuddin.

Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Akui Nidzamuddin, kedua-dua perkara tersebut memang ada kedudukan dan kepentingannya masing-masing. Pokoknya cara seseorang itu mengendalikannya mestilah seimbang dan saksama antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi.

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama, sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya mengambil masa empat hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia dibudayakan.

Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh Aishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.” (Riwayat Muslim).

Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana ia tidak memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama dan penting.

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Bilangan rakaat

Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat sahaja dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat juga pendapat sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani.” (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam) seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Imam al-Tabarani)

Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Tegasnya, bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat. (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi). Oleh itu, eloklah ia dijadikan sandaran bagi amalan kita. 

Solat Dhuha adalah KUNCI REZEKI

SEMBAHYANG DHUHA
Murahkan rezeki, menolak kepapaan

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :      “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud:“Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” ( Riwayat At-Thabarani )  

Rasulullah sebagai teladan

Oleh NURUL IZZAH SIDEK (fikrahremaja@yahoo.com)

DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Saban tahun di seluruh dunia, sambutan Maulidur Rasul memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w diadakan termasuk di negara kita. Dendangan selawat dan puji-pujian ke atas Baginda menghiasi halwa telinga dan cerita-cerita yang dipaparkan di media banyak mendatangkan keinsafan terhadap peranan kita sebagai umat Baginda.

Namun bagi umat Islam, keutamaan kita lebih dari sekadar untuk berarak dan berkumpul bagi merayakannya. Adalah amat penting untuk umat Islam terutamanya remaja menghayati keunggulan keperibadian Rasulullah dan menghayati sejarah perjuangan Baginda. Bagi remaja Islam, kekuatan keperibadian Baginda dapat dijadikan teladan yang baik (Qudwah Hasanah) untuk dicontohi.

Remaja dan contoh keperibadian Rasulullah

Remaja sentiasa mencari-cari seseorang untuk dijadikan contoh. Dalam hal ini, nyata remaja hari ini lebih mengagumi tokoh-tokoh popular, yang menonjol barangkali kerana rupa paras, ilmu atau kelebihan yang dimiliki dan remaja lebih suka menjadikan mereka idola atau pujaan hati mereka.

Dalam Islam, menjadikan seseorang sebagai contoh tidak boleh sehingga terlalu memuja orang tersebut. Contoh yang terbaik untuk diikuti ialah Rasulullah. Baginda selama 13 tahun berusaha berdakwah kepada umat Islam di Mekah untuk meninggalkan berhala yang menjadi idola dan sembahan mereka dan mengajak mentauhidkan Allah yang Esa.

Watak Rasulullah dibentuk oleh Allah melalui al-Quran. Sifat-sifat Nabi terserlah daripada peribadinya yang mulia, kebijaksanaan Baginda dalam memimpin negara, berlemah-lembut dan berhikmah dalam berdakwah serta berwasatiah (bersederhana) dalam soal kehidupan harian. Malah Rasulullah sentiasa mempamerkan budi pekerti yang baik dan terpuji kepada umatnya.

Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai jalan getir dan hidup yatim piatu sejak kecil lagi apabila bapanya meninggal dunia ketika Nabi di dalam kandungan ibunya. Tidak dapat merasai kasih sayang seorang bapa, ibunda yang dikasihi pula meninggal dunia ketika usia Nabi masih muda. Keperitan Baginda membesar tanpa ayah dan ibu menjadikan Baginda seorang yang berdikari, matang di bawah jagaan datuk dan bapa saudaranya, selain perlindungan daripada Allah s.w.t.

Allah telah memberi tarbiyah kepada Baginda menjadi seorang yang jujur, amanah dengan menghadiahkan Nabi pengalaman hidup yang mendidik Baginda seorang yang terpuji. Terpuji kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala, sentiasa melihat dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam sekelilingnya. Atas sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam kalangan ketua kabilah untuk menempatkan Hajarul Aswad.

Baginda juga terkenal sebagai penggembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan perniagaan Khadijah.Banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah sebagai model ikutan sepanjang zaman.

Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup. Dengan keyakinan yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini, ia mampu menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.

Cara dan gaya mendidik remaja menghayati sirah harus bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah mematangkan remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.

Minda yang kreatif amat diperlukan demi menghasilkan produk-produk yang dapat membantu remaja mencerna dan menghayati sirah Rasulullah supaya produk yang dihasilkan menepati syarak, dijual dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Malah, usaha penerbitan filem animasi seperti Muhammad Utusan Terakhir serta filem Saladin yang menampilkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin agung Islam perlu terus didokong dan disokong supaya sirah nabi dapat disebar dengan lebih berkesan dan meluas.

