Petunjuk mimpi bukan penentu calon suami

SAYA sering bermimpi berjumpa lelaki yang saya kenali. Dalam mimpi itu dia mengusap ubun-ubun saya, menasihati supaya jangan bersedih, bersama saya bersolat jemaah dan membetulkan cara perlakuan solat seperti rukuk dan tomakninah. Perkara itu datang berulang-ulang. Paling membingungkan ialah pada Ramadan lalu, saya bermimpi dia mendatangi saya seolah-olah saya dan dia baru saja diijabkabulkan. Untuk pengetahuan, saya tidak bermimpi pada tengah malam tetapi mimpi itu datang selepas saya melakukan solat hajat dan istikharah (kerana dia adalah harapan saya untuk dijadikan suami). Harapan ini terbina pun kerana mimpi berkenaan. Pun begitu, saya dan dia tidak menjalinkan apa-apa hubungan. Ini sudah berlanjutan sejak Januari 2007. Semoga tuan dapat meleraikan kekusutan saya.

Sang Pemimpi,

Johor Baru

SEBELUM saya ulas dan memberi pandangan, sebaiknya kita perjelaskan kedudukan mimpi dalam Islam. Kita sering mendengar mimpi adalah permainan tidur. Ini adalah penilaian umum terhadap mimpi orang awam (orang biasa seperti saya dan anda).

Dalam Islam, kita berpegang dengan satu prinsip yang jelas iaitu mimpi bukan hujah. Maksudnya kita tidak boleh menjadikan mimpi sebagai hujah atau fakta untuk menegakkan suatu pendirian atau pendapat.

Contohnya jika kita bermimpi bahawa ada orang salih memberitahu mengenai suatu perkara, tidak ada kewajipan untuk kita mengikut saranannya, apatah lagi jika saranan itu bertentangan dengan syariat Islam.

Berlawanan dengan mimpi orang awam, mimpi nabi dan Rasul adalah kebenaran yang tidak boleh dipersoal. Ini kerana nabi dan Rasul terpelihara daripada godaan syaitan dan bisikan hawa nafsu.

Juga ada di antara nabi yang diberi kemampuan untuk mentafsirkan mimpi seperti Nabi Yusuf. Mimpi orang salih boleh dianggap sebagai ilham yang dianugerahkan Allah. Namun seperti mimpi orang awam, ia tetap tidak boleh dijadikan sandaran dan hujah untuk menetapkan sesuatu perkara.

Umat Islam tetap perlu kembali kepada al-Quran dan hadis serta ijtihad ulama berdasarkan istinbat hukum dan hujah untuk memutuskan urusan umat Islam. Mimpi sama sekali tidak boleh menyokong satu pendapat atau sebaliknya kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan kerana tidak ada neraca yang boleh diguna pakai dalam menentukan isyarat terkandung dalam mimpi seseorang.

Bagi manusia biasa seperti kita, mimpi ada kalanya boleh dianggap sebagai petunjuk atau pertolongan Allah. Banyak perkara yang harus di dunia ini membabitkan pemilihan sama ada sesuatu itu baik atau buruk hanya Allah yang mempunyai pengetahuan lengkap mengenainya.

Ayat al-Quran ada yang memberitahu kita mengenai perkara yang tidak kita sukai sedangkan ia baik buat kita dan cenderung kepada sesuatu yang disukai tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kita.

Dalam soal memilih pasangan, kita diingatkan Allah, antara lain supaya tidak mengahwini wanita musyrik sungguhpun perasaan cenderung kepadanya. Sebab itu kita dianjurkan berdoa seperti doa pemuda al-Kahfi yang tertidur dalam gua yang diceritakan dalam surah Al Kahfi.

Mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami di sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami.”

Berbalik kepada isu ditanyakan apakah mimpi boleh dijadikan sandaran? Seperti dijelaskan, mimpi boleh menjadi isyarat atau petunjuk. Sering kali apabila kita keliru dan tidak pasti keputusan apakah patut diambil, kita memohon petunjuk Allah supaya memberikan jawapan atau penyelesaian.

Ia boleh datang dalam bentuk gerak hati, mimpi atau petanda tertentu yang menyebabkan hati kita berasa tenteram terhadap sesuatu keputusan. Rasulullah SAW ada menyebut dalam hadis yang bermaksud: “Jika kamu tidak pasti, tanyakanlah hatimu.”

Ini yang sering kali disebut ‘tepuk dada, tanya selera’. Tetapi sebelum tanya selera kita, kena tepuk dada tanya iman. Jika selera tadi tidak bertentangan dengan syariat, maka teruskanlah. Letakkan azam dan bertawakal seperti firman Allah yang bermaksud: “Apabila kamu sudah berazam bertawakallah kepada Allah.”

Dalam soal memilih pasangan, Islam memberi panduan iaitu wanita dikahwini kerana empat, harta, kecantikan, keturunan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya beruntung kedua-dua tanganmu.

Jelas dalam hadis itu kita perlu
memilih pasangan yang dipastikan pegangan agamanya mantap. Yang selain daripada itu adalah nilai tambah atau bonus. Kecantikan, keturunan dan harta boleh memusnahkan dan mendatangkan penderitaan berpanjangan jika tidak ada pegangan agama kukuh.

Jika dari sudut zahirnya lelaki itu taat beragama dan berpegang teguh dengan Islam, ia adalah pilihan yang baik. Namun seperti digariskan, hanya Allah yang tahu sama ada pilihan kita baik atau sebaliknya.

Di sinilah kita memohon petunjuk dengan melakukan solat istikharah dan bermunajat kepada Allah dengan hati ikhlas untuk menjaga agama dan menjunjung syariat Islam dalam kehidupan mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk dalam bentuk gerak hati, mimpi atau kecenderungan tertentu.

Namun, perlu berhati-hati dengan syaitan kerana ia sentiasa berusaha menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu di hati kita. Oleh itu sentiasalah memohon perlindungan dari Allah daripada syaitan yang direjam supaya gerak hati kita adalah petunjuk dan isyarat dari Allah.

Untuk memastikan mendapat petunjuk Allah hendaklah kita menjaga hubungan dan syariat Islam. Seperti dijelaskan dalam persoalan ini, saudari tidak pernah menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki berkenaan.

Teruskanlah memelihara adab dan akhlak serta batas pergaulan digariskan Islam. Jangan terikut-ikut aliran hari ini di mana umat Islam terjebak dalam budaya memadu cinta seperti orang Barat. Keluar berpasangan sedangkan mereka tidak ada ikatan sah sebagai suami isteri.

Di samping itu, hasrat murni saudari perlu disampaikan mengikut saluran yang betul. Sampaikan hajat dan harapan saudari kepada pihak ketiga yang boleh dipercayai, selalunya pasangan suami isteri yang amanah untuk menyampaikan kepada lelaki berkenaan.

Jangan bimbang dikata orang ‘perigi mencari timba’. Dalam Islam tiada halangan untuk seorang wanita menyampaikan hasratnya kepada lelaki yang baik untuk menjadi calon suami, seperti Saidatina Khadijah yang menghantar wakil menyampaikan hasratnya kepada Rasulullah SAW.

Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM.

 

 

Isteri Nusyuz

Dijawab oleh Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden PGSM

 

Soalan

SAYA baru mendirikan rumah tangga hampir setahun. Saya dan isteri bekerja serta tinggal di Johor Bahru. Beberapa bulan lalu saya ditukarkan ke Shah Alam dan kami tinggal berasingan. Isteri saya masih bertugas di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa bersama kawannya. Masalahnya, saya beberapa kali mengajaknya pindah dan berhenti kerja supaya dapat mengikut saya ke Shah Alam tetapi beliau enggan. Alasan yang diberi, sukar mencari kerja baru di Lembah Klang, ingin mempunyai pendapatan sendiri kerana ingin membantu keluarganya di kampung dan bosan duduk di rumah tanpa kerjaya. Untuk pengetahuan tuan, saya membeli rumah dan menyediakan segala keperluan selain gaji yang mencukupi untuk menanggung kami sekeluarga. Buat masa ini isteri saya sanggup berulang alik setiap minggu dari Johor Bahru ke Shah Alam. Isnin hingga Jumaat saya tinggal bersendirian dan makan minum terpaksa dimasak atau beli di warung. Adakah tindakan isteri enggan mengikuti saya ke Shah Alam dikira nusyuz? Jika isteri nusyuz, adakah wajib saya memberi beliau nafkah? Apa yang perlu saya lakukan?

 

SUAMI RESAH,
Shah Alam

Jawapan:

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.”

 

Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam.

Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan. Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama. Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

 

Doa mohon zuriat keturunan yang baik (WARISAN TERBAIK)

          1)         “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) do’a permohonan”.

( Surah Ali’ Imran: 38 )

 

 

          2)         “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim: 40)

 

 

          3)         “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-furqan: 74)

 

 

 

* Coretanku

 

Kepentingan Doa

 

Dunia adalah negeri perhiasan dan kesenangan dalam keinginan dan kefanaan. orang yang berangan-angan pasti akan gagal. Kecuali orang-orang yang soleh dan sentiasa berdoa kepada Rabb supaya diberikan KEBAIKKAN dunia dengn keselesaan hidup, kiranya dapat menjalankan segala kewajipan dengan baik dan sempurna. Mereka juga sentiasa memohon kepada Allah SWT rezeki yang baik dan keturunan yang baik-baik. Doa (1) adalah doa para nabi untuk memohon zuriat keturunan yang baik sebagai penyambung warisan terbaik.

 

Seseorang hamba yang akan naik darjatnya di syurga setelah dia wafat (meninggal) disebabkan oleh DOA anaknya yang soleh dan solehah. Doa yang baik adalah apa yang diajarkan oleh Allah SWT kepada kita seperti disebutkan di dalam Quran (surah Ai-isra: 24) “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

 

Doa (2) merupakan satu permohonan kepada Rabb yang bagi saya adalah penting sebab doa tersebut bukan saja minta kepada Allah agar memberi kekuatan kepada diri kita tetap mendirikan solat, malah untuk zuriat kita. Zuriat itulah pewaris, moga doa amalan tersebut akan menjadikan pewaris kita adalah warisan yang terbaik di dunia dan akhirat. Doa tersebut juga adalah penting sebab solat merupakan PENGHULU segala AMALAN… jika solat kita baik, maka baiklah semua amalan kita tetapi jika solat kita tidak berkualiti, maka amalan yang lain juga tidak berkualiti.  Moga dengan amalan doa ini seharian, akan menjadikan kita dan zuriat kita tetap mendirikan solat…. ameennn…

 

Doa (3) ini adalah doa yang telah diketahui ramai akan kebaikkannya khususnya untuk pasangan dan zuriat kita iaitu memohon agar pasangan juga zuriat kita menjadi penyejuk hati kita juga ikutan orang-orang yang bertakwa… pasangan mana yang tidak mahu keharmonian dan ketenangan dalam rumahtangga masing-masing… dengan amalan doa tersebut  moga Allah memberikan pasangan dan zuriat penyejuk hati kita dunia dan akhirat…

 

“Apabila mati manusia maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yg dimanfaatkan orang dan anak yang soleh/solehah yang mendoakannya” (HR Muslim)

 

Sama-sama mendidik zuriat kita walaupun terpaksa bersusah payah disepanjang mendidik mereka… pasti berbaloi juga usaha kita… dua kali Allah SWT nyatakan dalam Surah Al-Insyirah iaitu: “tiap-tiap kesukaran itu akan ada kemudahan (kebaikkan)” … moga kita mendapat rahmat dariNYA selalu…

 

ameennn yaa Rabbal alamin…

 

Budaya Berjabat Tangan Dengan Bukan Mahram

 

 

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

 

 

Orang Melayu terkenal dengan masyarakat yang mementingkan adab, sopan-santun dan budi-pekerti yang mulia. Antara adab yang sentiasa dipraktikkan dalam masyarakat ialah bersalam atau berjabat tangan di antara satu sama lain apabila bertemu. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang amat baik kerana ia dapat mengeratkan silaturahim dan persaudaraan di dalam masyarakat.

 

Namun akhir-akhir ini didapati bahawa bersalam atau berjabat tangan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira batas hukum syarak, sehinggakan gejala bersalam atau berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram menjadi semakin berleluasa dan semakin diterima di dalam masyarakat. Apatah lagi apabila bertemu dengan pemimpin, maka bukan sekadar berjabat tangan tetapi ada yang sanggup mencium tangan pemimpin tersebut sedangkan tidak ada ikatan mahram di antara mereka!.

 

Fenomena seumpama ini sekiranya dibiarkan, ia akan menjadi semakin parah yang akhirnya bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malahan akan turut menghakis nilai-nilai murni dan adab tatasusila yang diamalkan dalam masyarakat Melayu selama ini. Walaupun para ulama’ mengharuskan seseorang lelaki berjabat tangan dengan wanita yang sudah tua yang sudah tidak ada lagi keinginan syahwat (rujuk dalam Fatawa Mu’asirah oleh Yusuf al-Qaradawi), namun ia janganlah dijadikan sebagai satu alasan untuk sewenang-wenangnya membudayakan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan.

 

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Nur ayat 30-31 bermaksud: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (merendahkan) pandangan mereka (daripada memandang wanita yang bukan mahram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat (merendahkan) pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka…..”.

 

Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan agar orang lelaki dan perempuan agar menjaga dan merendahkan pandangan mereka daripada melihat sesuatu yang diharamkan seperti melihat orang yang bukan mahram sehinggakan boleh menimbulkan syahwat. Oleh itu, ajaran Islam mengharamkan seseorang lelaki melihat kepada wanita yang bukan isterinya atau wanita yang bukan mahramnya. Hal ini tidak pula bermaksud kita dikehendaki memejamkan mata ketika bertemu dengan orang yang bukan mahram, tetapi apa yang dimaksudkan ialah kita dilarang melihat berulang-kali terhadap seseorang yang bukan mahram kerana ia boleh menimbulkan syahwat dan fitnah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad, nabi saw telah bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud: ”Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat)”.

 

Sekiranya memandang kepada wanita yang bukan mahram pun dilarang dalam hukum syara’, sudah tentu bersalam dan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram diharamkan. Cubalah kita fikirkan, manakah yang lebih menimbulkan syahwat dan fitnah, memandang dari jauh atau bersalaman dan berjabat tangan yang melibatkan persentuhan kulit dengan kulit? Tepuk dada, tanya iman!.

 

Selain itu, antara hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ yang mengharamkan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah nabi saw tidak berjabat tangan dengan wanita ketika melakukan bai’ah sedangkan dalam masa yang sama nabi saw berjabat tangan dengan lelaki ketika bai’ah dilakukan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan bahawa, “Daripada Abdullah bin Amr’ ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam bai’ah”. Justeru, sama-samalah kita murnikan kembali adab masyarakat Melayu yang berteraskan akhlak Islam yang murni.

 

Solat Cara Rasulullah (Siri 2)

Akhlak Orang Yang Mendirikan Solat


Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran November 2007)

Ajaran agama yang paling penting untuk dipelajari dan diajarkan kepada orang lain ialah solat. Hal itu antara lain pernah ditegaskan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadis sahih, “Aku didatangi Jibril a.s pada awal-awal turunnya wahyu kepada ku. Ia mengajarku wuduk dan solat.”

Atas dasar itulah, maka setiap orang yang baru memeluk Islam atau bagi Muslim yang pernah terlanjur berbuat dosa diwajibkan bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam dan lebih khusus lagi dalam hal solat. Mereka hendaklah mengetahui ajaran solat sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah saw yang juga diikuti oleh para sahabat baginda. Rasulullah saw berpesan, “Tunaikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.”

Solat mendidik manusia untuk menjadi orang yang prihatin terhadap akhlaknya. Setiap Muslim yang selalu mendirikan solat akan menjadi manusia yang paling baik akhlaknya kerana ia merupakan perintah agama dan manifestasi daripada solat itu sendiri. Ketika dalam pergaulan sesama manusia, dia hendaklah berlemah lembut, penuh toleransi dan selalu tampil sebagai orang yang mempunyai sifat-sifat terpuji. Oleh yang demikian, ketika bergaul dengan orang lain dia bagaikan bunga mekar yang harum semerbak indah, lembut, penyayang serta tidak sombong.

Tidak perlu diragukan lagi keutamaan dan kemuliaan akhlak yang baik. Akhlak yang baik wajib dimiliki oleh setiap individu muslim yang mengaku sebagai Mukmin dan Muslim dan yang mengerjakan solat, baik lelaki mahu pun perempuan. Nabi Muhammad saw mendapat pujian dan sanjungan dari Allah SWT kerana mempunyai akhlak yang terpuji melalui firmanNya yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung’ (QS 68:4).

Mengenai kepentingan dan kemuliaan akhlak itu, Rasulullah saw banyak mengutarakannya kepada umat. Antaranya ialah sabda nabi yang bermaksud: “Kebanyakan yang memasukkan seseorang ke dalam syurga adalah ketakwaan kepada Allah dan akhlak yang baik.” Sayyidina Usamah r.a berkata, “Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah pemberian yang paling baik yang diberikan kepada manusia?’ Rasulullah menjawab, ‘Akhlak yang baik.’” Pada hadis lain disebutkan bahawa nabi bersabda yang bermaksud, “Aku diutus hanya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Kemudian Rasulullah saw menegaskan, “Sesuatu yang paling memberatkan timbangan kebaikan adalah akhlak yang baik.”

Rasulullah saw sendiri dengan penuh kerendahan hati dan penuh kesungguhan, selalu bermohon kepada Allah SWT supaya dihiasi dengan akhlak mulia dan terpuji. Dalam suatu doa contohnya, baginda berkata, “Ya Allah, baikkanlah badan ku dan akhlak ku.” Dan pada kesempatan lain baginda berdoa, “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang buruk dan mungkar.”

Sa’d bin Hisyam mengatakan, “Aku pernah datang kepada ‘A’isyah r.a, dan bertanya kepadanya tentang akhlak Rasulullah saw. Aisyah menjawab, ‘Tidakkah engkau (pernah) membaca Al-Quran?’ Aku menjawab, ‘Tentulah aku pernah.’ ‘Akhlak Rasulullah saw adalah Al-Quran,’ jawab ‘A’isyah r.a.”

Islam melarang perbuatan dan perilaku yang tidak baik; sama ada itu merupakan perbuatan buruk, mahupun perbuatan yang mungkar. Nabi muhammad saw bersabda kepada ‘A’isyah r.a., “Hendaklah engkau berlemah lembut dan jauhilah olehmu sikap kasar dan perkataan buruk.”

Pada kesempatan lain Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada setiap orang yang kasar, keras hati dan sombong, suka berteriak dengan keras di pasar, pandai dalam urusan keduniaan tetapi bodoh dalam urusan keakhiratan.” Dalam hadis lain Rasulullah saw menyatakan, “Sesungguhnya Allah SWT membenci orang yang suka melakukan perbuatan keji dan buruk akhlaknya.”

Termasuk dalam sifat-sifat yang menunjukkan keburukan akhlak seseorang ialah memusuhi seseorang yang beriman hanya kerana berbeza pendapat dalam sesuatu masalah; atau lebih tepatnya kerana berbeza mazhab dalam pemahaman cara solat ditunaikan oleh Rasulullah saw. Apa yang lebih malang lagi, ialah apabila dilontarkan dengan tuduhan bid’ah bagi orang yang berbeza dalam pandangan mazhab dalam menghuraikan solat yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Justeru, harus difahami bahawa perbezaan mazhab (sama ada aliran ulama’ Syafei, Hanafi, Maliki dan Hanbali) dalam menghuraikan cara solat yang dilakukan oleh Rasulullah adalah menunjukkan kepada keluasan ilmu dan memberi ruang kepada setiap individu muslim untuk mengkaji dengan lebih mendalam apa yang diajar oleh nabi saw. Akan tetapi amat malang sekali apabila terdapat mereka yang langsung menolak mazhab dengan alasan bahawa kita bukan dituntut untuk ikut mazhab tetapi kita dituntut untuk ikut nabi!

Memang kita dituntut untuk mengikuti tunjuk ajar Rasulullah saw dalam segala perkara. Namun, sesuatu yang perlu difahami juga bahawa bagaimanakah kita boleh mengikut nabi kalau bukan dengan susur galur yang betul? Apakah seseorang itu dengan mudah dapat memahami sesuatu nas agama sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis nabi sedangkan ilmu kosong di dada? Bukankah nabi saw memperjelaskan sesuatu urusan agama itu kepada para sahabat, dan kemudiannya para sahabat nabi pula mengajar orang yang selepasnya dari golongan tabien dan seterusnya lagi ilmu diperturunkan kepada kita melalui generasi para ulama’ salafussoleh.

Sehubungan dengan itu, wajar difahami bahawa mazhab merupakan antara susur galur ilmu sampai kepada kita melalui generasi para ulama. Tidak mungkin seseorang itu mendapat kefahaman yang betul dalam ilmu sekiranya menolak para ulama’ pewaris nabi, sebaliknya terus mengambil secara langsung daripada al-Quran dan hadis tanpa petunjuk. Firman Allah swt bermaksud: ‘Bertanyalah kepada orang yang berilmu (mengetahui) sekiranya kemu tidak mengetahui’.

Oleh itu, dalam kita membicarakan solat cara Rasulullah saw dalam siri-siri yang akan datang, kita tidak akan menolak pandangan dan tafsiran serta kefahaman ulama’ mazhab dalam menghuraikan hadis nabi saw agar kita dapat sama-sama menuju ke arah kefahaman yang benar dan sejati sebagaimana yang dikehendaki oleh junjungan Rasulullah saw.

Mengenal Diri

Oleh Ustaz Annuar Salleh

Mengenal diri merupakan sebahagian daripada aqidah Islam. Hanya al-Quran dan al-Sunnah menjadi rujukan tepat dalam mengenal diri.

Dalam al-Quran Allah SWT menjelaskan asal kejadian manusia, unsur-unsur yang membentuk diri manusia, tujuan manusia diciptakan misi dan visi mereka, perbezaan diri manusia dengan makhluk-makhluk lain, sejarah kejadian manusia, proses-proses pembentukan diri manusia, kelemahan-kelemahan yang ada di dalam diri manusia, punca-punca manusia menjadi baik dan jahat, kekuatan diri dan cara membinannya, musuh-musuh manusia, punca dan sebab manusia diturunkan ke dunia, sejarah perjuangan manusia sejak zaman permulaan manusia sehingga di waktu kewafatan utusan Allah terakhir s.a.w. dan kesudahan kehidupan manusia.

Apabila manusia tahu, faham dan yakin mengenai kedudukan dirinya yang bernama manusia, makhluk Allah, mukallaf dan muslim barulah mereka tahu apakah bentuk hubungannya dengan Allah Azza wa Jalla dan tahu bentuk hubungannya sesama makhluk yang lain. Siapakah yang menjadi hamba kepada siapa, siapakah yang berhak ditaati, dikasihi dan diutamakan.

Manusia yang mengenal diri akan tahu menilai kedudukan dirinya, kelemahan dan kekuatan yang ada padanya dan tahu cara untuk memperbaiki dirinya. Lantaran itu mereka akan memposisikan diri mereka sesuai dengan hakikat diri mereka sebagai manusia, makhluk, hamba dan mukallaf terhadap perintah Allah dan  berusaha melengkapkan diri dan berjuang merealisasikan objektif Allah mencipta mereka hidup di dunia fana ini.

Doa Keselamatan, elak BUNUH dan ROGOL

 

1) Ertinya : “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk yang jahat”

 

 

 

2) Ertinya : “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui”

 

 

 

 

* Coretanku

 

 

Zaman sekarang ni, banyak benda yang kita dengar setiap hari. Malah bunuh dan rogol sudah menjadi satu benda yang kebiasaan. Bukan peristiwa yang jarang-jarang berlaku sebaliknya setiap hari ada saja dekat dada-dada akhbar… bukan setakat bunuh dan rogol, kemalangan, rompak, ragut juga semakin hebat. Nyawa manusia bagaikan tidak berharga. Semakin risau tentang keselamatan diri kita sendiri. Anak-anak yang paling berat kita fikirkan tentang keselamatan mereka dengan hanya berbekalkan minda yang terlalu singkat akan mudah termakan pujuk rayu orang dewasa yang ‘mengumpan’….  Selamatkah kita,?? selamatkah anak-anak kita??  dan selamatkah ahli keluarga kita yang lain??

 

Sebagai perkongsian sedikit ilmu, saya berbesar hati mensyorkan doa-doa keselamatan untuk dijadikan amalan harian kita. Doa yang pendek dan mudah diamalkan setiap hari. Walaupun doa yang ringkas tetapi bagi saya ertinya cukup bermakna sebab kita sentiasa berada dibawah KALIMAH dan NAMA RABB kita Allah SWT… moga akan sentiasa dilindungi dan dipelihara olehNYA…. DIA lah sebaik-baik pemelihara…

 

 

 

Cara amalan

 

Ia kenalah berterusan (istiqamah). Sebelum keluar rumah, selepas baca doa keluar rumah  teruskan dengan bacaan doa (1) dan (2) dekat atas, sebaiknya di ulang sehingga 3 kali bacaan…. Bila tengah panaskan enjin kereta, kita isi masa terluang tuh  dengan membaca doa tersebut….  Yang paling penting, kita baca doa tersebut sebelum memulakan perjalanan.

 

 

 

Fadhilat Doa & Hadis

 

Sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa (1) tersebut maka ia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah ia kembali ke rumahnya semula.”

(Riwayat Muslim)

 

Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa (2) sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya”

(Riwayat Abu Daud, 4/323 ;   At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan)

 

 

 

Kepentingan

 

Malang tidak berbau! Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diri kita di sepanjang perjalanan sama ada selamat atau tidak, bertemu dengan orang baik atau orang jahat, sama ada menjadi mangsa ragut, bunuh atau rogol…. Sebelum keluar rumah, lihat dahulu pemakaian sama ada memenuhi tuntutan syarak dalam etika pemakaian agama atau tidak (khususnya wanita). Jika belum menepati, tukarlah dengan yang lebih sesuai… kemudian bacalah doa dekat atas… Tak guna baca apa-apa doa keselamatan sekiranya kita masih degil dan sambil lewa dengan hukum Allah… Tanya diri sendiri, adakah jaminan Allah sekiranya pakaian yang dipakai tuh kecil dan bukanlah saiz yang sesuai sehingga nak tarik dekat bawah dedah dekat atas, nak tarik dekat atas dedah pula dekat bawah. Sepatutnya baju adik,  tetapi kakak pula yang memakainya… malah ketat dan sendat sehingga tidak dapat bernafas secara normal dan tertonjol semua bentuk… Pakai tudung tetapi tayang dada dan leher…. ada juga yang langsung tidak memakai tudung. Pemakaian sebeginikah Allah SWT nak pelihara???

 

Fikir-fikirkan!… Jika berharap sangat pertolongan dan pemeliharaan serta perlindungan Allah  SWT setiap waktu, ubahlah cara pemakaian demi kebaikan diri. Tidak guna menadah tangan memohon doa kepada Rabb tetapi hukum syarak dalam agama tidak dijalankan dengan baik, soal pemakaian dan aurat tidak dijaga sebaiknya…  

 

 

 

  

 

 wAllahua’lam…