Sekeping hati ini…

ros2.jpg 

Sekeping hati ini…

terlalu berharga bagiku

disuatu ketika dahulu aku pernah beri

kepada seseorang yang aku percayai dan sayangi

tetapi… tidak dihargai

dirobek-robekkan bagaikan tiada nilai

bila telah menemui sekeping hati yang lebih sesuai dengan jiwanya

dipulangkannya kembali kepadaku dalam keadaan penuh kelukaan

sekeping hati ini…

ku cuba berikan lagi kepada seseorang

diatas kepercayaan dia mampu merawatnya dan

mampu memberikan sinar bahagia

tetapi… sekali lagi

tidak dijaga sebaiknya

dimusnahkan dan dihancurkan

bagaikan kaca yang jatuh terhempas dan berkecai

tidak dipulangkan kepadaku walaupun aku pinjamkan

hanya seketika waktu

sekeping hati ini…

luka dengan parah

lantaran perbuatan hamba bernama insan

bermain dengan kata-kata yang penuh kemanisan

ungkapan rindu dan sayang

tidak pernah lekang dari bibirnya

sehingga terleka dan

jauhnya sekeping hati ini

dari ilahi Rabbi

sekeping hati ini…

penuh dengan luka, parut dan lubang-lubang kesakitan

lubang-lubang itu TIDAK akan tertutup seperti sebelumnya

ia jua…

TIDAK mungkin akan sempurna seperti asalnya

TIDAK mungkin akan sembuh seperti asalnya

TIDAK mungkin akan serupa seperti asalnya

TIDAK mungkin akan ceria seperti asalnya

TIDAK mungkin akan indah seperti asalnya

sekeping hati ini…

sudah terlalu letih untuk menerima kepercayaan seutuhnya

dari hamba bernama insan

ia memerlukan masa yang amat panjang

untuk menyembuhkannya seperti sediakala

lantaran kelukaannya dimasa lalu

sekeping hati ini…

ku ubatinya dengan zikrullah

agar lubang-lubang kesakitan itu dapat ‘ditampal’

walaupun PARUT tetap akan meninggalkan bekas

dan kesakitan itu pasti akan dirasai

selagi roh dikandung badan

ku yakini semua lubang-lubang itu mampu ‘ditampal’

bersama nur ilahi

sekeping hati ini…

walaupun berperang setiap hari dengan dua bisikan

dan setiap saat menyuruh kembali ke zaman silam

tidak akan sesekali aku berpatah semula kebelakang

walaupun ia terlalu letih dengan pelbagai ujian yang datang

akan ku jaga ia dengan zikrullah agar sentiasa lembut

akan ku didik ia dengan mengamalkan sunnahtullah

akan ku belai ia dengan bacaan Al-Quran

akan ku berinya makanan setiap hari dengan santapan ROHANI

agar ia tetap terang bercahaya dan tidak akan malap

kerana ALLAH melihat dan menilai sekeping hati ini

bukan kecantikan luaran mahupun harta benda

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu…” (HR Imam Muslim)

sekeping hati ini…

ku didik akan bersabar dan tabah

menerima segala ujian duniawi

ku lembutkan ia

agar menerima sekeping hati lain dari seorang insan

yang ada kalam ALLAH dalam hatinya

yang ikhlas dan tulus hatinya

agar sekeping hati ini akan lebih sempurna dan berpasangan

melalui ikatan yang sah

bersama-sama mencari keredhaan ilahi

sebagai bekalan ke destinasi kekal

“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaasin: 36)

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya”. ( Surah Ali’ Imran: 08)

Nikmatnya khusyuk solat

muslimprayer2.jpg

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

PADA pertemuan yang lalu kita membincangkan mengenai khusyuk dalam solat yang merupakan tujuan utama dalam ibadat solat.

Saya hidangkan beberapa tip yang diperturunkan ulama yang menikmati keindahan dan kenikmatan khusyuk. Hari ini kita sambung lagi dengan beberapa tip semoga dapat membantu untuk kita juga sama-sama menikmatinya.

Cerita kenikmatan khusyuk ini pernah seorang teman mengadu kepada saya satu petang sejurus selesai sahaja solat sambil menangis bertanya mengenai apa yang dia rasa dalam solat Asar.

Katanya, “Saya tak pernah rasa apa yang saya rasa petang ini tenang sangat hening dan syahdu.”

Dalam linangan air mata beliau bertanya adakah ini khusyuk? Saya terpaku dan rasa malu kerana dia bertanya dalam keadaan menikmati sedangkan saya hanya ada teori?

Selepas beberapa hari beliau bertanya lagi, kenapakah perasaan yang dinikmatinya tak jumpa ‘line’. Adakah dia banyak dosa? Atau susah sangat nak jumpa ‘line’.

Selepas saya beritahu beberapa tip, katanya barulah dia jawab tak lama selepas perasaan yang dia rasa dulu kerana ‘terjumpa’ dan bila sudah jumpa kaedahnya barulah dia banyak kali merasainya.

Antara tip-tip untuk khusyuk lagi ialah :

  • Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya’ dan mungkar.” Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.

  • Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan Allah.) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan Allah, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya Allah).

  • Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud/tahiyat. Ayat yang kita baca assalaamualaika… seolah kita berada di hadapan nabi.

  • Bacaan tasyahud/tahiyat juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap Allah.

Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

  • Dalam sebuah hadis, Allah sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya Allah kalau kita main-main dalam solat.

Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah :

  • Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.

  • Jangan lupa berdoa lagi supaya Allah beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.

  • Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan.

Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.

  • Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.

Tetamu Terakhir

kubur.jpg

Saudaraku,

Tahukah siapa tetamu terakhir yang akan mengunjungimu? Tahukah anda apa tujuan ia menziarahi dan menemuimu? Apakah hajatnya darimu?

Ketahuilah! Ia tidak datang kerana dahagakan hartamu, atau kerana ingin menikmati hidangan lazat bersamamu, atau meminta bantuanmu untuk membayar hutangnya, atau memintamu memberikan sokongan kepada seseorang atau untuk menyelesaikan urusan yang tidak mampu ia selesaikan!!

Tetamu ini datang untuk satu urusan penting yang telah ditetapkan. Anda dan keluarga anda malah seluruh penduduk bumi ini tidak akan mampu menggagalkannya dalam misinya tersebut!

Walaupun anda tinggal di istana-istana yang tinggi, berlindung di benteng-benteng yang kukuh dan di menara-menara yang kuat, dikawal dengan ketat, anda tidak dapat mencegahnya masuk untuk menemuimu dan menunaikan urusannya denganmu!!

Untuk menemuimu, ia tidak perlu pintu masuk, atau meminta izin, dan membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang. Ia akan datang bila-bila dan dalam keadaan apapun; ketika kamu sedang sibuk ataupun lapang, sedang sehat ataupun sedang sakit, semasa kamu masih kaya ataupun sedang melarat, ketika kamu sedang bemusafir atau pun tinggal di tempatmu!!

Saudaraku! Pengunjungmu ini tidak memiliki hati yang lemah. Ia tidak akan terpengaruh oleh ucapan-ucapan dan tangismu bahkan oleh jeritanmu dan sahabat-sahabat yang menolongmu. Ia tidak akan memberimu kesempatan untuk menilai semula perhitungan-perhitunganmu dan meninjau kembali urusanmu!

Kalau pun kamu berusaha memberinya hadiah atau menyogoknya, ia tidak akan menerimanya sebab seluruh hartamu itu tidak bererti apa-apa baginya dan tidak membuatnya mundur dari tujuannya!

Sungguh! Ia hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain! Ia menginginkanmu semuanya bukan separuh badanmu! Ia ingin membinasakanmu! Ia ingin kematian dan mencabut nyawamu! Menghancurkan raga dan mematikan tubuhmu! Dia lah malaikat maut!!!

Allah s.w.t berfirman, ertinya:

Katakanlah, ‘Malaikat Maut yang ditugaskan untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.” (QS. As-Sajadah: 11)

Dan firman-Nya, ertinya:

Sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya.” (QS. Al-An’am: 61)

Kereta Usia

Tahukah kamu bahawa kunjungan Malaikat Maut merupakan sesuatu yang pasti? Tahukah kamu bahawa kita semua menjadi musafir di tempat ini? Sang musafir hampir mencapai tujuannya dan mengekang kendaraannya untuk berhenti?

Tahukah kamu bahwa pusingan kehidupan hampir akan terhenti dan ‘kereta usia’ sudah mendekati destinasi terakhirnya? Sebahagian orang soleh mendengar tangisan seseorang atas kematian temannya, lalu ia berkata dalam hatinya, “Aneh, kenapa ada kaum yang akan menjadi musafir menangisi musafir lain yang sudah sampai ke tempat tinggalnya?”

Berhati-hatilah!

