Taat Suami

 

Peguam Syarie Menulis:
Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KISAH segelintir wanita sudah berkahwin yang sanggup diusung lelaki lain untuk berhibur hingga ke bilik tidur yang didedahkan akhbar begitu mengejutkan. Malah, mereka sanggup bertukar pasangan antara satu sama lain, sentiasa terbuka menerima kenalan baru untuk dijadikan pasangan. Ini perkara serius yang tidak wajar dipandang ringan walaupun ia dikatakan sebagai kes terpencil. Walau apa alasan mereka seperti tidak puas atau tidak menerima nafkah batin daripada suami, perlakuan sedemikian bukan jalan singkat yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah. Menurut tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan isteri yang menjalin hubungan bersama lelaki lain tidak sepatutnya berlaku. Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja tidak bermoral, malah lebih teruk daripada nusyuz iaitu tidak menghormati atau ingkar kepada suami. Seorang isteri sewajarnya tidak memandang lelaki lain selain suaminya.

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri.

Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.
Mengenai tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, dapat dilihat di sini pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak terkeluar daripada landasan syarak. Nusyuz daripada sudut hukum syarak bermaksud derhaka iaitu bermaksud isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami seperti diwajibkan Allah. Firman Allah bermaksud:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz). Hukum nusyuz bagi seorang isteri adalah haram. Ia adalah satu dosa besar bagi seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya.” (Surah an-nisa’, ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Jika seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga subuh.”

Tidak ada peruntukan khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau pun Akta Undang-undang Keluarga Islam terhadap dakwaan nusyuz. Cuma dinyatakan mengenai aspek peruntukan nafkah terhadap isteri yang nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan: “Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain;
· Apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya;
· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab sah mengikut hukum syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri adalah tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya jika beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan satu atau semua perkara di atas. Namun demikian, mengikut peruntukan sama, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz melainkan perbuatannya disahkan mahkamah terlebih dulu. Bagaimanapun, Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Oleh itu, walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya, tetapi kemudian dia bertaubat dan menurut semula kehendak suaminya, tidaklah dianggap nusyuz lagi dan dalam keadaan ini suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Tindakan dilakukan wanita yang menjalin hubungan dengan lelaki lain sebenarnya lebih teruk daripada nusyuz kerana isteri sudah menduakan suami tanpa pengetahuan suami, malah yang lebih teruk lagi mereka mencampakkan diri ke lembah kehinaan dengan melakukan perzinaan.

Perilaku itu sewajarnya dibendung bukan di kalangan isteri saja, malah kepada pasangan mereka. Perbuatan mereka memberi kesan buruk kepada diri, agama dan masyarakat dan permasalahan ini akan menjadi lebih rumit jika isteri tadi mengandung serta melahirkan anak di luar nikah. Adalah diingatkan kepada mereka, pulanglah ke pangkuan suami serta ke jalan yang benar. Jika sudah terlanjur, maka kembalilah kepada Allah dengan bertaubat nasuha serta berniat dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya. Zina sangat besar dosanya dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan.” (Surah al-Isra, ayat 32)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

 

Rahsia Kebahagiaan

 

  

 

Oleh: Ustaz Shauqi

 

 

Antara sedar atau tidak kita sering mengaitkan erti kebahagiaan diri dengan kemewahan dan keselesaan hidup. Kita sering memandang bahawa kebendaan itu adalah unsur pertama yang menjamin kebahagiaan dan ketenangan kita. Kita sebenarnya sudah lupa bahawa ketenangan dan kebahagiaan itu datangnya dari dalam jiwa dan ia tidak semestinya dapat kita kecapi melalui apa yang bersifat kebendaan atau material.

 

Tidak akan wujud kebahagiaan melainkan terdapat ketenangan terutama ketenangan jiwa dan rohani. Ketenangan merupakan sesuatu yang paling berharga dalam diri kita yang tidak dapat dibeli walau dengan wang berjuta. Dan ketenangan yang paling penting bagi seorang manusia ialah apabila dia dapat mengenal siapakah dirinya dan siapakah penciptanya, untuk apakah dia dijadikan dan apakah kesudahan yang akan menantinya.

 

Persoalan seperti ini hanya dapat dihuraikan oleh hati yang beriman, sama sekali tidak akan dapat dikecapi oleh hati yang kufur dan engkar kepada Tuhannya.

Orang yang kufur kepada Allah swt, walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti orang yang paling bahagia dan gembira hidupnya dengan segala macam kemewahan dan keselesaan, namun pada hakikatnya hidup mereka terseksa dan menderita.

 

Jiwa mereka tidak pernah puas dan perspektif mereka terhadap kehidupan terbatas di dalam ruang lingkup hidup di dunia ini sahaja. Mereka tidak pernah terfikir tentang kehidupan di alam akhirat. Segala tumpuan dan pemikiran mereka dihabiskan untuk mencari kesenangan hidup di dunia ini yang bersifat sementara dan tidak kekal.

 

Maka apabila mereka menghampiri hari-hari tua, jiwa mereka akan bertambah derita dalam keadaan fizikal mereka yang menjadi semakin lemah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat yang mereka akan menjadi tua dan akan meninggal dunia. Pada saat itu mereka akan merasakan hidup ini tidak mempunyai tujuan yang sebenar dan betapa lemahnya diri seorang manusia.

 

Orang yang beriman ialah orang yang memahami rahsia kehidupan ini, mengenali diri mereka dan mengenali Allah swt. Mereka mengetahui tujuan hidup mereka di dunia ini dan mereka tahu apa yang menanti mereka di hari akhirat kelak. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56, maksudnya: “Tidak Aku (Allah) Ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu (Allah)”.

 

Kebahagiaan ialah satu unsur rohani yang dapat dirasai oleh setiap orang mukmin yang mengakui Allah swt sebagai tuhannya dengan penuh kerelaan hati, menerima Islam sebagai cara hidupnya di dunia ini dan mengakui Muhammad saw sebagai rasul utusan Allah swt kepada umat manusia. Semua itu dilakukannya dengan penuh kerelaan, kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Ini adalah kebahagiaan yang hakiki berbeza dengan kebahagiaan sementara yang datang dari pengumpulan harta kemewahan, pangkat dan cinta kepada kebanggaan dan pujian dari masyarakat.

 

Kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang mukmin ialah dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik dan soleh. Bertambah banyak amalan kebaikan yang dilakukannya semakin tenang jiwanya dan semakin bahagia hatinya. Di antara rahsia kebahagiaan bagi seseorang mukmin ialah sabar dan iman yang jitu.

 

Sabar sebagaimana sabarnya para sahabat Rasulullah. Mereka adalah generasi yang menjadi contoh dan ikutan kepada ummah. Generasi yang memahami maksud kehidupan ini lalu mementingkan kebahagiaan di akhirat melebihi kebahagiaan dunia yang fana. Mereka sanggup bermatian-matian dan menanggung segala jerih-perih penderitaan demi mencapai keredhoaan Allah swt.

 

Lihatlah bagaimana kesabaran mereka di dalam menjaga agama Allah dan mengembangkannya ke serata alam untuk menyelamatkan manusia dari kekufuran dan kegelapan. Tidak ada satu ancaman dan seksaan di dunia ini yang mampu membuatkan mereka berganjak dari prinsip mereka.

 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Anehnya perihal orang yang beriman, sesungguhnya setiap keadaan mendatangkan kebaikan kepadanya. Apabila dia mendapat kenikmatan dan kegembiraan dia bersyukur maka itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia mendapat kesusahan dan mudharat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya.”

 

Berbahagialah orang yang beriman. Meskipun mereka diuji sama ada dengan kemelaratan hidup ataupun dengan kemewahan dan keselesaan, mereka tetap bersabar dan bertasbih memuji keagungan Allah swt. Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang semakin besar kerajaan dan pemerintahan baginda, semakin tunduk baginda kepada kebesaran Allah swt.

 

Dan lihatlah para sahabat seperti Mus`ab bin `Umair ra, yang sanggup berpisah dengan kemewahan hidup demi memperjuangkan Islam bersama junjungan tercinta Rasulullah saw. Pada ketika beliau syahid, tidak ada apa yang boleh menutupi jasadnya melainkan sehelai kain yang apabila ditarik untuk menutup wajahnya, terbuka kakinya dan begitulah sebaliknya.

 

Orang yang beriman adalah golongan yang paling berhak untuk menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini. Ini adalah kerana kebahagiaan yang mereka kecapi tidak terhenti setakat kehidupan mereka di dunia ini, bahkan berterusan ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat di saat mereka menemui Allah swt.

 

 

ADAB MENGUAP

 

 

1. Menahan menguap sekadar termampu:

* Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r. a., daripada Nabi Muhammad s. a. w., bahwasanya baginda bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan ‘Alhamdulillaah’, maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan ‘Yarhamukallaah!’. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.

2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap:

* Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud:

“Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka).”

Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat meletakkan tangan di mulut ketika menguap, sama ada di dalam sembahyang ataupun di luarnya.


3. Makruh mengangkat suara ketika menguap:

* Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan At-Termizi daripada nabi Muhammad s. a. w. katanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.”

Ibnu As-Sunni telah meriwayatkan pula daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah bersabda Rasullah s. aw. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla membenci mengangkat suara ketika menguap dan bersin.”