Rahsia Kebahagiaan

 

  

 

Oleh: Ustaz Shauqi

 

 

Antara sedar atau tidak kita sering mengaitkan erti kebahagiaan diri dengan kemewahan dan keselesaan hidup. Kita sering memandang bahawa kebendaan itu adalah unsur pertama yang menjamin kebahagiaan dan ketenangan kita. Kita sebenarnya sudah lupa bahawa ketenangan dan kebahagiaan itu datangnya dari dalam jiwa dan ia tidak semestinya dapat kita kecapi melalui apa yang bersifat kebendaan atau material.

 

Tidak akan wujud kebahagiaan melainkan terdapat ketenangan terutama ketenangan jiwa dan rohani. Ketenangan merupakan sesuatu yang paling berharga dalam diri kita yang tidak dapat dibeli walau dengan wang berjuta. Dan ketenangan yang paling penting bagi seorang manusia ialah apabila dia dapat mengenal siapakah dirinya dan siapakah penciptanya, untuk apakah dia dijadikan dan apakah kesudahan yang akan menantinya.

 

Persoalan seperti ini hanya dapat dihuraikan oleh hati yang beriman, sama sekali tidak akan dapat dikecapi oleh hati yang kufur dan engkar kepada Tuhannya.

Orang yang kufur kepada Allah swt, walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti orang yang paling bahagia dan gembira hidupnya dengan segala macam kemewahan dan keselesaan, namun pada hakikatnya hidup mereka terseksa dan menderita.

 

Jiwa mereka tidak pernah puas dan perspektif mereka terhadap kehidupan terbatas di dalam ruang lingkup hidup di dunia ini sahaja. Mereka tidak pernah terfikir tentang kehidupan di alam akhirat. Segala tumpuan dan pemikiran mereka dihabiskan untuk mencari kesenangan hidup di dunia ini yang bersifat sementara dan tidak kekal.

 

Maka apabila mereka menghampiri hari-hari tua, jiwa mereka akan bertambah derita dalam keadaan fizikal mereka yang menjadi semakin lemah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat yang mereka akan menjadi tua dan akan meninggal dunia. Pada saat itu mereka akan merasakan hidup ini tidak mempunyai tujuan yang sebenar dan betapa lemahnya diri seorang manusia.

 

Orang yang beriman ialah orang yang memahami rahsia kehidupan ini, mengenali diri mereka dan mengenali Allah swt. Mereka mengetahui tujuan hidup mereka di dunia ini dan mereka tahu apa yang menanti mereka di hari akhirat kelak. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56, maksudnya: “Tidak Aku (Allah) Ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu (Allah)”.

 

Kebahagiaan ialah satu unsur rohani yang dapat dirasai oleh setiap orang mukmin yang mengakui Allah swt sebagai tuhannya dengan penuh kerelaan hati, menerima Islam sebagai cara hidupnya di dunia ini dan mengakui Muhammad saw sebagai rasul utusan Allah swt kepada umat manusia. Semua itu dilakukannya dengan penuh kerelaan, kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Ini adalah kebahagiaan yang hakiki berbeza dengan kebahagiaan sementara yang datang dari pengumpulan harta kemewahan, pangkat dan cinta kepada kebanggaan dan pujian dari masyarakat.

 

Kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang mukmin ialah dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik dan soleh. Bertambah banyak amalan kebaikan yang dilakukannya semakin tenang jiwanya dan semakin bahagia hatinya. Di antara rahsia kebahagiaan bagi seseorang mukmin ialah sabar dan iman yang jitu.

 

Sabar sebagaimana sabarnya para sahabat Rasulullah. Mereka adalah generasi yang menjadi contoh dan ikutan kepada ummah. Generasi yang memahami maksud kehidupan ini lalu mementingkan kebahagiaan di akhirat melebihi kebahagiaan dunia yang fana. Mereka sanggup bermatian-matian dan menanggung segala jerih-perih penderitaan demi mencapai keredhoaan Allah swt.

 

Lihatlah bagaimana kesabaran mereka di dalam menjaga agama Allah dan mengembangkannya ke serata alam untuk menyelamatkan manusia dari kekufuran dan kegelapan. Tidak ada satu ancaman dan seksaan di dunia ini yang mampu membuatkan mereka berganjak dari prinsip mereka.

 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Anehnya perihal orang yang beriman, sesungguhnya setiap keadaan mendatangkan kebaikan kepadanya. Apabila dia mendapat kenikmatan dan kegembiraan dia bersyukur maka itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia mendapat kesusahan dan mudharat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya.”

 

Berbahagialah orang yang beriman. Meskipun mereka diuji sama ada dengan kemelaratan hidup ataupun dengan kemewahan dan keselesaan, mereka tetap bersabar dan bertasbih memuji keagungan Allah swt. Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang semakin besar kerajaan dan pemerintahan baginda, semakin tunduk baginda kepada kebesaran Allah swt.

 

Dan lihatlah para sahabat seperti Mus`ab bin `Umair ra, yang sanggup berpisah dengan kemewahan hidup demi memperjuangkan Islam bersama junjungan tercinta Rasulullah saw. Pada ketika beliau syahid, tidak ada apa yang boleh menutupi jasadnya melainkan sehelai kain yang apabila ditarik untuk menutup wajahnya, terbuka kakinya dan begitulah sebaliknya.

 

Orang yang beriman adalah golongan yang paling berhak untuk menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini. Ini adalah kerana kebahagiaan yang mereka kecapi tidak terhenti setakat kehidupan mereka di dunia ini, bahkan berterusan ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat di saat mereka menemui Allah swt.

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: