Doa Pembuka 12 Pintu Kebaikkan…

 

 

P/S ~ Sangat baik di amalkan selepas solat fardhu setiap hari… dan boleh jugak di baca semasa solat dhuha sbg penambahan doa.. moga kita dibukakan pintu2 kebaikkan dan dipermudahkan urusan dunia & akhirat… amin..

SOLAT SUNAT TAHAJJUD

 

Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 @ 4 pagi. 

Di antara fadhilatnya  : 

1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.umlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. 

Lafaz Niat Solat Sunnat Tahajjud 

Sahaja aku sembahyang sunnat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Doa Solat Tahajjud 

 “Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkau penegak langit dan bumi dan segala isinya. BagiMulah segala puji’. Bagimu kerjaan langit dan bumi serta isinya. Dan bagiMulah segala puji cahaya bagi langit dan bumi, Engkaulah yang hak, dan janjiMu adalah hak, dan syurga adalah hak, dan neraka adalah hak, dan nabi-nabi itu adalah hak, dan nabi Muhammad saw, adalah hak, dan saat hari kiamat itu adalah hak, ya Allah, kepadaMulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang sudah kami lakukan dan yang belum kami lakukan, baik yang kami sembunyikan mahupun yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.”

Solat dan lima jenis manusia

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

 

15 tanda kematian mulia

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

KEMATIAN Micheal Jackson (MJ) mengejutkan dunia. Dunia menangis kerana kehilangan seorang insan seni yang hebat.

Begitulah resam dunia akan mengenang selepas ketiadaan seseorang. Lagi banyak jasa yang ditinggalkan lagi ramai orang merasakan kehilangan kita.

Kali ini bukan kita nak bincangkan jasa MJ tetapi kita perkatakan mengenai kematian mengejut.

Itu yang patut kita tanya diri kita, bagaimana ketika kita mengakhiri kehidupan kita nanti dalam ‘husnul khatimah’ ataupun ‘su’ul khatimah.’

Katanya, kematian MJ masih lagi menjadi teka-teki. Mati ketika yang tiada bekalan dan persediaan adalah amat menakutkan.

Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik ‘husnul khatimah’?

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”

Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

 

WAKTU AKHIR SOLAT ISYAK

Soalan;
USTAZ, SAYA INGIN BERTANYA BILAKAH SEBENARNYA HABIS WAKTU SOLAT ISYAK? KATAKAN SAYA DENGAN SENGAJA ATAU TAK SENGAJA BANGUN SEBELUM JAM 5 PAGI ATAU PUN SEBELUM MASUK WAKTU SUBOH DAN MENGERJAKAN SOLAT ISYAK, ADAKAH SAH SOLAT SAYA TERSEBUT? HARAP DAPAT USTAZ BERIKAN PENJELASAN DENGAN DISERTAKAN DENGAN HADIS-HADIS YANG BERKAITAN DENGAN PERSOALAN INI.
SEKIAN DAN TERIMA KASIH ATAS PENJELASAN YANG AKAN USTAZ BERIKAN.

Jawapan;

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh). Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.

Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah. Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran. Di antara bentuk keuzuran ialah;
1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.
Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.
Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).
Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

SOLAT JAMAK KERANA KEPAYAHAN

Soalan;
ustaz, saya berada di australia dan adalah agak sukar utk mencari tempat ibadah di sini yg telah menyebabkan saya terlewat solat sehingga ke hujung waktu. Adakah boleh utk saya melakukan jamak jika berada di dalam keadaan yg sedemikian? situasinya adalah saya keluar dari tempat penginapan lebih kurang pukul 10:45(zuhur disini masuk dlm pukul 1:05) dan keluar utk membeli barang keperluan yang lebih kurang sejam perjalanan dari tempat kediaman. Sepanjang berada di tempat membeli barang-barang keperluan tersebut(yg tiada disediakan tempat utk solat),sebelum saya balik ke tempat kediaman,waktu sudah menunjukkan pukul 4:10 ptg(asar masuk waktu pada 4:49). Saya berada dalam keadaan 50:50 samada utk meneruskan perjalanan pulang atau pun berniat utk melakukan jamak. Saya kemudiannya mengambil keputusan utk bergegas pulang dan hanya sempat melakukan solat pada pukul 4:53 ptg. Soalan saya ialah, adakah kita boleh melakukan jamak jika berada di dalam keadaan tersebut (sayatelah tinggal lebih dari 3 hari di tempat tersebut), atau kita mesti mencari jalan utk menunaikan jgk solat zohor secara berasingan? harap ustaz dapat bantu.terima kasih.salam.

