Solat Dhuha, Doa dan cara melaksanakan

 

Ruang waktu dan waktu afdal 

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

 

Cara melaksanakannya 

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

 

Doa yang disarankan

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”



 
 

  

* Coretanku

 

 

Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

 

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

 

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

 

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

 

Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA.. ameennn…

           

Penyempurnaan tuntutan solat sifat insan bahagia

 

 

Oleh Masmawi Abdullah

MATLAMAT hidup umat Islam ialah untuk mencari kebahagiaan yang hanya dirasakan oleh mereka melaksanakanaku  perintah Allah  terutama solat yang menjadi tiang agama.

Hal ini dijelaskan Allah  dalam firman yang bermaksud:

“Sesungguhnya berbahagialah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri daripada (perebutan dan perkataan) yang tiada berguna.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Tiga perkara penting bagi manusia untuk mencapai kebahagiaan ialah beriman kepada Allah , menjaga solat mereka dan menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”

Solat adalah suruhan yang tidak dapat tidak mesti disempurnakan setiap umat Islam. Mereka yang menunaikan solat akan diberi ganjaran pahala dan hidupnya sentiasa mendapat nikmat serta rahmat daripada Allah .

Sementara di akhirat pula, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga bersama orang soleh.

Waktu untuk menunaikan solat sudah ditentukan dan secara tidak langsung ia mengajar kita supaya menghargai masa. Dalam erti kata lain, kita sewajarnya menepati waktu yang sudah ditetapkan untuk menunaikan solat dan tidak melambatkannya.

Namun, apa yang mendukacitakan, masih ramai di kalangan kita yang melengah-lengahkan solat. Malah, ada beranggapan menunaikan solat itu tidak semestinya pada waktu masuknya, sebab itu kita dapati ada yang menunaikan solat Zuhur lewat jam 2.30 atau 3.30 petang.

Anggapan tidak semestinya menunaikan solat tepat pada waktunya adalah satu tanggapan yang salah. Malah, sikap begini sebenarnya merugikan diri mereka sendiri kerana menyegerakan dan menepati waktu solat satu keutamaan dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang lebih utama? Baginda SAW menjawab: Solat tepat pada waktunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di samping itu Rasulullah SAW juga menjelaskan kelebihan orang yang berwuduk di rumahnya kemudian ke masjid untuk menunaikan solat dalam sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berwuduk di rumahnya kemudian berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardu daripada beberapa fardu, sesungguhnya kedua langkahnya yang satu menghapuskan dosa dan yang satu lagi akan mengangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

 

Jika kita halusi sabda Rasulullah SAW itu mengandungi dua perkara penting :

– Ganjaran pahala yang besar akan diperoleh mereka yang berwuduk di rumah dan berjalan untuk solat di masjid iaitu setiap langkahnya menghapuskan dosa yang menaikkan darjatnya.

– Mereka yang berwuduk di rumah jelas menggambarkan bahawa mereka menjaga ketepatan waktu solat kerana sudah bersedia lebih awal lagi untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

Sesungguhnya kita memang digalakkan menepati waktu solat dan jangan sekali-kali melengah kerana solat di awal waktu menjanjikan ganjaran kepada mereka yang menjaganya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya dan khusyuk, maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang bersolat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah , iapun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.” (Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Perkataan memelihara solat mempunyai pengertian luas. Antaranya, memperbetulkan bacaan, tertib melakukan solat dan menunaikan solat tepat pada waktunya.

Digalakkan menyegerakan solat kerana dikhuatiri jika kita melengahkan solat, kemungkinan kita akan tertinggal dan terlepas waktu itu.

Malah Allah menjelaskan sifat orang yang berbahagia iaitu mereka yang menyempurnakan solatnya seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan orang yang memelihara solatnya; mereka itulah orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukmin, ayat 8-11)

Taubat diwajibkan ke atas insan mukallaf

 

 

Bicara Kalbu: Taubat diwajibkan ke atas insan mukallaf

 

SAYA keliru mengenai keperluan untuk bertaubat ketika melakukan dosa kecil. Saya ingin tahu adakah wajib kita bertaubat jika melakukan dosa kecil.

PELAJAR INGIN TAHU,
Kuala Lumpur.

 

PERTAMA kita perlu mengenal pasti perbezaan di antara dosa kecil dan besar. Dosa besar wajib bertaubat nasuha manakala bertaubat untuk dosa kecil masih ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Namun untuk melengkapkan akhlak yang mulia dan bersifat mahmudah, kita seharusnya sentiasa bertaubat dan beristighfar serta menghentikan perkara yang mendatangkan dosa kecil.

Ulama hadis, Ibnu Rajab al Hambali dalam kitabnya Jaami’ul ‘uluum wal hikam melontarkan permasalahan mengenai dosa kecil. Beliau berpendapat dosa kecil terhapus secara automatik sebaik seseorang melakukan taubat atas dosa besar.

Pendapat ini sesuai dengan firman Allah bermaksud :
“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke dalam tempat yang mulia (syurga).” (Surah an-Nisa, ayat 31)

Namun, ada ulama berbeza pendapat, ada antara mereka yang mewajibkan taubat secara khusus terhadap sebarang dosa kecil. Pendapat ini berpandukan
firman Allah yang memerintahkan untuk bertaubat selepas menyebut dosa kecil dan besar. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya supaya diketahui perhiasan yagn mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung.” – (Surah an-Nur, ayat 30-31)

Allah memerintahkan untuk
bertaubat daripada dosa kecil secara khusus dalam firman-Nya bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-mengolokkan) wanita-wanita yang lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak taubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” – (Surah al Hujurat, ayat: 11)

Namun, kaum Mu’tazilah pula tidak mewajibkan taubat daripada dosa kecil.

Ada juga ulama mutakhir yang berpendapat mengenai taubat dosa kecil bahwa – wajib mengerjakan salah satu daripada dua perkara: Pertama bertaubat daripadanya atau melakukan beberapa perbuatan dan amal kebajikan yang baik dan ia dapat menghapuskan dosa itu.

Ibnu ‘Athiah menyebutkan dua pendapat ulama dalam penafsirannya terhadap penghapusan dosa kecil dengan melakukan ibadat yang wajib dan menjauhkan diri daripada dosa besar.

Pertama, dia meriwayatkan daripada beberapa fuqaha dan ahli hadis bahawa dengan melakukan kebajikan dan amal salih secara automatik dosa dan kesalahannya terhapus, sesuai pengertian ayat al-Quran dan hadis.

Kedua, dia meriwayatkannya daripada ulama usul fiqh bahawa dosa kecil tidak pasti terhapus, namun dengan ’husnu zan’ yang kuat terhadap rahmat Allah dan harapan yang tinggi , diharapkan dosa itu dihapuskan, dengan kehendak Allah.

Jika dosa kecil itu ‘pasti’ dihapuskan, nescaya perbuatan taubat akan menjadi ’harus’ dan ia mengundang akibat buruk yang akan merosakkan syariah.

Ulama kontemporari, Dr Yusof Qardhawi pula berpendapat bahawa dosa kecil itu tidak ‘pasti’ dihapuskan. Ia kerana hadis yang mengatakan dosa kecil terhapus dengan melakukan amal salih terikat dengan ‘syarat’ memperbaiki amal.

Contohnya, dalam bab wuduk dan solat, kedua-dua perbuatan itu menghapuskan dosa kecil. Jika kita berdiam diri tanpa menyesali perbuatan, tidak bertaubat dan tidak melakukan kebaikan, di sini tidak ada amal yang baik membolehkan terhapusnya dosa.

Atas dasar ’ikhtilaf’ (perbezaaan pendapat) yang disebutkan oleh Ibnu ‘Athiah ini, terjadi ikhtilaf dalam masalah kewajipan taubat dari dosa kecil.” (Jami’ al Ulum wa al Hikam: 1/446, 447. Cetakan Muassasah Risalah, Beirut.)

Namun, sebenarnya taubat diperintahkan kepada seluruh orang mukallaf. Seluruh kaum mukmin diperintahkan untuk bertaubat. Seperti disebutkan dalam ayat al-Quran: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Taubat itu mesti dibuat, ada orang yang bertaubat daripada dosa besar, perbuatan bidaah, dosa kecil dan perbuatan yang syubhat.

Ada pula orang yang taubat daripada kelalaian hatinya. Juga ada bertaubat daripada makam yang sedia ada untuk menaikkan tarafnya ke makam yang lebih tinggi. Ini yang kita namakan sebagai taubat Nabi Muhammad SAW seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.”

Jawapan disediakan Endok Sempo Mohd Tahir. Pandangan dan persoalan layari www.bicarakalbu.blogspot.com

 

Berani Mengaku Kesalahan – Puncak Tertinggi Taubat

 

 

 

Berdasar sedikit pengalaman hidup, sebenarnya tidak mudah bagi kebanyakan orang untuk mengaku kesalahan yang dilakukan. Sama ada kesalahan itu dengan manusia atau kesalahan itu dengan Allah swt. Sebab itu antara akhlak terpuji yang diajar oleh seorang guru kepada muridnya atau seorang bapa terhadap anaknya ialah berani mengakui kesalahan.

Berani mengaku kesalahan mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya”. (hadis riwayat Bukhori, Muslim dan Ahmad).

Bahkan dalam hadis yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengenai
“penghulu istighfar” terdapat lafaz pengakuan hamba kepada Allah swt mengenai dosa yang dilakukan dan kemudian barulah diikuti dengan memohon keampunan daripada Allah swt.

Oleh kerana mengakui kesalahan itu sukar, marilah kita mula berlatih mengakui kesalahan kita samada kesalahan dengan makhluk atau kesalahan dengan Allah swt. jika kesalahan dgn makhluk, ada dua keadaan:

1) Kesalahan berhubung dengan darah seperti mencederakan, atau berhubung denga harta seperti mencuri. Ia perlu diselesaikan dengan makhluk tersebut seperti memohon kemaafan dan memulangkan harta yang dicuri dengan cara yang paling bijaksana agar tidak menimbulkan kerosakan baru.

2) Kesalahan seperti mengumpat dan fitnah. Beberapa ulama seperti Imam Syafi’ie mensyaratkan supaya meminta maaf daripada orang yang diumpat atau difitnah. Namun Ibnu Qayyim mentarjih pandangan yang mengatakan tidak perlu minta maaf secara terus kepada orang yang diumpat atau difitnah kerana ditakuti akan menimbulkan kerosakan baru. (seperti putusnya silaturrahim).

Namun, si “pelaku kesalahan” perlu memperbaiki umpatan atau fitnah yang dilakukan dengan menceritakan kebaikan orang tersebut bagi menutup umpatan/fitnah yang telah dibuat, memohon istighfar untuk orang tersebut pada kadar dosa mengumpat/fitnah yang dilakukan dan melakukan kebaikan bagi pihak orang yg diumpat/fitnah, juga sebagai jalan untuk membersihkan kesalahannya. Selepas itu barulah disertai dengan taubat kepada Allah terhadap kesalahannya mengumpat/fitnah terhadap orang tersebut.

Dengan demikian hubungan si pelaku kesalahan dengan orang yg diumpat/fitnah kekal baik dan ini menepati maqasid syarak.

Penulis sendiri cenderung kepada pandangan Ibnu Qayyim dalam masalah ini.

Wallahu A’lam. Moga kita semua berjaya. Ameen.

Oleh: Ustaz Ahmad Zainal Abidin