Sumayyah wanita pertama mati syahid

 

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.

Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.

“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.

“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.

“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.

“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.

“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.

“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.

Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.

Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.

“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.

“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.

Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

Advertisements

Arak punca pelbagai penyakit, dorong gejala maksiat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Kajian ilmiah Barat turut buktikan alkohol lebih banyak mudarat daripada manfaat

ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak tegar. Mereka menganggap arak minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Ada juga Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat. Rasulullah SAW menyanggah anggapan itu dengan bersabda bermaksud: “Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya punca segala penyakit.” (Hadis riwayat Muslim)

Berbicara mengenai arak, kata isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA yang dipetik Imam Bukhori yang bermaksud: “Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan minum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Al-Quran terus menyampaikan ke dalam hati mereka rasa takut dan kasih kepada Allah. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan taman-tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh, seksaan api neraka bagi yang ingkar sehingga hati mereka menjadi lembut, selepas itu mereka diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi dan mereka mematuhinya.” (Hadis riwayat Bukhori)

Walaupun begitu, arak tidak dilarang serta-merta. Ia mengambil tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Orang Islam mula bertanyakan perihal arak seperti dinyatakan firman Allah yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219). Ayat itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun larangan terhadap arak tidak dinyatakan dengan jelas.

Perintah lain yang diturunkan adalah dalam peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran. Peristiwa itu diceritakan dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.” (Surah an-Nisa’, ayat 43)

Larangan itu penting kerana tabiat mabuk diperkatakan buat pertama kali bersama sembahyang yang difardukan pada waktu tertentu dalam masa sehari iaitu bermula solat Subuh hingga Isyak. Ini menimbulkan konflik antara perintah baru dengan adat resam orang Arab jahiliah yang meminum arak awal pagi dan malam.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat minum arak menagih kesabaran dan ketabahan peminumnya. Pada peringkat awal, untuk menghilangkan ketagihan peminum tegar mungkin terkena ‘sawan’ atau meracau.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan pada majlis jamuan yang diadakan antara orang Muhajirin dan Ansar. Apabila ramai mabuk, mereka mula bermegah dan kemudian bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan tulang daripada hidangan.

Apabila rasa mabuk hilang, mereka menyesal, insaf dan rasa berdosa atas tindakan itu. Pada waktu itulah al-Quran menyatakan judi dan khamar dilarang kepada umat Islam seperti firman Allah bermaksud: “Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu )daripada melakukan perbuatan itu.” (Surah al-Maidah, ayat 90-91)

Anas Malik disebut menyatakan: “Apabila khamar (arak) dilarang, orang Arab masih menyukainya dan ada yang amat berat untuk mematuhinya. Tetapi akhirnya mereka berjaya mematuhi perintah Allah dengan setiap daripada peminum akan membawa arak di rumah masing-masing ke jalan raya dan membuangkannya. Jalan dan lorong di Madinah dipenuhi bau arak sehingga beberapa hari.”

Sejak peristiwa itu, orang Islam di seluruh dunia paling kurang berdepan dengan ketagihan arak. Sudah jelas, sesetengah jenayah berlaku dalam masyarakat antara lain berpunca daripada gejala arak. Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan bahaya arak.

Al-Quran sejak awal memberi amaran mudarat arak lebih banyak daripada manfaatnya iaitu:

– Apabila banyak diminum, arak boleh merosakkan selaput lendir perut serta menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam bahagian lain tubuh manusia, terutama jantung dan buah pinggang.

– Menjadikan seseorang sesak nafas kerana alat pernafasan terganggu.

– Boleh menyebabkan kematian mengejut akibat tekanan kuat alkohol kepada hati dan jantung.

– Minum arak ketika perut kosong atau sebelum sarapan menyebabkan barah perut.

Profesor A J Arberry mengatakan: “Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah mendapat penyakit ahmar atau lumpuh.

“Selain itu, seseorang yang mabuk akibat arak hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka keburukan dirinya kepada orang lain.”

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan yang paling hebat seperti arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan arak. Jika dibanci orang sakit di hospital seluruh dunia, nescaya paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan urat saraf disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, pundi makanan, tali perut disebabkan arak.”

Nyatalah kebenaran firman Allah keburukan dan kerosakan kepada manusia disebabkan arak lebih banyak daripada kebaikannya.

Kisah cerai membawa aib

Akhir-akhir ini kita dihidangkan pelbagai kisah mengenai perceraian selebriti. Antaranya Nash, Nora Danish, Seri Bayu dan Erema, AC Mizal, Beego serta Abby dan Norman Hakim. Sama ada perceraian itu baru berlaku atau masih dalam perbicaraan mahkamah, kisah perceraian selebriti -selebriti ini menjadi topik yang paling diikuti oleh masyarakat.

Masyarakat menjadi begitu teringin untuk mengetahui apakah punca mereka berpisah. Dari situ, timbul pula andaian dan telahan. Media pula sebagai wadah penyebar maklumat, cuba untuk memenuhi keinginan tersebut.