Jawapan;

Solat lima waktu adalah kewajipan yang mesti ditunaikan dalam waktunya. Kerana itu, jika tidak ada sebarang masyaqqah (kepayahan) tidak harus solat lima waktu ditunaikan di luar dari waktunya. Namun jika ada masyaqqah, Syarak memberi kelonggaran untuk menghimpunkan solat, yakni menunaikan dua solat dalam satu waktu sama ada waktu yang pertama (iaitu jamak taqdim) atau waktu kedua (jamak ta’khir). Menurut jumhur ulamak, menghimpunkan solat hanya harus kerana dua sebab sahaja iaitu kerana musafir dan kerana hujan.

Namun sebahagian ulamak memperluaskannya kepada tiga sebab iaitu;
1. Kerana musafir
2. Kerana hujan
3. Kerana suatu keperluan/desakan yang berlaku.

Memakai pandangan kedua itu, diharuskan kita menghimpunkan solat -sekalipun tidak bermusafir- jika kita menghadapi situasi yang sukar yang menyulitkan kita untuk melakukan solat berulangkali, iaitu situasi yang menyamai keadaan orang yang dalam musafir. Sesuatu yang diharuskan kerana masyaqqah (kepayahan), keharusan itu akan tamat dengan tamatnya masyaqqah. Kerana itu, melakukan jamak dalam negeri/kawasan penempatan (tanpa musafir) tidak harus menjadi kebiasaan, sebaliknya digunakan ketika ada keperluan/desakan sahaja. Pandangan ini sekalipun menyalahi jumhur ulamak, namun terdapat sandaran dalil yang kuat di samping ia memberi kelapangan kepada umat Islam dalam keadaan-keadaan tertentu.

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

MENJAMAKKAN SOLAT KERANA TERDESAK

Soalan; ustaz, exam saya bermula pukul 3ptg. tetapi saya telah sampai pd pukul 330ptg.saya terpaksa memasuki dewan peperiksan dgn segera tetapi saya belum melakukan solat zohor lg. Bolehkah saya melakukan jamak takhir pd kes sebegini ?

Jawapan;

Tidak sepatutnya seorang muslim melewat-lewatkan solat sehingga akhirnya terpaksa melakukannya di luar waktu. Di dalam surah al-Mukminun, Allah menyebutkan antara ciri orang mukmin ialah “Orang-orang yang menjaga solat mereka”. Menurut ulamak-ulamak Tafsir; menjaga solat bermaksud; “Menjaga waktunya di samping menjaga perbuatan solat itu sendiri (yakni melakukannya dengan sempurna)”. Ibnu Mas’ud menceritakan; Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; Apakah amalan yang paling disukai Allah?. Jawab Rasulullah; “Solat di awal waktu” (HR Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak. Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Mukminun, ayat 9).

Namun dalam kes saudara, saya bersangka baik; kemungkinan saudara tidaklah sengaja ingin melewat-lewatkan solat. Saudara mungkin keluar awal dari rumah dan bercadang mengerjakan solat berhampiran Dewan Peperiksaan, namun berlaku situasi yang tidak dapat dielakkan –kesesakan jalan raya, kenderaan rosak dan sebagainya-, menyebabkan saudara tiba lewat dan terpaksa terus masuk ke dalam Dewan Peperiksaan untuk mengelak dari dihalang mengambil peperiksaan. Jika situasi terdesak serupa itu, tidaklah kita menanggung dosa jika berlaku kelewatan solat. Sebagai jalan keluar bagi situasi terdesak seumpama itu, saudara bolehlah berpegang dengan pandangan ulamak sebagaimana berikut;

1. Imam ‘Atho’, Imam Malik dan Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi’ie) dan al-Khattabi, mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya”.

2. Imam Ibnu Sirin, Asyhab (bermazhab Malik), Ibnu al-Munzir, al-Qaffal (bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (HR Imam Muslim).

Jadi, bagi ulamak-ulamak di atas, menjamakkan solat diharuskan dengan tiga sebab;
1. Kerana musafir
2. Kerana hujan
3. Kerana suatu keperluan/desakan yang berlaku.

Adapun dalam mazhab Syafi’ie, menjamakkan solat tidak diharuskan kecuali kerana musafir dan hujan sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 5/221.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/176.
2. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 419-420.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 141-142.
4. Al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, Dr. Abdul-Aziem Badawi, hlm. 146.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL