Ku Takkan Berpaling

Ust Aqeel Hayy

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ku takkan berpaling
Dari agama Mu
Segala fitrah hadith dan sunnah
Ku pasrah kan dan bersujud
Hanya Kau nan satu
Tempat ku mengadu
Tiada daya , serta upaya
Ku pohonkan
Doa ku , Ya Allah

Tuhan ,
Berikan lah hidayah Mu
Oh Tuhan
Ku bersyukur atas rahmat Mu
Oh Tuhan
Limpahkan kurnia Mu
Kuatkan lah imanku
Luaskan fikiran ku
Lapangkan lah hati ku
Ampunilah dosa ku
Ya Allah Ya tuhan
Engkau Maha Tahu
Hanya Kau nan satu
Tempat ku mengadu
Tiada daya , serta upaya
Ku pohonkan
Doa ku , Ya Allah
Tuhan ,
Berikan lah hidayah Mu
Oh Tuhan
Ku bersyukur atas rahmat Mu
Oh Tuhan
Limpahkan kurnia Mu
Kuatkan lah imanku
Luaskan fikiran ku
Lapangkan lah hati ku
Ampunilah dosa ku
Ya Allah Ya tuhan
Engkau Maha Tahu

Ameeen , Rabbal A’alamin

 

Mencintai Rasulullah

Tazkirah Remaja: Amal sunnah, cinta Nabi

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

WALAUPUN Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meminta diraikan tarikh lahirnya tetapi 12 Rabiulawal rasanya tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja.

Jika hari lahir kita diingati dan diraikan, apa lagi tarikh lahir insan paling sempurna yang sangat banyak jasa kepada kita malah mencintainya termasuk dalam kesempurnaan iman, tentulah lebih patut diingati.

Bagaimana cara dan kaedah menyambutnya itu adalah persoalan kedua. Cuma yang penting ialah cara hidup dan perjuangan baginda mesti diingati.

Hari-hari biasa kita berselawat dan mendengar pengajaran sirah di kuliah yang diadakan di masjid-masjid.

Justeru, bagi mereka yang mencintai Nabi s.a.w, segala yang bersangkutan dengan junjungan yang mulia adalah besar dan sangat bererti.

Nabi Muhammad s.a.w sudah tiada lagi di dunia ini tetapi ajarannya masih bersama kita, bukan sahaja kita mesti menjalani kehidupan dengan Islam sebagai cara hidup tetapi mati pun dengan syariat yang dibawa baginda.

Orang kafir yang tidak ada kena mengena dengan Rasul terpaksa mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w. Buktinya ramai sarjana mereka mengungkapkan kehebatan itu di dalam buku dan tulisan mereka.

Sebenarnya kebesaran dan kehebatan Nabi tidak memerlukan sokongan mereka, tetapi mereka yang terpaksa memberikan pengiktirafan. Itulah kebenaran yang terpahat dalam pengakuan bertulis sepanjang sejarah.

Jika mereka yang tidak pernah merasai keberkatan dan kemanisan cinta Rasul pun boleh mengagungkan dan memuliakan Nabi, bagaimana kita yang sentiasa berselawat, mengadakan maulid dan berarak merasakan keberadaan ajaran nabi?

Inilah yang patut diselongkar dan dilakukan muhasabah sempena kedatangan tarikh 12 Rabiulawal. Maulid bukan sahaja hendak mengingatkan mengenai kelahiran Nabi tetapi melahirkan sunnah Nabi dalam kehidupan harian kita.

Pada zaman manusia kehilangan arah dan tiada panduan, tercari-cari cara hidup yang menyelamatkan namun kita yang mempunyai modul kehidupan yang lengkap dari A hingga Z, buat main-main pula, buat-buat tidak nampak.

Kita bimbang nikmat ini akan ditarik Allah. Sesiapa yang tidak solat nikmat solat ditarik Allah. Nabi suruh berjemaah di masjid tetapi kita tidak pedulikan azan, itu maknanya nikmat masjid sudah ditarik Allah.

Al-Quran ada di depan mata, tetapi kita tidak boleh baca dan tidak suka baca, maka itu maknanya nikmat al-Quran ditarik Allah.

Nabi Muhammad s.a.w dan ajarannya dipermainkan orang, tetapi kita buat tidak kisah saja. Itu maknanya nikmat cinta Nabi sudah ditarik.

Jika banyak sangat ditarik nanti kalau iman kita ditarik dan menjadi murtad kita tidak terasa apa-apa.

Marilah kita menambah maklumat dan ilmu mengenai insan paling dicintai Allah ini dengan menghadiri kuliah di masjid, membawa keluarga bersama. Patut juga kita membeli buku sirah nabi untuk dijadikan bahan rujukan kita sekeluarga.

Mulai sekarang tambahkanlah ‘angka’ selawat pada Nabi Muhammad s.a.w. Jika ada duit lebih berbelanjalah untuk menziarah kampung dan medan perjuangan Nabi serta Madinah yang diasaskan oleh junjungan Rasulullah iaitu dengan mengerjakan umrah dan haji.

Jangan lupa juga bersama alim ulama dan mereka yang memperjuangkan sunnah nabi. Pada hari kelahiran Nabi ini patut juga melihat kembali pengamalan kita terhadap sunnah yang wajib dan sunnah yang sunat.

Solat kita betul atau tidak seperti cara Nabi solat, mencari harta dan cara membelanjakannya menepati kehendak Islam atau tidak, malah keluarga kita dan anak-anak kita mampukah nanti memperjuangkan sunnah Nabi?

Begitu juga kuasa yang kita dapat sudahkah membantu untuk menghidupkan sunnah atau memalapkan sunnah.

Kita tidak sempat bersama Nabi tetapi kita cuma bersama sunnah Nabi. Harapan, semoga kita dapat bersama Nabi s.a.w di syurga nanti.

Gelora NAFSU SYAWAT sukar ditundukkan

Gelora asmara

Oleh Hadzlihady Hassan dan Salman Hamat
am@hmetro.com

KUALA LUMPUR: Memalukan apabila pelbagai aksi pasangan kekasih dalam keadaan mengghairahkan dapat disaksikan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di Pasar Seni di sini, yang kini mendapat jolokan ‘Pasar Asmara’ di kalangan remaja ibu kota.

Kebanyakan pelaku perbuatan terkutuk itu terdiri remaja Melayu yang rata-ratanya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah tanpa segan silu mempertontonkan aksi berahi mereka.

Golongan terbabit mungkin tidak menyedari aksi panas mereka ‘diintip’ 128 CCTV yang dipasang di beberapa lokasi strategik dalam bangunan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing itu.

Petugas bahagian keselamatan Pasar Seni yang memantau CCTV tidak mampu mengambil tindakan.

Apa yang petugas itu lakukan ialah menahan mereka sebelum memberi nasihat dan menyerahkan kepada ibu bapa masing-masing yang dipanggil ke situ.

Sumber bahagian berkenaan berkata, gelagat jijik itu dikesali, apatah lagi sebahagian besar remaja yang terbabit berbangsa Melayu dan paling menyedihkan ada di kalangan gadis bertudung labuh dan berlagak alim.

“Apabila ditanya mengapa mereka melakukan perbuatan terkutuk itu, ramai yang memberi alasan tidak tahan dan terdorong rangsangan nafsu sebagai punca memilih berasmara di tepi tangga dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, tinjauan Harian Metro mendapati, faktor kawasan Pasar Seni yang agak sunyi dan jarang digunakan pengunjung menjadi sebab utama tangga menjadi pilihan mereka melampiaskan nafsu.

Ada segelintir pasangan pula sanggup menjadikan kawasan bersebelahan surau sebagai tempat melakukan maksiat.

Sesetengah pasangan pelajar turut mengaku menipu ibu bapa dengan menjadikan aktiviti sekolah pada waktu petang sebagai alasan keluar rumah.

Bagaimanapun, kepercayaan itu disalahgunakan apabila mereka sebaliknya keluar berfoya-foya dengan pasangan masing-masing sebelum melencong ke sudut sunyi di bangunan Pasar Seni untuk memuaskan nafsu.

Malah, sumber itu berkata, dalam satu kes, bapa seorang remaja perempuan yang ditahan melakukan aksi jijik dengan pasangannya bertindak menampar anak gadisnya kerana terlalu marah.

Ada juga ibu bapa terpaksa datang ratusan kilometer dari negeri di utara semata-mata mahu ‘menjamin’ anak mereka.

Kata sumber itu, pihak keselamatan Pasar Seni terpaksa mengambil tindakan dengan memanggil ibu bapa datang ke Pasar Seni melihat rakaman CCTV yang memaparkan aksi ghairah yang dilakukan anak mereka.

“Ibu bapa terpaksa dipanggil kerana sebelum ini, ada yang tidak mempercayai anak mereka sanggup melakukan perbuatan keji itu.

“Kami akan menunjukkan rakaman CCTV kepada mereka jika ada yang tidak mempercayainya,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu bukan bertujuan memalukan sesiapa, tetapi ibu bapa perlu dipanggil supaya mereka dapat menasihati dan melihat sendiri apa yang dilakukan anak mereka.   

* Coretanku…

 Manusia itu hakikatnya dicipta dengan kelemahan, tetapi bukan bermakna dengan kelemahan itu kita jadikan ia sebagai tiket untuk berbuat sesuka hati tanpa mengira HARAM dan HALAL… Dosa dan pahala sudah tidak dapat dibezakan… masalahnya bukan hati tidak tahu maksiat yang dilakukan itu adalah dosa tetapi nafsu terlalu susah dijinakkan, terlalu sukar untuk ditundukkan dan terlalu payah untuk ditolak…  inilah gambaran kerasnya hati….

Hadith Rasulullah bermaksud :Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam. ” (Hadith Riwayat Ibn Majah) 

Bila hati sudah terlalu kotor dengan maksiat tanpa taubat, ia tidak akan mengakui sesuatu dosa itu sehinggakan dosa besar akan dianggap dosa kecil dan tidak bawa kesan kemudaratan terhadap diri. Kebenaran tidak akan diterima, tetapi kepuasan nafsu syawat yang akan dicari terus dicari sehingga betul-betul puas…

Firman Allah yang bermaksud :Sebenarnya! ( Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya ) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran ( dosa ), dengan sebab ( perbuatan kufur dan maksiat ) yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Muthaffifin : 14) 

Sudah tidak ada istilah ‘tudung’ dan iman jika gelodak nafsu sudah diparas paling atas dari kewarasan akal fikiran ….  kuatnya pengaruh syawat… jika kita tewas, kita akan jadi HAMBA syawat… yang sentiasa meminta untuk dipenuhi… dimana ilahi Rabbi dalam hati kita??? cuba tanya diri sendiri… pasti ada jawapannya…

Allah berfirman yang bermaksud :“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqara: 74) 

Persoalannya, setakat mana syawat itu akan PUAS?? bukankah syawat itu sentiasa kehausan, rakus dan gelojoh… ia tidak akan puas dan tidak ada titik berakhir kecuali jika malaikat maut datang menjemput… inilah bahayanya nafsu syawat dan jika tidak dididik dengan betul, neraka Allah dapat mendidiknya…  

Allah berfirman yang bermaksud:“Dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak, Serta naungan dari asap hitam, Yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan). Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar.” (Surah Al-Waqiah: 41-46) 

Kembalilah kepada Rabb pencipta kita….destinasi terakhir kelak penuh dengan keperitan, penderitaan dan siksa yang sangat sakit dan kita tidak mampu untuk menghadapinya. Tinggalkan kemungkaran dan kembali ke jalan Allah… jalan yang menjanjikan nikmat yang cukup banyak dan menyenangkan….   

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengatahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Surah Ali’ Imran: 135) 

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang jua menerima taubat… ini cukup jelas dalam firmanNYA:

“Tuhanmu sudah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang, (iaitu) barang siapa yang berbuat kezaliman di antara kamu lantaran kejahilan kemudian dia bertaubat selepas mengerjakannya dan mengadakan pembaikan, maka sesungguhnya Allah  Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am, ayat 54) 

Sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah  sangat gembira dengan taubat hamba-Nya daripada gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya di sebuah padang yang tandus kemudian dia mendapatkannya kembali unta itu.” (Hadis Mutafaq alaihi) 

Semua keputusan berada didalam tangan kita dan kitalah yang mencorakkan hidup kita sama ada mahu berhijrah atau masih ingin kekal dalam kejahilan dan kesesatan… moga ar-Rahman sentiasa memberi peringatan kepada kita terutamanya diri ini agar tidak keluar dari landasan agama… Ya Allah, selamatkan kami didunia dan akhirat… ameennn.. 

Basahi wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, basahi lidahmu dengan zikrullah, didik hatimu takutkan ilahi Rabbi lantaran dosa-dosa kejahilanmu terhadapNYA dengan taubat NASUHA…

           

Jom ikut sunah nabi

BERSYUKUR kehadrat Allah s.w.t. kerana kita masih diberi peluang untuk sama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1429H. Majlis sambutan ini diadakan di pelbagai peringkat iaitu dari peringkat kampung hinggalah ke peringkat kebangsaan.

Kemeriahannya memang jelas kelihatan di seluruh pelosok negara. Selawat dan salam kepada junjungan besar pada hari ini begitu mempesonakan. Pelbagai lagu direka untuk dipersembahkan kepada awam.

Rata-rata kebanyakan daripada kita begitu bersemangat sekali untuk mengikuti contoh tauladan yang terbaik yang telah ditunjukkan Baginda.

Kalau kita kira bilangan sunah Nabi memang tak terkira banyaknya. Bayangkanlah, apa sahaja yang telah dilakukan Baginda dianggap sunah. Cara Rasulullah bercakap, makan, minum, senyum, penampilan dan lain-lain dianggap sebagai sunah.

Dalam hal ini, satu sunah Nabi yang ingin dibicarakan ialah mempraktikkan bahasa Arab dan menguasainya. Ini berlandaskan kepada kata-kata Nabi, “Belajarlah Bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”.

 

Ada juga di kalangan kita yang tertanya-tanya: “Siapa yang sepatutnya perlu belajar bahasa Arab?” Seterusnya satu lagi soalan iaitu “Siapa pula yang sepatutnya perlu menguasai bahasa Arab?”

Berikut dinyatakan empat golongan utama yang perlu belajar dan seterusnya menguasai bahasa antarabangsa yang sangat penting ini.

Pertama, orang yang mengaku dirinya beragama Islam.

Ini kerana pedoman utama umat Islam ialah al-Quran dan hadis Nabi. Kedua-duanya dalam bahasa Arab. Bagaimana seseorang itu boleh memahami Islam dengan fahaman yang paling tepat kalau tidak berdasarkan sumber yang asal? Ada orang kata, “Saya sayang Nabi, saya cinta pada Rasul”. Tetapi bagaimana beliau boleh mengaku sedemikian rupa sedangkan dia tidak berusaha mempelajari apa yang dituturkan oleh Nabi.

Pelik, tetapi benar! Itulah kenyataan yang perlu kita terima dewasa ini. Kebanyakan kita masih lagi belum dapat memahami apa yang dibaca semasa membaca al-Quran. Walaupun seseorang itu mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi belum pasti dia juga mampu memahami apa yang terkandung di dalamnya.

Kedua, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama yang berfikiran komersial, korporat dan ahli perniagaan.

Tahukah kita, terdapat 23 negara Arab yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Daripada jumlah tersebut terdapat lebih tujuh negara Arab yang kaya raya dengan sumber alam yang menawarkan banyak projek mega.

Baru-baru ini, gabungan beberapa syarikat di Malaysia telah berjaya mendapat tender bernilai lebih RM3 bilion di Arab Saudi. Untuk itu, kebolehan komunikasi dalam bahasa Arab yang tinggi amat diperlukan untuk meyakinkan pihak-pihak berkenaan.

Apabila kita berkunjung ke negara-negara Arab tersebut kita masih boleh berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Itu memang tidak dapat dinafikan. Persoalannya, sejauh mana kita dapat meyakinkan dan dapat menarik minat mereka?

Kita juga tertanya-tanya, kenapa barangan Malaysia masih tidak dapat menembusi pasaran negara-negara Arab secara maksima? Kenapa nilai dagangan dengan negara-negara tersebut masih rendah? Sedangkan Malaysia dan negara-negara Arab tersebut banyak persamaannya. Semua 23 negara Arab tersebut (kecuali Lebanon) menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Salah satu faktornya ialah kebanyakan golongan korporat dan profesional tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab yang boleh menarik minat pelanggan berbangsa Arab. Ini kerana, walaupun mereka masih boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi untuk menawan hati, maka penggunaan bahasa Arab sangat diperlukan.

Ketiga, golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, akauntan, jurutera dan lain-lain.

Ini kerana al-Quran adalah sumber rujukan ilmu pengetahuan. Adalah amat rugi sekali jika golongan profesional ini tidak mampu merujuk al-Quran untuk meningkatkan kajian dalam bidang yang diceburi. Terlalu jauh perbezaannya antara profesional yang boleh mengadaptasi al-Quran dalam bidang berkaitan dengan rakannya yang hanya bergantung kepada terjemahan sahaja.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan tentang sesuatu secara saintifik. Dalam ruangan ringkas ini dinyatakan beberapa contoh tema berkaitan keprofesionalisme untuk direnungkan, dikaji, diamalkan dan dijadikan iktibar kepada generasi akan datang.

Contohnya, soal tentang bilangan perkataan di dalam al-Quran. Bilangan perkataan di dalam al-Quran adalah signifikan. Setiap baris, huruf, perkataan, jenis ayat sama ada panjang atau pendek adalah bermakna.

Keempat, golongan akademik yang menitik beratkan soal sumber rujukan.

Nah begitu jelas sekali bahawa rujukan utama ialah al-Quran dan hadis. Kedua-duanya dalam bahasa Arab. Sehubungan itu, untuk mendapatkan nilai kajian yang lebih mutu akademiknya, ahli akademik sepatutnya menguasai bahasa Arab.

Untuk itu, berikut dikemukakan beberapa cadangan yang mungkin perlu direnungkan bersama. Antaranya ialah; golongan profesional dan akademik seperti pakar sains, jurutera, saintis dan lain-lain hendaklah menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama meningkatkan karier mereka dalam bidang sains.

Selain itu, oleh kerana hendak memahami al-Quran memerlukan kemahiran bahasa Arab. Guru sains, pakar sains dan saintis perlu belajar bahasa Arab mengikut kaedah yang sesuai bagi mereka. Seterusnya untuk jangka pendek, mereka perlu berganding bahu dengan ulama yang memahami al-Quran untuk mencipta kegemilangan dalam bidang sains dan teknologi.

Jadi ayuh kita belajar bahasa Arab dan menguasainya sehingga kita boleh menggunakan al-Quran untuk meningkatkan prestasi dalam bidang yang kita ceburi. Semua yang kita lakukan ini akhirnya akan menuju ke matlamat asal kita iaitu untuk memperoleh keredaan Allah. Jadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini memberi makna yang mendalam kepada kita semua.

Wahai ALLAH… Terimalah kepulanganku… hambaMU…

kubur1.jpg

 

Biarpun kita menjadi tuan, kita tetap bertuhan..

Biarpun kita mereka-reka, kita tetap ciptaan..

Apalah kita menjadi tuan, sedangkan kita tetap hamba..

Apalah guna mengangkat kepala, sedangkan sujud tempatnya..

 

Lihatlah ke dalam diri, peperangan ada di sana..

Tempat kita di mana? Kalau bukan di situ..

Gelap dan sempit, dan fitnahnya teramat dahsyat..

Perjalanan yang jauh terasa perit..

Berliku-liku dengan wajah yang legam..

Siapakah yang mampu menolong?

Kalau bukan kamu yang berasa kerdil..

Lalu memencilkan jiwa dalam pandangan-NYA

Lalu tunduk sujud mewalangkan diri..

Lalu pulang ke pangkuan-NYA..

 

Kerdillah diri apabila kita pulang ke sana..

Bergelumang tanah di atasnya subur bunga-bunga..

Wahai ALLAH… Terimalah kepulanganku..hambaMU..

  

sabda Rasulullah s.a.w: Bacakanlah Surah Yasiin atas orang yang mati di antara kamu.

 

Hadith Riwayat Abu Daud, Nasa-i, Ahmad dan Ibnu Hibban: membacakan Surah Yasiin itu akan memudahkan roh keluar dari jasad. Sebab mati itu didahului dengan kesulitan dan sakarat  

(Sajak Petikan Novel ‘Ranggau’)

Rahsia khusyuk dalam solat

muslim20prayer3.jpg

 

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimankah caranya tuan solat?” Hatim berkata : “Apabila masuk waktu bersolat saya berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”
Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air.
Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-


1.    Bertaubat
2.    menyesali dosa yang dilakukan
3.    tidak tergila-gilakan dunia
4.    tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)
5.    tinggalkan sifat berbangga
6.    tinggalkan sifat khianat dan menipu
7.    meninggalkan sifat dengki


Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian saya pergi ke masjid. saya kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. saya berdiri dengan penuh kewaspadaan dan saya bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan saya mula bayangkan pula bahawa saya seolah-olah berdiri di atas titian “Sirratul Mustaqim” dan saya menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik.
 

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian saya ruku’ dan sujud dengan tawadhu’, saya bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya solat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.”

 

 

Solat, ubat mujarab pengusir kesedihan

muslimprayer2.jpg

Oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni 

Firman Allah sw.t. di dalam surah al-Baqarah, ayat 153:

Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat…”

Apabila ketakutan meliputi anda, kesedihan menghimpit anda, dan kerisauan mencekik anda, maka bersegeralah anda mendirikan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya solat itu – dengan izin Allah – boleh menjaga anda dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit anda selama ini.

Ketika Rasulullah s.a.w. dirundung masalah, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabah r.a.:

Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat.” (al-Hadith)

Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah s.a.w.

Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa orang tokoh. Dan umumnya, apabila saat mereka dihimpit dengan persoalan hidup dan menghadapi banyak dugaan, maka mereka segera memohon pertolongan Allah dengan mendirikan solat dengan khusyu’. Begitulah cara mereka mencari jalan keluar, sehinggalah kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.

Solat khauf dilaksanakan pada saat-saat genting, yakni saat kematian terjadi di mana-mana dan banyak nyawa melayang, akibat peperangan. Apabila keadaan semakin memburuk maka solat akan memperbaikinya. Ini merupakan syarat bahawa sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyu’.

Setiap generasi umat manusia yang sedang menderita berbagai penyakit kejiwaan saat ini, hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan dari Ilahi. Dengan melakukan sedemikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka jelaslah bahawa seseorang itu tidak memiliki sebarang kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengan mendirikan solat.

Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar – jika kita mahu berfikir – ialah perlaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari semalam, yang merupakan penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Allah. Di samping itu, solat lima waktu juga merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan berbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan takwa dalam relung hati, sehingga hati redha dengan apa jua ketentuan Allah.

Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain, dan dari kesengsaraan yang satu kepada yang lain.

“…Maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka.” (Muhammad : 8.)