Tajdid Iman: Cinta dunia tak bawa ke mana

 

 Bersama Dr Juanda Jaya

 

 Iman nilai sebenar manusia untuk pertimbangan pada hari pengadilan

 

tenaga dan kecekalan hati orang fakir jauh lebih hebat daripada keadaan orang yang lahir tidak mengenal langsung apa itu kemiskinan.  

DUNIA sudah memperlihatkan kepada kita kekejamannya terhadap sesetengah insan yang kurang bernasib baik. Seorang kuli yang bekerja di pasar dengan bermodal tulang empat kerat terpaksa mengangkat barang beratus kilogram sehari demi mendapatkan RM20 atau RM30 untuk nafkah anak dan isteri.

Seorang wanita yang bekerja membersih tandas awam pulang ke rumah hingga jauh malam semata-mata hendak mendapatkan RM500 sebulan demi anak yatimnya. Suami yang bekerja sebagai kerani terpaksa menolong isteri menjual kuih seawal jam 4 pagi semata-mata mahu memberi keselesaan hidup kepada anak mereka.

Mereka semua bukan orang yang malas seperti dianggap golongan kaya serta berkedudukan tinggi yang suka mencemuh, pantang melihat orang miskin. Boleh jadi

 

Untuk berada di puncak kejayaan, ada kalanya seseorang mesti mengorbankan kebahagiaannya . Sedikit demi sedikit wang dikumpul, harta dijimatkan dan digandakan dengan usaha gigih. Selepas jangka waktu yang panjang titik peluh itu kini berbuah hasilnya.

 

 

Alangkah susahnya mendapatkan syurga dunia. Padahal ia jauh lebih hina daripada syurga akhirat. Untuk memiliki sebuah rumah teres yang sempit bagi orang berpendapatan sederhana perlukan masa lima atau 10 tahun untuk mengumpul wang dan dalam tempoh itu terpaksalah berpindah-randah menyewa rumah.

Betapa berharganya wang RM1 yang dikumpul demi impian memiliki rumah sendiri. Itu pun masih harus menghabiskan saki baki hutang hingga 25 tahun lagi. Tidak hairan jika minum air kosong dan makan dengan telur mata kerbau setiap hari pun tidak mengapa demi rumah idaman.

Pernahkah kita menyelami dasar hati dan bertanya: “Mengapa untuk mendapatkan kekayaan dunia manusia sanggup berjaga sepanjang malam, bangun awal pagi, bersesak dan berebut mencari rezeki demi kenikmatan dunia yang sementara ini.”

Padahal Allah sudah menjanjikan syurganya yang lebih hebat lagi kekal selamanya tanpa perlu keletihan bekerja seharian, tanpa perlu tertekan dengan persekitaran yang kejam,tanpa perlu menjadi binatang buas yang kerjanya mengorbankan orang lain demi nafsu serakah. 

 

 

 

 

Ramai yang tertekan dengan persaingan di pejabat, jatuh-menjatuhkan untuk mendapat kedudukan tinggi, bodek-membodek, tikam belakang hingga berhadapan dengan segala ego dan kesombongan melampau.

Golongan fakir pula kecut perut dikejar hutang, dengki dengan harta orang lain, putus asa dengan pendapatan yang licin habis pada tengah bulan. Betapa kita ditertawakan oleh takdir kita sendiri.

Suratan nasib anak Adam yang melakonkan segmen kehidupan cukup melelahkan. Untung atau rugi, bahaya atau aman, kaya atau miskin, pintar atau bodoh, menipu atau tertipu, zalim atau dizalimi, iman atau kufur. Semuanya atas pilihan masing-masing.

Hingga suatu masa nanti mereka yang emilih lorong gelap dalam hidupnya ternganga disentap malaikat maut.

Pelik tapi benar, mereka ini sempat juga mahu merasuah dengan apa saja yang pernah dimiliki di dunia supaya boleh terselamat daripada azab Allah.

Al-Quran menceritakan yang bermaksud: “Sedang mereka saling memandang, orang kafir ingin kalaulah dia dapat menebus dirinya daripada azab hari itu dengan anak, isteri, saudara mara dan kaum keluarganya yang melindunginya di dunia, dan orang di atas bumi seluruhnya (segenap isi dunia sekalipun). Kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Sekali-kali tidak dapat! Sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang menggelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama). Serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 11-18 )

Demi mendapatkan dunia, mereka sanggup melakukan apa saja untuk membina empayar kekayaan dan kuasa, anak dan isteri yang menjadi cahaya mata, keluarga dan hamba yang sedia menolong menjaga nama baik mereka.

Akhirnya semua itu mahu dijadikan tangkal untuk keselamatan dirinya sendiri. Jika boleh mereka dijadikan benteng bagi melindungi dirinya daripada azab Allah. Tidak hairan siapapun boleh dijadikan mangsa hatta anak dan isteri sendiri.

Jika begitu keadaannya, manusia sebenarnya sudah ditipu oleh hawa nafsunya sendiri. Semua benda yang disukai, dikejar, dikumpul, direbut daripada tangan orang lain akhirnya tidak boleh menolongnya sedikit pun pada akhirat nanti.

Kadang-kala kita berfikir jika Allah memberi segala-galanya yang kita mahu di dunia ini, adakah Dia akan memberi kepada kita juga pada akhirat nanti?

Terbit rasa takut dan risau jika membaca ayat al-Quran yang sungguh menyentap hati yang bermaksud: “Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.

Hidup sebagai orang kaya mempunyai risiko menjadi lalai, begitu pula hidup miskin lagi bahaya kerana manusia boleh jadi lebih dekat kepada kekufuran. Bagi mereka orang miskin jangan menyesal dilahirkan ke dunia, kerana di situlah medan pergelutan nasib baik dan buruk.

Kita hanya disuruh memenangi perlawanan itu dengan senjata iman. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kekayaan yang sebenar itu ialah kaya hati.”

Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani).

Diwajibkan masuk syurga seperti lafaz daripada Imam Muslim.

Bagi mereka yang miskin atau kaya, yang masih bernafsu untuk menakluk dunia mencapai kemuncak kenikmatan yang fana ini, sampai bilakah jerih payah dan pengorbanan dapat memuaskan diri? Jika suruhan dan perintah Allah Yang Maha Kaya tidak dipenuhi?

Suatu ketika di negeri akhirat nanti, Allah akan menyelamatkan seorang penghuni neraka dan memasukkannya ke dalam syurga. Dia merangkak-rangkak menghampiri syurga Allah dan dialah orang terakhir memasukinya.

Kemudian Allah yang Maha Kaya berfirman yang bermaksud: “Pergilah dan masuklah ke syurga, untukmu yang sebanding dengan dunia dan sepuluh kali ganda.” Yang demikian itu dikatakan serendah-rendah kedudukan ahli syurga. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wahai pencinta dunia, tidakkah rugi menukarkan yang 10 kali ganda itu dengan apa yang kita miliki sekarang? Bukankah banyaknya nikmat Allah yang diberi untuk seluruh makhluk di dunia ini seumpama setitis air daripada jari yang dicelup ke dalam lautan? Kerana yang setitis itu manusia saling menumpahkan darah, sungguh betapa kejamnya dunia yang menipu.

INFO: Cinta dunia cinta akhirat

·Alangkah susahnya mendapatkan syurga dunia. Padahal ia jauh lebih hina daripada syurga akhirat.

 

·Untung atau rugi, bahaya atau aman, kaya atau miskin, pintar atau bodoh, menipu atau tertipu, zalim atau dizalimi, iman atau kufur – semua atas pilihan masing-masing.

·Demi mendapatkan dunia, manusia sanggup melakukan apa saja untuk membina empayar kekayaan dan kuasa, anak dan isteri yang menjadi cahaya mata, keluarga dan hamba yang sedia menolong menjaga nama baik mereka.

·Hidup sebagai orang kaya mempunyai risiko menjadi lalai. Hidup miskin mendekatkan manusia dengan kekufuran. Bagi mereka orang miskin jangan menyesal dilahirkan ke dunia, kerana di situlah medan pergelutan nasib baik dan buruk.

·Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kekayaan yang sebenar itu ialah kaya hati.”

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: