Kecurigaan isteri terhadap kecurangan suami adalah WAJAR… ubatinya dengan doa kesejahteraan…

Saling doa kesejahteraan

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir isteri yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk menyiasat pergerakan suami curang, nyata menggambarkan hubungan pasangan terbabit mempunyai masalah.Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita (Helwa), Dr Mastura Badzis berkata, rasa ingin tahu dengan cara menyiasat pergerakan pasangan masing-masing sebenarnya berpunca daripada kurangnya sikap saling percaya mempercayai dalam hubungan rumah tangga.Katanya, hubungan suami isteri bukan hanya membabitkan hubungan fizikal sebaliknya perlu disertakan

ikatan kerohanian dan emosi sebagai sandaran kukuh.“Ikatan kerohanian ini bermaksud suami isteri perlu saling mendoakan kesejahteraan satu sama lain. Apabila saling berdoa, rasa bersalah itu akan lebih dirasai sekiranya suami melakukan kesalahan.

“Menerusi doa juga, suami isteri akan lebih terikat, tetapi terpulang kepada keikhlasan mereka mendoakan pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai beberapa agensi penyiasat persendirian kini menjadi rebutan isteri VIP, artis dan ahli perniagaan bagi membongkar kecurangan suami masing-masing.Selain itu, Dr Mastura berpendapat seorang isteri yang tidak mempunyai kepercayaan 100 peratus terhadap pasangannya adalah normal.

* Coretanku

Sebagai seorang wanita sememangnya terlalu banyak dugaan dan ujian yang akan dihadapi lebih-lebih lagi wanita yang bergelar isteri jua seorang ibu…. sebagai peringatan kepada diri ini dan jua sekaumku… ingatlah, kita adalah ‘senjata’ bagi syaitan…. kita perlu kuat untuk melepaskan diri dari dijadikan sebagai ‘alat senjata’ syaitan. Saya bersetuju di atas pendapat dan kata-kata Dr Mastura Badzis.

Kesabaran kena ada dalam diri kita dalam menghadapi semua masalah yang datang… kecurigaan isteri terhadap kecurangan suaminya adalah WAJAR. Tetapi kita perlu tahu cara untuk menghadapinya iaitu berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, Tuhan pencipta kita… DIA Maha Mengetahui lagi Maha dalam ilmuNYA… DIA adalah tempat bersandar yang sebetulnya, bukan penyiasat persendirian… jadikan Allah SWT sebagai tempat mengadu dan banyakkan berdoa… doa juga merupakan satu senjata ummat islam, mengapa kita malas untuk berdoa untuk kesejahteraan keluarga?? mengapa perlu meletakkan sesuatu urusan berkaitan masalah rumahtangga pada pihak ke-3 yang akan mendatangkan keruntuhan rumahtangga itu…. bukan untuk mengekalkan atau membaikpulihkan keadaan tetapi semakin membawa kepada keruntuhan dengan terdedahnya ‘aib’ sisuami… pupuk diri belajar untuk bersabar, yakinlah ALLAH bersama dengan orang-orang yang bersabar….

“Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, karena segala perkaranya adalah baik. Jika ia mendapatkan kenikmatan, ia bersyukur karena (ia mengatahui) bahwa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika ia tertimpa musibah atau kesulitan, ia bersabar karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut adalah baik baginya.” (HR. Muslim)

Dari Abu Hurairah ra. bahwa Rasulullan saw. bersabda, “Tidaklah seorang muslim mendapatkan kelelahan, sakit, kecemasan, kesedihan, mara bahaya dan juga kesusahan, hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan hal tersebut.” (HR. Bukhari & Muslim)

Jangan disebabkan kerana terlalu sakit hati pada suami, isteri meminta balasan azab kepada suami dengan disegerakan dekat dunia ini…  Allah Maha adil… sebesar zarah dosa yang dilakukan oleh hambanya pasti akan terbalas kelak di hari perhitungan. Begitu juga pada suami yang curang dengan melakukan maksiat dan zina dekat luar, Allah pasti akan membalasnya.

“…maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulul Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka …” (Surah Al-Ahqaf: 35)

Sememangnya isu tentang suami yang lepas tanggungjawab seolah-olah menjadi topik hangat masa kini… malah ada yang memeranjatkan bila seorang suami menceraikan isteri kedua dengan menggunakan “POS LAJU” …. agaknya, dunia ni terlalu canggih dan moden sehinggakan cerai pun boleh dilakukan pelbagai cara… natijahnya adalah untuk melepaskan beban tanggungjawab dan kasih beralih arah…. semua semata-mata untuk mengecapi KENIKMATAN DUNIAWI… Sedar-sedarlah para suami yang sebegini… jangan jadikan usia menjadi sia-sia… yakin sangatkah malaikat maut datang dalam masa dan waktu yang telah diketahui?? sayangilah usia yang ada. Usia yang diambang senja sepatutnya digunakan SEPENUHNYA untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Rabb pencipta kita… Semakin bertambah usia sepatutnya semakin bertambah keinsafan dan kesedaran untuk mengingati ‘maut’ bukan sekadar menikmati keseronokkan dunia…. usia 40-an pun masih ada yang lalai, malah usia pertengahan 60-an masih hanyut dengan nafsu syawat yang menjadi raja pada dirinya… mengapa perlu dibazirkan usia yang berbaki ini???

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah Ali’ Imran: 14)

Kecurangan suami merupakan salah satu ujian Allah… bukan sekadar menguji kesetiaan sisuami terhadap tanggungjawabnya yang dia terikat tetapi menguji keimanan isteri dan ketabahannya. Jagalah hati dan jangan diturutkan oleh nafsu amarah yang bergelodak. Boleh jadi ALLAH akan menggantikan isteri yang lebih baik sekiranya kegagalan untuk  mengawal diri sendiri.

“….akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, (meliputi) yang janda dan yang anak dara.” (Surah At-Tahrim: 5)

Usaha untuk mendekatkan diri pada Allah dan jangan putus berdoa untuk kesejahteraan rumahtangga… perlu pupuk kesetiaan dan tolak ansur antara satu sama lain. Tidak perlulah untuk mengupah penyiasat persendirian… yakinlah ALLAH MAHA MELIHAT setiap pergerakan dan perbuatan hamba-hambanya…

Moga diri ini juga para sekaumku akan sentiasa berada dalam landasan agama yang sebenar… ameennn…

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahkannya. “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya….” (Surah Al-Baqarah: 286)

wAllahua’lam…

Solat Dhuha hindari kepapaan

Oleh Zuarida Mohyin

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (al-Dhariyat: 56)

Allah s.w.t. Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dia tidak menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia dan tiada manfaatnya. Malah Allah yang Maha Bijaksana tidak membiarkan mereka dalam keadaan terkapai-kapai tanpa pedoman dan panduan, terbiar tanpa pengisian dan amalan.

Bahkan dengan rahmat dan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada manusia, Allah s.w.t. dan Rasul-Nya menunjukkan jalan-jalan ibadat dan ketaatan, begitu juga pintu-pintu kebaikan dan kebajikan untuk diamalkan sesuai dengan falsafah sebenar penciptaan jin dan manusia seperti ayat di atas. Salah satu ibadat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat Dhuha.

Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria menjelaskan, solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang lembing atau galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

“Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

“Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah dijadikan amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga supaya aku mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur,” kata Nidzamuddin dalam temu bual baru-baru ini.

Kelebihan

Menjelaskan kelebihan mereka yang mengamalkan solat ini, kata Nidzamuddin, setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.

Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha,” kata Nidzamuddin.

Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Akui Nidzamuddin, kedua-dua perkara tersebut memang ada kedudukan dan kepentingannya masing-masing. Pokoknya cara seseorang itu mengendalikannya mestilah seimbang dan saksama antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi.

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama, sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya mengambil masa empat hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia dibudayakan.

Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh Aishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang sunat Dhuha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.” (Riwayat Muslim).

Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana ia tidak memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama dan penting.

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Bilangan rakaat

Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat sahaja dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat juga pendapat sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani.” (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam) seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Imam al-Tabarani)

Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Tegasnya, bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat. (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi). Oleh itu, eloklah ia dijadikan sandaran bagi amalan kita. 

Solat Dhuha adalah KUNCI REZEKI

SEMBAHYANG DHUHA
Murahkan rezeki, menolak kepapaan

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :      “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud:“Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” ( Riwayat At-Thabarani )