Amalan bersedekah lebih afdal utamakan keluarga

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Wajib penuhi keperluan mereka di bawah tanggungan sebelum menolong orang lain

TANGAN di atas lebih baik daripada tangan yang menerima ialah galakan supaya kita menjadi orang suka memberi, bukan yang meminta kerana kedudukan bersedekah lebih baik terutama jika mereka melakukannya dengan hati yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah yang dianjurkan Islam bertujuan melengkapkan kitaran hidup antara yang kaya dengan miskin kerana sebagai pihak mempunyai kelebihan, mereka bertanggungjawab membantu saudara yang memerlukan.

Mereka yang gemar bersedekah dijanjikan Allah ganjaran pahala yang besar. Firman-Nya yang bermaksud: “Siapakah yang mahu meminjamkan (hartanya) kepada Allah dengan pinjaman yang baik (iaitu dengan mendermakannya pada jalan Allah), lalu Allah melipatgandakan (balasannya) dan untuknya pahala yang mulia.” (Surah al-Haddid, ayat 11)

Saranan supaya dimulakan sedekah kepada mereka yang menjadi tanggunganmu menjelaskan keutamaan bersedekah iaitu dengan mendahulukan keluarga di bawah tanggungan yang memerlukan bantuan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Niat bersedekah juga perlu melihat kepada pihak yang ingin diberi sumbangan kerana ada sesetengah pihak bersedekah kepada orang lain, tetapi ahli keluarga tidak diberi perhatian sedangkan mereka juga mengharapkan sumbangan.

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan yang ingin dibantu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jika seseorang bersedekah sedang dia tidak memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya, maka dia dianggap berdosa kerana mengutamakan amalan sunat bersedekah berbanding amalan diwajibkan baginya iaitu memenuhi segala keperluan keluarganya.

Sabda Nabi SAW: “Cukup seseorang dinilai berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Jangan pula kerana terlalu ghairah untuk bersedekah, konon ingin mendapat keredaan serta ganjaran pahala, kita lupa tanggungjawab menyelesaikan urusan termasuk melunaskan hutang.

Menjelaskan permintaan hamba kepada Allah supaya dicukupkan keperluan dan dijauhkan daripada amalan meminta-minta, supaya umat Islam menjaga kehormatan diri serta berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada.

Sebaiknya, orang miskin tidak menampakkan kekurangan dalam hidupnya dan sentiasa bersabar serta reda dengan ketentuan Ilahi. Perbanyakkan doa kepada Allah supaya terpelihara diri dan keluarganya daripada sikap suka meminta. Menerusi sikap sedemikian, Allah akan memberinya kelapangan dalam hidup (meskipun tidak mewah) dan menetapkan sifat qana’ah (cukup) dalam jiwanya. Sebaliknya bagi mereka yang tidak memohon kepada Allah, tidak akan mendapat pertolongan-Nya.

Jika seseorang jauh daripada pertolongan serta perlindungan Allah, jiwanya lebih cenderung untuk melakukan perkara diharamkan.

Selagi seseorang itu mampu untuk bekerja dia perlu berusaha bersungguh-sungguh memenuhi keperluan hidup bagi diri dan keluarga daripada hasil titik peluhnya dan jangan mengambil jalan mudah dengan menjadi peminta sedekah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Salah seorang daripada kalian yang mengambil tali lalu tali itu digunakan untuk mengikat kayu bakar di atas punggungnya lalu dia menjualnya, maka dia menutup wajahnya (menjaga kehormatannya dengan bekerja) lebih baik daripada dia meminta daripada manusia, yang ada kalanya memberi atau tidak memberi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini ialah dalil diharamkan seseorang itu menjadi peminta sedekah selagi dia masih mampu bekerja. Mereka yang suka meminta sedangkan mampu bekerja tetapi malas ialah golongan yang dicela.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seseorang lelaki yang sentiasa meminta daripada orang lain, pada hari kiamat yang akan datang, pada wajahnya tidak ada sedikit daging pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, berusaha untuk mengelakkan diri daripada sikap suka meminta, apatah lagi bagi mereka yang sudah dicukupkan Allah rezeki, tetapi masih suka mendapat barangan yang diberi orang lain semata-mata untuk menambah apa yang ia ada.

Lebih baik pihak yang dikurniakan Allah rezeki, bersedekah kepada mereka yang memerlukan terutama barangan yang ia sayang, tetapi barang itu mendatangkan manfaat lebih kepada orang lain.

Satu Respons

  1. Assalamualaikum. Terima kasih atas perkongsian ilmu. Petikan ini merupakan antara jawapan yang saya cari.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: