Usah kikir, sombong jika diberi kekayaan

 Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SESUNGGUHNYA Islam tidak pernah menghalang hambanya mencari harta benda dan kekayaan yang menjadi lambang serta kayu ukur kesenangan hidup manusia di dunia. Bahkan, mencari kesenangan adalah satu keperluan demi membina kehidupan sempurna dan sewajarnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 “Mencari kerja yang halal itu adalah fardu selepas fardu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Insan yang waras fikirannya sudah tentu tidak ingin hidup dalam keadaan susah, tersepit dan miskin. Lantaran itulah mereka sanggup bertungkus-lumus, membanting tulang tanpa mengira penat dan waktu.

Ingin menjadi kaya raya, memiliki harta yang banyak, tanah luas, kereta mewah, juga bukan halangan atau satu kesalahan salam syariat jika kita mampu. Namun Islam tetap memberi peringatan supaya manusia tidak lalai dan hanyut dengan hartanya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu wanita, anak, harta yang banyak daripada emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak, ladang sawah. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali Imran, ayat 14) 

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa memiliki kesenangan di dunia perkara yang dituntut asalkan memenuhi beberapa syarat iaitu mempunyai niat baik untuk mensyukuri nikmat, selalu merendah diri kepada Allah dan sesama manusia serta tidak menghamburkan harta melampaui batas.

Mempunyai niat baik untuk dapat bersyukur

Pelbagai bentuk kesenangan yang dikurniakan Allah, sesungguhnya bukanlah untuk dibangga dan dimegahkan, tetapi untuk disyukuri. Demikianlah sifat orang Islam yang beriman. Tetap menganggap kesenangan dimilikinya itu kurniaan Allah, bukan hasil dan usahanya atau kepandaiannya.

Disebabkan itu, mereka senantiasa memanjat syukur kepada-Nya. Allah sudah memberi jaminan keuntungan besar bagi orang yang mahu bersyukur dengan nikmat-Nya seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Surah Asy-Syura, ayat 27)

Menurut A Aziz Salim Basyarahil dalam bukunya 33 Masalah Agama, yang dimaksudkan dengan Allah mensyukuri hamba-Nya ialah memberi pahala terhadap amal hamba-Nya, memaafkan kesalahan dan mengampunkan dosanya dan menambah nikmat kepada hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Selalu merendah diri kepada Allah sesama manusia

Walaupun sudah memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan dapat menikmati kesenangan hidup secukupnya di dunia, seorang Muslim sejati terus menghambakan diri kepada Allah bahkan semakin bertambah dekat dirinya kepada Allah.

Imannya ketara meningkat dari semasa ke semasa. Tidak pernah disibukkan dengan kemewahan dan kerja berkaitan kekayaan yang digenggam. Lantaran dia tahu semua itu adalah kepunyaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan apakah alasanmu tidak menafkahkan hartamu pada jalan Allah, sedangkan kepunyaan Allahlah warisan langit dan bumi.” (Surah al-Hadid, ayat 10)

Begitu juga terhadap sesama manusia, mereka tidak sombong dan membanggakan diri dengan kemewahan menjadi miliknya. Malah, sentiasa merendah diri, apa lagi kepada orang yang tidak bernasib baik, miskin dan dikepung kesempitan hidup.

Apabila ada saja peluang, ruang buat menabur bantuan atau pertolongan kepada manusia lain, dia tetap mengutamakan mereka terlebih dulu. Lantaran ia yakin dengan kekayaan dibelanjakan itu hartanya tidak akan berkurang dan kedudukannya pula sangat mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah, dan Allah tidak menambah kepada hamba-Nya yang memaafkan melainkan kemuliaan, dan tidak tawaduk seseorang kepada Allah melainkan Allah menaikkannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang apabila memiliki kekayaan, jika imannya tipis, sudah tentu akan bersifat kikir, lupa kepada tanggungjawabnya terhadap Allah dan tidak menghiraukan masyarakat sekeliling. Orang angkuh seperti itu sudah tentu dimurkai Allah dan mendapat pembalasan setimpal daripada-Nya.

Lihatlah sejarah hidup Qarun, dimusnahkan Allah bersama harta kekayaannya sebagaimana terungkap dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami benamkan Qarun berserta rumahnya.” (Surah al-Qashas, ayat 81).

 

Advertisements

3 Respons

  1. Salam sayang Sue..

    kawan suami akak pernah berpesan kalau kita di beri rezeki yg lebih bersedekahlah mudahan Allah akan limpahkan lagi rezeki buat kita……….

  2. Saya teringatkan satu ceramah Buya Hamka r.h. dalam satu rakaman. Beliau menceritakan bagaimana suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah dengan seorang kaya melalui sawah padi, tiba-tiba melihat seorang petani yang berehat dari kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan itu amat biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani tadi dengan penuh selera. Lalu orang kaya yang bersama Buya Hamka berkata: “Buya, saya ada rumah besar dan kenderaan mewah, tetapi tidak pernah berpeluang makan begitu berselera seperti petani itu”. Ya! Demikianlah Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya. Sesiapa yang diberikan makanan yang hebat, belum tentu dapat menikmati keenakan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya. Maka, tidak hairan jika ada orang kaya, atau yang berkuasa kurang selera makan. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan rumah mewah bapanya. Janganlah pula hairan, jika ada orang miskin yang setiap hari menikmati suapan yang masuk ke dalam mulutnya, dan nyenyak tidurnya. Janganlah pula hairan jika ada perasaan yang lebih mengenang pondok usang dari banglo yang tersergam. Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, namun insan hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah kepadanya. Yang miskin dan yang kaya hendaklah insaf bahawa tujuan daripada makanan dan tempat tinggal yang mewah itu adalah kesedapan dan keselesaan. Bukan semua yang memiliki kemewahan itu pula akan menikmatinya. Juga bukan semua tidak memilikinya, akan terhalang mengecapi kenikmatannya. Maha Besar Allah yang membahagi-bahagikan kurniaan-Nya mengikut kehendak-Nya.

    petikan artikel “Biar miskin harta jangan miskin jiwa” oleh Dr MAZA

  3. Salam sayang buat kak iman dan salam ukhwah buat saudara herman….

    Alhamdulillah, walaupun tidak mewah… kita dapat lagi bernafas dan menumpang nikmat yg Allah beri FREE ni… dan kena mensyukurilah segala apa yg kita miliki….

    betul lah pepatah tuh “BIAR MISKIN HARTA TAPI JANGAN MISKIN JIWA’…. sebab jiwa yg KOSONG ibarat TIN yg KOSONG…yg tidak ada nilai…..

    “sesungguhnya tiap2 kesukaran, akan ada kemudahan” (Surah Al-insyirah:5&6)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: