Wahai ALLAH… Terimalah kepulanganku… hambaMU…

kubur1.jpg

 

Biarpun kita menjadi tuan, kita tetap bertuhan..

Biarpun kita mereka-reka, kita tetap ciptaan..

Apalah kita menjadi tuan, sedangkan kita tetap hamba..

Apalah guna mengangkat kepala, sedangkan sujud tempatnya..

 

Lihatlah ke dalam diri, peperangan ada di sana..

Tempat kita di mana? Kalau bukan di situ..

Gelap dan sempit, dan fitnahnya teramat dahsyat..

Perjalanan yang jauh terasa perit..

Berliku-liku dengan wajah yang legam..

Siapakah yang mampu menolong?

Kalau bukan kamu yang berasa kerdil..

Lalu memencilkan jiwa dalam pandangan-NYA

Lalu tunduk sujud mewalangkan diri..

Lalu pulang ke pangkuan-NYA..

 

Kerdillah diri apabila kita pulang ke sana..

Bergelumang tanah di atasnya subur bunga-bunga..

Wahai ALLAH… Terimalah kepulanganku..hambaMU..

  

sabda Rasulullah s.a.w: Bacakanlah Surah Yasiin atas orang yang mati di antara kamu.

 

Hadith Riwayat Abu Daud, Nasa-i, Ahmad dan Ibnu Hibban: membacakan Surah Yasiin itu akan memudahkan roh keluar dari jasad. Sebab mati itu didahului dengan kesulitan dan sakarat  

(Sajak Petikan Novel ‘Ranggau’)

Rahsia khusyuk dalam solat

muslim20prayer3.jpg

 

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimankah caranya tuan solat?” Hatim berkata : “Apabila masuk waktu bersolat saya berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”
Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air.
Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-


1.    Bertaubat
2.    menyesali dosa yang dilakukan
3.    tidak tergila-gilakan dunia
4.    tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)
5.    tinggalkan sifat berbangga
6.    tinggalkan sifat khianat dan menipu
7.    meninggalkan sifat dengki


Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian saya pergi ke masjid. saya kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. saya berdiri dengan penuh kewaspadaan dan saya bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan saya mula bayangkan pula bahawa saya seolah-olah berdiri di atas titian “Sirratul Mustaqim” dan saya menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik.
 

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian saya ruku’ dan sujud dengan tawadhu’, saya bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya solat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.”

 

 

Solat, ubat mujarab pengusir kesedihan

muslimprayer2.jpg

Oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni 

Firman Allah sw.t. di dalam surah al-Baqarah, ayat 153:

Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat…”

Apabila ketakutan meliputi anda, kesedihan menghimpit anda, dan kerisauan mencekik anda, maka bersegeralah anda mendirikan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya solat itu – dengan izin Allah – boleh menjaga anda dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit anda selama ini.

Ketika Rasulullah s.a.w. dirundung masalah, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabah r.a.:

Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat.” (al-Hadith)

Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah s.a.w.

Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa orang tokoh. Dan umumnya, apabila saat mereka dihimpit dengan persoalan hidup dan menghadapi banyak dugaan, maka mereka segera memohon pertolongan Allah dengan mendirikan solat dengan khusyu’. Begitulah cara mereka mencari jalan keluar, sehinggalah kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.

Solat khauf dilaksanakan pada saat-saat genting, yakni saat kematian terjadi di mana-mana dan banyak nyawa melayang, akibat peperangan. Apabila keadaan semakin memburuk maka solat akan memperbaikinya. Ini merupakan syarat bahawa sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyu’.

Setiap generasi umat manusia yang sedang menderita berbagai penyakit kejiwaan saat ini, hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan dari Ilahi. Dengan melakukan sedemikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka jelaslah bahawa seseorang itu tidak memiliki sebarang kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengan mendirikan solat.

Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar – jika kita mahu berfikir – ialah perlaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari semalam, yang merupakan penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Allah. Di samping itu, solat lima waktu juga merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan berbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan takwa dalam relung hati, sehingga hati redha dengan apa jua ketentuan Allah.

Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain, dan dari kesengsaraan yang satu kepada yang lain.

“…Maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka.” (Muhammad : 8.)