Tanpa disedari, akhirnya keinginan semua pihak yang terbabit – selebriti, masyarakat dan media – kemudiannya mencetuskan satu senario baru: Menceritakan kisah-kisah ‘dalam kain’ pasangan terbabit!

Selebriti-selebriti ini menyalahkan satu sama lain dan menceritakan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi rahsia. Akhirnya, pelbagai keburukan pasangan didedahkan.

Wajarkah fenomena ini berlaku? Bukankah perceraian yang dihebohkan itu bukan sahaja membuka pekung di dada, malah perbuatan membuka aib pasangan adalah sesuatu yang amat dilarang oleh Islam?

Hal tersebut dipersetujui oleh Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Lizza Mohamed Said.

Noor Lizza mengingatkan semua pihak iaitu selebriti, media dan masyarakat, kedudukan perceraian tidak sama dengan perkahwinan yang sepatutnya diuar-uarkan dan diheboh-hebohkan. Tujuannya mengelak daripada berlakunya fitnah apabila pasangan terbabit hidup berdua.

Rendah diri

Berbeza dalam konteks perceraian, baik yang melibatkan selebriti mahupun masyarakat biasa, ia tidak digalakkan untuk dihebah-hebahkan. Sekalipun perkara perceraian itu sesuatu yang halal namun ia amat dibenci oleh Allah s.w.t.

Penghebahan perceraian juga membawa kesan yang negatif apabila ia seolah-olah menggalakkan masyarakat untuk bercerai sekalipun perceraian itu disyariatkan.

Firman Allah yang bermaksud: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu…(al-Baqarah: 229).

Noor Lizza menegaskan, kesan hebahan perceraian bukan sahaja pada diri, suami isteri atau orang yang berada di sekeliling seperti anak-anak, bahkan keluarga kedua-dua belah pihak dan masyarakat.

Bagi suami, katanya, akan terbuka aib dan dia akan merasa rendah diri lebih-lebih lagi jika keaiban itu melibatkan kes-kes mati pucuk, serta tidak memberi nafkah. Keadaan ini membuatkan suami akan merasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

Begitu juga bagi isteri yang sedang melalui tempoh perceraian, akan mudah berasa tertekan, kehilangan tempat bergantung dan tertekan dengan urusan-urusan hak penjagaan anak . Hal-hal seumpama ini tidak wajar dihebahkan kepada umum.

Cukuplah sekadar pasangan yang terlibat mengetahuinya sebagaimana firman Allah melalui surah al-Baqarah ayat 187, “…mereka itu pakaianmu dan kamu pakaian mereka… ” yang secara tidak langsung menekankan konsep saling menghormati hak privasi pasangan masing-masing. Segala keaiban yang berlaku sepanjang tempoh perkahwinan adalah hak pasangan untuk tidak dihebahkan.

Bukan untuk dihebohkan

Manakala kesan kepada anak-anak turut merumitkan. Anak-anak akan merasa tertekan ekoran cerita-cerita keburukan kedua-dua ibu bapa yang disayangi oleh mereka diperkatakan oleh khalayak. Malah anak-anak turut berada dalam situasi konflik apabila terlibat dalam urusan hak penjagaan anak.

Noor Lizza sekali lagi mengingatkan, cerita-cerita perceraian sememangnya tidak digalakkan dalam Islam untuk dihebohkan secara keterlaluan.

Paling ditakuti, apabila isu-isu perceraian ini akan mewujudkan fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat sekali gus kesan di pihak lain, mereka akan merasa takut untuk berkahwin sekali gus menimbulkan kesan fobia masyarakat terhadap institusi perkahwinan.

Justeru, isu perceraian sewajarnya perlu diketahui oleh pihak-pihak yang berwajib dan bukan untuk dihebohkan. Apabila ia menjadi hebahan, maka berlakulah juga fenomena saling membuka keaiban pasangan masing-masing kerana cuba mempertahankan diri. Walhal jelas sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menutup aib orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat”.

Bercerita mengenai isu perceraian, Islam menggariskan, perceraian yang berlaku haruslah berjalan dengan cara yang baik termasuk tidak mengheboh-hebohkannya sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Ahzab ayat 28 yang bermaksud, “…atau lepaskan mereka dengan cara yang baik…”

Malah Islam turut mengambil kira faktor-faktor lain apabila seseorang itu berhasrat untuk bercerai. Antaranya, memastikan terlebih dahulu bahawa isteri tidak berada dalam keadaan haid atau tidak uzur.

Ini kerana cerai yang berlaku ketika isteri uzur, hukumnya adalah haram sekalipun cerai tersebut sah di sisi syarak.

Firman Allah di dalam surah al-Talaq ayat 1 yang bermaksud, Wahai nabi, apabila kamu (engkau dan umat-umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan ‘idahnya…

Jika hal sedemikian turut menjadi perkara penting apabila sesuatu perceraian berlaku, apatah lagi kewajipan menutup keaiban daripada sebab yang membawa perceraian berkenaan.

Wasiat Allah kepada umat Islam, supaya hal-hal yang berkaitan dengan perceraian perlulah dihadapi dalam keadaan yang cukup baik tanpa mengaibkan mana-mana pihak.