Kontroversi akta poligami

kawin2-malaysia

Susunan Idris Musa
idris@hmetro.com.my

SUNGGUHPUN mereka membuang undi terhadap undang-undang dibuat parlimen wilayah autonomi Kurdistan, ramai pihak mempercayai sekatan baru mengenai poligami berlawanan dengan nilai agama dan sosial, malah lebih membebankan daripada membantu wanita.

“Rakyat Kurdis tidak gembira dengan berakhirnya poligami,” kata seorang ahli parlimen daripada parti Kesatuan Islam Kurdistan (KIU), Mullah Anwar.

Parlimen di autonomi wilayah selatan Iraq menerima satu undang-undang sekatan, di bawah perihal lelaki boleh mempunyai lebih seorang isteri.

Melalui pembentukan undang-undang baru, menggantikan undang-undang keluarga lama yang digunakan sejak 1958, seorang lelaki dibenarkan berkahwin dengan isteri kedua dan lebih, hanya apabila isteri pertama tidak dapat melahirkan anak atau menderita disebabkan penyakit.

Ia juga menyatakan, seseorang lelaki tidak boleh mempunyai wanita kedua jika beliau bersumpah dalam kontrak perkahwinan pertamanya tidak akan mempunyai isteri lain.

Bagi lelaki yang didapati melanggar undang-undang baru itu, mereka akan berdepan tindakan mengikut undang-undang iaitu hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan dan denda 10 juta dinar Iraq.

Seorang ulama dari bandar Sulaimaniyah, Kejo Zaho, berpendapat, undang-undang itu melanggar hak agama.

“Kami adalah orang Islam dan undang-undang Islam jelas mengenai hak kami berkahwin lagi.

“Poligami adalah hak kami dan tiada sesiapa boleh menafikannya,” katanya.

Islam melihat poligami sebagai jawapan yang realistik terhadap gejala sosial seperti perzinaan, apatah lagi janda atau wanita diceraikan suami.

Bagaimanapun, seorang lelaki Muslim yang ingin berkahwin dengan isteri kedua atau ketiga perlu memastikan layanan terhadap mereka adil.

Dalam amalan poligami kitab suci al-Quran ada menegaskan jaminan berlaku adil dan jika seorang lelaki tidak dapat memberikan jaminan itu, malah takut tidak dapat berlaku adil, memadailah memiliki seorang isteri.

Ramai ahli politik Kurdis mempercayai undang-undang baru mengenai poligami itu hanya menggembirakan dan memberikan kemenangan kepada kumpulan feminis.

“Beberapa tahun sebelum ini, lelaki Kurdis dibenarkan untuk mengahwini lebih daripada seorang wanita dan tidak menghadapi kesukaran untuk tujuan itu,” kata ahli Persekutuan Islam Kurdis (KIA) di Arbil, Diyari Hawar.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan di Kesatuan Wanita Kurdis (UKW), Leila Abdullah, tidak bersetuju dengan peruntukan poligami.

“Poligami memusnahkan kesatuan keluarga dan boleh memberikan kesan terhadap demokrasi di negara ini.

“Malangnya isu terbabit lebih bersifat politik daripada kemanusiaan,” katanya.

Dari 1994 hingga 2005, apabila Kurdistan terbahagi dua, poligami diharamkan di kawasan yang diperintah Kesatuan Patriotik Kurdistan (PUK) tetapi dibenarkan di kawasan yang ditadbir Parti Demokratik Kurdistan (KDP).

Sejak dua pentadbiran itu disatukan pada 2005, isu terbabit menjadi tumpuan dengan parlimen di peringkat wilayah mengeluarkan undang-undang yang menaungi seluruh kawasan.

“Kami tidak menang sepenuhnya, jadi kami akan tetap berjuang untuk membuang semuanya berkaitan poligami di Iraq,” kata pegawai media Pertubuhan Kebebasan Wanita Kurdistan, Jiwan Ahmed.

Begitupun, ramai bimbang tindakan itu menyebabkan kumpulan feminis mendapat kuasa terlalu banyak.

“Kebebasan keterlaluan diberikan kepada aktivis di negara ini memberikan kesan kepada hak kita,” kata Hawar.

Anwar, iaitu ahli parlimen daripada KIU, bersetuju dengan pendapat itu.

“Aktivis wanita menangani isu terbabit secara personal dan tidak bimbang mengenai akibat, yang memungkinkan suatu kehilangan kepada wilayah ini sekiranya poligami dibuang semuanya.”

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: