Isteri Nusyuz

Dijawab oleh Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden PGSM

 

Soalan

SAYA baru mendirikan rumah tangga hampir setahun. Saya dan isteri bekerja serta tinggal di Johor Bahru. Beberapa bulan lalu saya ditukarkan ke Shah Alam dan kami tinggal berasingan. Isteri saya masih bertugas di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa bersama kawannya. Masalahnya, saya beberapa kali mengajaknya pindah dan berhenti kerja supaya dapat mengikut saya ke Shah Alam tetapi beliau enggan. Alasan yang diberi, sukar mencari kerja baru di Lembah Klang, ingin mempunyai pendapatan sendiri kerana ingin membantu keluarganya di kampung dan bosan duduk di rumah tanpa kerjaya. Untuk pengetahuan tuan, saya membeli rumah dan menyediakan segala keperluan selain gaji yang mencukupi untuk menanggung kami sekeluarga. Buat masa ini isteri saya sanggup berulang alik setiap minggu dari Johor Bahru ke Shah Alam. Isnin hingga Jumaat saya tinggal bersendirian dan makan minum terpaksa dimasak atau beli di warung. Adakah tindakan isteri enggan mengikuti saya ke Shah Alam dikira nusyuz? Jika isteri nusyuz, adakah wajib saya memberi beliau nafkah? Apa yang perlu saya lakukan?

 

SUAMI RESAH,
Shah Alam

Jawapan:

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.”

 

Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam.

Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan. Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama. Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

 

Doa mohon zuriat keturunan yang baik (WARISAN TERBAIK)

          1)         “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) do’a permohonan”.

( Surah Ali’ Imran: 38 )

 

 

          2)         “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim: 40)

 

 

          3)         “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-furqan: 74)

 

 

 

* Coretanku

 

Kepentingan Doa

 

Dunia adalah negeri perhiasan dan kesenangan dalam keinginan dan kefanaan. orang yang berangan-angan pasti akan gagal. Kecuali orang-orang yang soleh dan sentiasa berdoa kepada Rabb supaya diberikan KEBAIKKAN dunia dengn keselesaan hidup, kiranya dapat menjalankan segala kewajipan dengan baik dan sempurna. Mereka juga sentiasa memohon kepada Allah SWT rezeki yang baik dan keturunan yang baik-baik. Doa (1) adalah doa para nabi untuk memohon zuriat keturunan yang baik sebagai penyambung warisan terbaik.

 

Seseorang hamba yang akan naik darjatnya di syurga setelah dia wafat (meninggal) disebabkan oleh DOA anaknya yang soleh dan solehah. Doa yang baik adalah apa yang diajarkan oleh Allah SWT kepada kita seperti disebutkan di dalam Quran (surah Ai-isra: 24) “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

 

Doa (2) merupakan satu permohonan kepada Rabb yang bagi saya adalah penting sebab doa tersebut bukan saja minta kepada Allah agar memberi kekuatan kepada diri kita tetap mendirikan solat, malah untuk zuriat kita. Zuriat itulah pewaris, moga doa amalan tersebut akan menjadikan pewaris kita adalah warisan yang terbaik di dunia dan akhirat. Doa tersebut juga adalah penting sebab solat merupakan PENGHULU segala AMALAN… jika solat kita baik, maka baiklah semua amalan kita tetapi jika solat kita tidak berkualiti, maka amalan yang lain juga tidak berkualiti.  Moga dengan amalan doa ini seharian, akan menjadikan kita dan zuriat kita tetap mendirikan solat…. ameennn…

 

Doa (3) ini adalah doa yang telah diketahui ramai akan kebaikkannya khususnya untuk pasangan dan zuriat kita iaitu memohon agar pasangan juga zuriat kita menjadi penyejuk hati kita juga ikutan orang-orang yang bertakwa… pasangan mana yang tidak mahu keharmonian dan ketenangan dalam rumahtangga masing-masing… dengan amalan doa tersebut  moga Allah memberikan pasangan dan zuriat penyejuk hati kita dunia dan akhirat…

 

“Apabila mati manusia maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yg dimanfaatkan orang dan anak yang soleh/solehah yang mendoakannya” (HR Muslim)

 

Sama-sama mendidik zuriat kita walaupun terpaksa bersusah payah disepanjang mendidik mereka… pasti berbaloi juga usaha kita… dua kali Allah SWT nyatakan dalam Surah Al-Insyirah iaitu: “tiap-tiap kesukaran itu akan ada kemudahan (kebaikkan)” … moga kita mendapat rahmat dariNYA selalu…

 

ameennn yaa Rabbal alamin…

 

Budaya Berjabat Tangan Dengan Bukan Mahram

 

 

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

 

 

Orang Melayu terkenal dengan masyarakat yang mementingkan adab, sopan-santun dan budi-pekerti yang mulia. Antara adab yang sentiasa dipraktikkan dalam masyarakat ialah bersalam atau berjabat tangan di antara satu sama lain apabila bertemu. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang amat baik kerana ia dapat mengeratkan silaturahim dan persaudaraan di dalam masyarakat.

 

Namun akhir-akhir ini didapati bahawa bersalam atau berjabat tangan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira batas hukum syarak, sehinggakan gejala bersalam atau berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram menjadi semakin berleluasa dan semakin diterima di dalam masyarakat. Apatah lagi apabila bertemu dengan pemimpin, maka bukan sekadar berjabat tangan tetapi ada yang sanggup mencium tangan pemimpin tersebut sedangkan tidak ada ikatan mahram di antara mereka!.

 

Fenomena seumpama ini sekiranya dibiarkan, ia akan menjadi semakin parah yang akhirnya bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malahan akan turut menghakis nilai-nilai murni dan adab tatasusila yang diamalkan dalam masyarakat Melayu selama ini. Walaupun para ulama’ mengharuskan seseorang lelaki berjabat tangan dengan wanita yang sudah tua yang sudah tidak ada lagi keinginan syahwat (rujuk dalam Fatawa Mu’asirah oleh Yusuf al-Qaradawi), namun ia janganlah dijadikan sebagai satu alasan untuk sewenang-wenangnya membudayakan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan.

 

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Nur ayat 30-31 bermaksud: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (merendahkan) pandangan mereka (daripada memandang wanita yang bukan mahram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat (merendahkan) pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka…..”.

 

Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan agar orang lelaki dan perempuan agar menjaga dan merendahkan pandangan mereka daripada melihat sesuatu yang diharamkan seperti melihat orang yang bukan mahram sehinggakan boleh menimbulkan syahwat. Oleh itu, ajaran Islam mengharamkan seseorang lelaki melihat kepada wanita yang bukan isterinya atau wanita yang bukan mahramnya. Hal ini tidak pula bermaksud kita dikehendaki memejamkan mata ketika bertemu dengan orang yang bukan mahram, tetapi apa yang dimaksudkan ialah kita dilarang melihat berulang-kali terhadap seseorang yang bukan mahram kerana ia boleh menimbulkan syahwat dan fitnah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad, nabi saw telah bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud: ”Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat)”.

 

Sekiranya memandang kepada wanita yang bukan mahram pun dilarang dalam hukum syara’, sudah tentu bersalam dan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram diharamkan. Cubalah kita fikirkan, manakah yang lebih menimbulkan syahwat dan fitnah, memandang dari jauh atau bersalaman dan berjabat tangan yang melibatkan persentuhan kulit dengan kulit? Tepuk dada, tanya iman!.

 

Selain itu, antara hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ yang mengharamkan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah nabi saw tidak berjabat tangan dengan wanita ketika melakukan bai’ah sedangkan dalam masa yang sama nabi saw berjabat tangan dengan lelaki ketika bai’ah dilakukan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan bahawa, “Daripada Abdullah bin Amr’ ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam bai’ah”. Justeru, sama-samalah kita murnikan kembali adab masyarakat Melayu yang berteraskan akhlak Islam yang murni.