Selain itu, Rasulullah harus ditonjolkan sebagai tokoh di zaman remaja Baginda. Ketokohan Baginda sebagai tokoh perniagaan sejak remaja lagi menyerlahkan Baginda sebagai ahli perniagaan remaja yang pintar membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.

Beliau ialah tokoh remaja yang kata-katanya dipercayai setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda. Di sini, Rasulullah telah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak muda yang ingin bergerak aktif dan berjaya dalam bidang perniagaan iaitu bersifat amanah dan bertanggungjawab selain daripada mengetahui kemahiran dan strategi dalam perniagaan, walaupun masih baru dalam bidang tersebut.

Selain diri Rasulullah sendiri, sirah Baginda juga menampilkan ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar, dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat. Rasulullah telah berjaya mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam.

Sebagai remaja Islam, perjalanan sirah akan lebih dihargai jika pengajarannya dihayati. Remaja akan berasa lebih karib dengan sirah apabila mereka ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik fakta-fakta sirah. Di sini perlu wujudnya kesan kepada jiwa dan bukan semata-mata hafalan tarikh atau nama.

Remaja yang dapat menjadikan sirah sebagai penyegar jiwanya mampu membentuk jiwa dan rohnya supaya lebih tenang, bersemangat dan kental menghadapi cabaran mendatang.

Kesimpulan

Menampilkan contoh teladan yang baik adalah amat perlu untuk diri remaja. Contoh yang ditampilkan adalah mereka yang berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan berwawasan jauh, berilmu dan bijaksana serta mampu mengajak orang lain menjadi sepertinya.

Oleh itu, Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil mengagumkan kita, namun personaliti Rasulullah dan kebijaksanaan Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi pengikut.

Sesungguhnya, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.

  

Jalan di hadapan…

jalan.jpg

masih jauh perjalanan ini..

selangkah demi selangkah..

ku gagahi jua membawa sepasang kaki ini..

dalam meniti ranjau duniawi..

yang penuh dengan liku, onak dan duri..

manisnya hanya seketika Cuma..

pahitnya yang terasa berpanjangan..

 

dalam meneruskan perjalanan ke hadapan..

kadangkala tersilap hala tuju..

kaki ini tertarik menuju jalan-jalan yang indah lagi cantik..

jalan-jalan yang penuh bisikan syaitan dan nafsu yg tinggi..

hati ini kecut dan takut..

angkara tersilap hala itu..

akan membawa diri ini ke lurah jahanam..

terasa diri terlalu hina disisi ilahi..

masih adakah sayang dan kasih ilahi Rabbi..

lantaran kotornya diri ini..

alangkah ruginya diri ini sekiranya..

ar-Rahman murka dan abaikan..

 

jalan di hadapan itu..

penuh dengan rencah kehidupan bertopengkan takbur, riak dan ujud..

penuh dengan keruntuhan akhlak dan aqidah..

maruah dengan mudah digadai..

bagaikan tiada nilai yang berharga ada padanya..

mampukah aku pertahankan ia..

agar tidak tergadai dan hilang dibawa arus moden..

yang beraja kepada NAFSU..

dan berteman kepada syaitan..

setiap detik merayu dan membisikkan..

mengajak untuk mengikutnya..

semakin kuat untuk menghalang dan menolaknya..

semakin kuat ajakan dan bisikan itu..

kedengaran…

 

jalan itu..

penuh liku dan ujian ilahi..

baru tersedar dari kealpaan diri..

panggilan Ar-Rahman ada setiap detik..

memangil-manggil hambanya termasuklah diri ini..

kembali kepadaNYA..

betapa rindunya ilahi pada hambaNYA..

rindu mendengar rintihan dari hambaNYA..

rindu melihat airmata hambaNYA..

rindu menunggu doa dan permintaan dari hambaNYA..

cuma hati ini yang tidak begitu peka..

dengan panggilan-panggilan itu..

inilah kerana kerasnya hati..

kotornya hati..

penuh dengan maksiat..

penuh dengan dosa..

penuh dengan penyakit nifaq..