Semoga anda tidak termasuk orang yang Allah s.w.t. sebutkan, mafhumnya:

Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila Malaikat (Maut) mencabut nyawa mereka seraya memukul muka mereka dan punggung mereka?” (QS. Muhammad: 27)

Atau firman-Nya, mafhumnya:

“(Iaitu) orang-orang yang dimatikan oleh para malaikat dalam keadaan berbuat zalim kepada diri mereka sendiri, lalu mereka menyerah diri (sambil berkata), ‘Kami sekali-kali tidak ada mengerjakan sesuatu kejahatan pun.” (Malaikat menjawab), “Ada, sesungguh-nya Allah Maha Mengetahui apa yang telah kamu kerjakan. “Maka masuklah ke pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri itu.” (QS. An-Nahl: 28-29)

Tahukah kamu bahwa kunjungan Malaikat Maut kepadamu akan mengakhiri hidupmu? Menyudahi aktivitimu? Dan menutup lembaran-lembaran amalmu?

Tahukah kamu, setelah kunjungan-nya itu kamu tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun? Tidak dapat melakukan shalat dua raka’at? Tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitab-Nya? Tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walau pun sekali? Tidak dapat berpuasa walaupun sehari? Bersedekah dengan sesuatu meskipun sedikit? Tidak dapat melakukan haji dan umrah? Tidak dapat berbuat baik kepada kerabat atau pun tetangga?

‘Kontrak’ amalmu sudah berakhir dan engkau hanya menunggu perhitungan dan pembalasan atas kebaikan atau keburukanmu!!

Allah s.w.t. berfirman, ertinya:

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikan lah aku (ke dunia).” Agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak. Sesungguh-nya itu adalah perkataan yang diucapkan saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.” (QS. Al-Mu’minun: 99-100)

Persiapkanlah Dirimu!

Mana persiapanmu untuk menemui Malaikat Maut? Mana persiapanmu untuk menyongsong huru-hara setelahnya; di alam kubur ketika menghadapi pertanyaan, ketika di Padang Mahsyar, ketika hari Hisab, ketika ditimbang, ketika diperlihatkan lembaran amal kebaikan, ketika melintasi Shirath dan berdiri di hadapan Allah Al-Jabbar?

Dari ‘Adi bin Hatim r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Tidak seorang pun dari kamu melainkan akan diajak bicara oleh Allah pada hari Kiamat, tidak ada penterjemah antara dirinya dan Dia, lalu ia memandang yang lebih beruntung darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah diberikannya dan memandang yang lebih sial darinya, maka ia tidak melihat selain apa yang telah diberikannya. Lalu memandang di hadapannya, maka ia tidak melihat selain neraka yang berada di hadapan mukanya. Kerana itu, takutlah api neraka walau pun dengan sebelah biji kurma dan walau pun dengan ucapan yang baik.” (Muttafaqun ‘alaih)

Hitungkanlah Dirimu!

Saudaraku, bermuhasabahlah ke atas dirimu di saat masa lapang mu, fikirkanlah betapa cepat akan berakhirnya masa hidupmu, bekerjalah dengan sungguh-sungguh di masa lapangmu untuk masa sulit dan keperluanmu, renungkanlah sebelum melakukan suatu pekerjaan yang kelak akan dicatit di lembaran amalmu.

Di mana harta benda yang telah kau kumpulkan? Apakah ia dapat menyelamatkanmu dari cubaan dan huru-hara itu? Sungguh, tidak! Kamu akan meninggalkannya untuk orang yang tidak pernah menyanjungmu dan maju dengan membawa dosa kepada Yang tidak akan bertolak ansur denganmu!

Saringan dari artikel dari artikel Az-Zâ’ir Al-Akhîr karya Khalid bin Abu Shalih oleh Abu Shofiyyah 

Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman

Jendela Hikmah: Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman
Maszlee Malik

DIRIWAYATKAN oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  

“Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan menjadi berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehinggakan 50 wanita hanya dilindungi oleh seorang lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Masalah sosial dan keluarga yang kian meruncing adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya.

Mungkin ramai yang akan menduga hilang semangat kelelakian membawa maksud bertambahnya lelaki lembut seperti yang pernah diperbincangkan dalam akhbar harian tempatan suatu waktu dulu.

 

Ada juga menyangkakan yang dimaksudkan dengan semakin kurangnya bilangan lelaki, tetapi sebenarnya bukan demikian. Bilangan lelaki ramai, jika tidak lebih atau sama dengan bilangan wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya.

Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranannya sebagai lelaki seperti disebutkan oleh al-Quran: “Para lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita.” (Surah al-Nisa, ayat 24)

Hipotesis itu sebenarnya ada kebenarannya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita, dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Menariknya, dalam hadis itu Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa maksud lelaki.

Maksudnya, orang lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sama ada tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga ataupun memperlakukan wanita dengan perlakuan memudaratkan mereka, seperti mengeksploit, merogol, menjadikan wanita alat pemuas nafsu dan sebagainya.

Lihat apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin hancur moralnya. Berita kejadian rogol bagaikan sama wajibnya dengan ruangan siaran televisyen di dada akhbar.

Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak, pembantu rumah dan 1001 kejadian dan peristiwa yang jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di Malaysia ini.

Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi kerana mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu ‘pelindung’ bagi wanita.

Apakah rasionalnya teori itu? Jika lelaki mempunyai kelelakian dan menjadi pelindung, dia akan melihat wanita golongan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga kehormatan, tidak boleh dikasari, tidak dieksploitasi apa lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang.

Lelaki yang mempunyai sifat pelindung tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya kerana menyedari dia wajib melindungi maruah wanita itu. Lelaki pelindung tidak akan merogol wanita, kerana beliau menyedari beliaulah yang patut melindungi wanita daripada dikasari dan dizalimi, apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat mereka sendiri.

Seorang lelaki pelindung juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana merekalah yang sepatutnya melindungi wanita daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata, jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

Keluarga memerlukan lelaki pelindung yang tidak akan bermalasan di rumah membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang. Lelaki pelindung juga tidak akan memukul dan mendera sama ada isteri mahupun anaknya.

Lelaki pelindung juga tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut wanita dan ahli keluarganya, tidak akan menggadai maruah anak isteri walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini.

Ironiknya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki. Kedengaran suara sumbang aktivis wanita yang ingin mendapat taraf sama dengan lelaki tanpa menyedari risikonya.

Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini di dominasi lelaki. Di satu sudut, muncul bagai cendawan lepas hujan wanita yang rela diri dieksploitasi lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah.

Bagaikan sesuatu yang biasa, kewujudan GRO, pelacuran sama ada yang terhormat ataupun tidak berlesen. Media berlumba-lumba mempergunakan wanita untuk melariskan produk mereka.

Bagaimana menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung? Proses yang bagaimana perlu diaplikasikan terhadap semua lelaki di Malaysia supaya sedar mereka adalah lelaki dan perlu menjadi pelindung bagi wanita?

Dalam hal ini, lelaki terutama Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dan menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat iu.

Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah, mengikut ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki melindungi wanita mencontohi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita bagaimana melindungi wanita sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah, lelaki akan sentiasa menjadi pelindung bagi wanita.

 

Penulis ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan boleh dihubungi melalui emel wanitajim0@yahoo.com 

Lelaki DAYUS

Siapa Lelaki Dayus ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.

Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.

Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.

Nabi SAW bersabda :-

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS” ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih  : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadith lain pula :

 ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ – تَبَارَكَ وَتَعَالَى – عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya” ( Riwayat Ahmad )

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

ERTI DAYUS

 

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-

1)     Sabda Nabi : –

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : “IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) – ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله

Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya) 

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

هو الذي لا يغار على أهله

Ertinya : “seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-‘Aini pula berkata : “Cemburu lawannya dayus” ( Umdatul Qari, 18/228 )

Berkata pula An-Nuhas :

قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم

Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram ” (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :

فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره

Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya”  ( Faidhul Qadir, 3/327 )

Imam Az-Zahabi pula berkata :-

فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه

Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya” ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata :-

قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة

Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

والقواد عند العامة السمسار في الزنى

Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina” (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-

الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat” (Al-kabair, 1/45 )

Cemburu Dituntut Islam  & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan’ kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة 

Ertinya : “Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)” ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara ‘ringan’ dan ‘berat’, mereka ingin mengetahui cara bertawbat.

‘Ringan-ringan’ Sebelum Kahwin 

Jika seorang bapa mengetahui ‘ringan-ringan’ anak  dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau ‘terlanjur’ sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain pula.

Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih ‘ringan-ringan’ dan ‘terlanjur’ ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!

Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua.  Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

“habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?”

Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : “Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku”, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu nabi memberi respond : “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.. ” ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘spoting’ yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepada dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

” Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku”

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : “Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid” ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

17 Julai 2007

p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.