 

perjalanan di hadapan masih jauh..

selagi malaikat maut belum menjemput..

selagi itu ku teruskan membawa kaki ini melangkah demi melangkah..

mampukah aku menjaga wasiat Rasulullah..

dengan menyuruh kepada amal makruf dan..

mencegah kemungkaran..

sedangkan di hadapan mata penuh dengan kemungkaran…

 

Benteng diri daripada syaitan

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

HIDUP tidak sunyi daripada ujian dan bahaya. Dalam pelbagai bahaya, yang paling bahaya ialah bahaya syaitan. Sebab itulah benteng pertama yang diajar Allah ialah “saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Bahaya penyakit fizikal seperti jangkitan kuman atau virus, binatang buas, bencana tanah runtuh dan gempa bumi hanya akan membawa akibat fizikal seperti kecacatan, kesakitan, kerugian dan kematian.

Tetapi, akibat dan bahaya syaitan akan membawa kecacatan rohani, ketempangan sosial dan kedangkalan sistem politik yang akhirnya membawa diri ke ‘neraka sementara’ di dunia sebelum neraka kekal di akhirat nanti.

Jika hendak melawan syaitan sepatutnya kita mengetahui karakter dan strategi serta selok-belok, modus operandi dan organisasinya.

Patut juga diketahui ialah kelemahan dan pantang larang syaitan, iblis dan konco-konconya. Siapa musuh iblis dan syaitan?

Mereka ialah Rasulullah s.a.w, orang beriman yang pengasih dan penyayang, suka memberikan nasihat, bertaubat, berakhlak mulia, bersedekah, memberikan manfaat kepada orang lain, sentiasa berwuduk, tidak melakukan dosa, solat khusyuk, pemerintah yang adil, orang kaya yang rendah hati, peniaga yang jujur dan amanah, istiqamah membaca al-Quran dan orang yang bangun bersolat malam ketika orang lain sedang tidur.

Sementara sahabat syaitan dan iblis pula ialah orang kaya yang sombong, peminum arak, hakim yang tidak adil, peniaga yang tidak jujur, orang yang tidak membayar zakat, orang yang meringankan solat, orang yang makan harta anak yatim, orang yang beramal kerana nama, orang yang penghasut dan pendengki serta orang yang membuang masa dan melakukan perbuatan sia-sia.

 

Pintu hati manusia yang dimasuki oleh iblis:

* Putus asa dan kecewa

* Memandang remeh pada dosa kecil

* Panjang angan-angan dan suka puji-pujian

* Memandang rendah orang lain

* Tidak takut murka Allah

* Tidak boleh mengawal marah

* Ujub, sombong, riak dan buruk sangka terhadap orang lain

* Terlalu cinta dunia

* Bakhil dan kedekut

Rumah yang tidak dimasuki iblis ialah rumah yang penghuninya saling bermaafan, dalam keadaan berzikir, selalu menjauhi dosa, merendah diri kepada Allah, soleh dan solehah, berbakti kepada ibu bapa, berwuduk dan bersolat serta sentiasa membaca al-Quran.

 

Ada beberapa jenis senjata untuk melawan syaitan, iaitu membaca Bismillah, banyak berzikir, beristighfar, membaca “la ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”, membaca doa pagi dan petang, bersugi dan gosok gigi, solat berjemaah, berwuduk sebelum tidur, menutup aurat, membaca doa masuk tandas, banyak berselawat kepada nabi, bertaubat banyak-banyak dan banyak membaca al-Quran.

 

Waktu-Waktu Mustajab Berdoa

Selain usaha dan tawakal, doa ialah satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu hajat. Ada waktu-waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa kepada ALLAH s. w. t. Di antaranya ialah:-

1.            Semasa Lailatul-Qadar.

2.            Ketika hujan turun.

3.            Ketika memulakan dan setelah selesai solat.

4.            Ketika menghadapi barisan musuh di medan peperangan.
          Di tengah malam.

5.            Di antara azan dan iqamah.

6.            Ketika sujud dalam solat.

7.            Ketika iktidal akhir dalam solat.

8.            Ketika khatam (tamat) membawa 30 Juz al-Quran.

9.            Sepanjang malam, paling utama sepertiga awal dan sepertiga akhir  (waktu sahur).

10.        Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat kerana mengharapkan bersua dengan saat ijabah (diperkenankan doa) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.

11.        Di antara waktu zuhur dan asar dan antara waktu asar dan maghrib.

RENUNGAN

  1. AMBILLAH WAKTU UNTUK BERFIKIR ITU ADALAH SUMBER KEKUATAN.

  2. AMBILLAH MASA UNTUK BERDOA ITU ADALAH SUMBER KETENANGAN.

  3. AMBILLAH WAKTU UNTUK BELAJAR ITU ADALAH SUMBER KEBIJAKSANAAN.

  4. AMBILLAH WAKTU UNTUK MENCINTAI DAN DICINTAI  ITU ADALAH HAK ISTIMEWA YANG DIBERIKAN TUHAN